Monday, July 4, 2011

Cepatlah kebah

Teks: http://www.masayuahmad.com/

Alhamdulillah, petang ini 4.24 bersamaan 4 Julai 2011, badan sudah semakin kebah. Lama juga tiga hari, aduhai. Malu juga lama-lama berehat, banyak kerja rumah tertangguh, kerja 'menulis' apatah lagi. Malu hanya bangun lihat lauk sudah masak, malu kerana tidak dapat bantu mertua di dapur. Cepatlah badan sihat dengan sempurna. Insya-Allah petang ini pelan-pelan buat kerja rumah, terutama 'gunung everest'.

Tadi dalam kepenatan, saya gagahkan juga bawa ayah menziarah kematian saudara terdekat. Al-Fatihah, kita akan menyusul. Juga bapa saudara yang sedang tenat, kanser paru-paru tahap 4, kini hanya berada di rumah. Sanak saudara tidak putus-putus datang melawat. Ayah juga malam hari tidur di rumah abangnya yang sakit. Jam lima pagi baru pulang ke rumah. Hati saya ceria apabila melihat ayah ceria.

Cepatlah adik bongsu lelaki pulang dapatlah menemani ayah di rumah. Sekarang ini saya dan kakak bergilir-gilir pulang menjenguk ayah. Kami risau dalam pada masa yang sama sedang berusaha agar ayah tidak sunyi dan sentiasa menceriakan harinya. Terutama kanak-kanak riang. Rumah bising gegak gempita pun tidak mengapa, asalkan rumah lama itu sentiasa terisi kesunyiannya. Saya ibarat di sana menanti di sini menunggu, hehe, semoga dipermudahkan segalanya. Tiada sudah impian mahu duduk rumah sendiri. Tinggalkan di sini, sementara orang tua perlukan kudrat kita, Ya Allah berilah kesihatan yang baik kepada ayahanda dan kedua mertua. Berikanlah keberkatan kehidupan kepada mereka, permudahkanlah hidup mereka di sini dan bertambah-tambah lagi di sana.

Mengenang pula, apabila kita sudah berstatus warga emas kelak, bagaimana agaknya ya. Apa yang kita lihat itulah yang akan berlaku, apa yang kita belajar dan serap itulah yang kita dapat. Moganya saya diberi kesihatan yang baik, rezeki yang berkat, juga kesabaran yang tidak pernah putus. Sabar itu penting, agar saya sabar dalam apa jua urusan, takut nanti sabar tetapi tidak ikhlas. Pabila tidak ikhlas semuanya tidak kena.

Tengahari tadi Aiman bantu saya.

Ibu: Man, Man amikkan ibu sarung kaki.
Aiman: Ni ya bu,
Ibu: Ya, ya, man tolong sarung pada kaki ibu.

Sambil bernafas singkat-singkat Aiman ambil stoking panjang berwarna hitam, cuba dimasukkan jari-jari ibu. Tidak berjaya. Aiman cuba lagi, masukkan lubang stoking dan lima jari. Berdikit-dikit, Aiman berjaya. Selepas itu dengan susah payah, Aiman tarik ke atas. Uh, uh, ah. Akhirnya, berjaya.

"Yeah, berjaya, berjaya," sambil tepuk-tepuk tangan dan badannya dioleng ke kiri dan ke kanan.

"Iman, berjaya bu,"

Saya tumpang seronok, lihat gelagat Aiman, sudahlah tidak berbaju, kepala botak dan menari-nari riang.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin