Saturday, February 19, 2011

Salam kasih sayang

Teks: Masayu Ahmad


Setiap dua minggu saya pulang ke kampung, menziarah ayah. Sekarang ini masih ada Arora menjaga ayah dan memasak untuknya. Minggu ini saya bersama arissa, hakim, en.suami dan adam pergi ke pantai. Banyak berubah, gigi air semakin jauh kerana pasir menimbun ke pesisir pantai kampung saya,. Banyak pokok rhu di tanam.

Ini anugerah yang diberikan kadangkala kita lupa menghargai. Zaman kanak-kanak membawa saya kepada cara nelayan menolak perahu menggunakan kayu panjang yang di alas untuk menolak perahu ke laut, dilakukan secara gotong royong.

Juga apabila tiba musim menangkap sotong, jika banyak akan dibelah tengah dan dijemur.Penuh dengan suasana proses menyiang dan menjemur sotong, Pada waktu itu jangan bagi saya makan sotong kerana saya tidak mahu. Sotongnya segar, jernih dan masih keras. Ia diproses dan dijemur kering. Memang sangat banyak. Dan saya memang tidak pandai makan sotong kering. Padahal emak dan ayah yang proses.

Paling seronok, duduk bawah bangsal yang diperbuat dengan daun kelapa. Ia empat segi, mempunyai atap daun kelapa. Makan nasi berlauk  bungkus dan air teh susu dalam bekas tin susu. :D

Universiti kehidupan
Banyak betul yang berlaku di persekitaran yang perlu dicerna dan dicerap. Ada satu lagi pendekatan dan pembelajaran baru buat saya, iaitu universiti kehidupan yang sebenar. Menjaga orang tua tidak sama menjaga kanak-kanak. Oleh itu adalah perkara ini adalah satu lagi cara hidup baru yang perlu saya sesuaikan. Alhamdulillah masih mempunyai ayah dan ke dua mertua untuk masanya mengambil iktibar dengan memenuhi kehidupan mereka dengan jalinan kasih sayang anak-anak yang tak berbelah bahagi.

Cumanya saya masih dalam proses menawan ayah dengan masakan saya yang tidak sama dengan emak. Ayah bukanlah cerewet sangat, cumanya saya yang tak pandai memilih masakan sesuai untuk dia ;D. Apa pun masih lagi berusaha untuk berbakti kepada orang tua selagi masih hidup.

Kisah tok tek dan mok teh

Seingat saya ketika darjah 1 atau semasa sekolah rendah. Rutin saya, pada waktu petang atau tengahari adalah menghantar makanan, atau lauk pauk. Sepasang suami isteri yang tiada anak, tetapi hidup sederhana dalam sebuah pondok. Rumahnya di tepi pantai, saya suka datang ke rumah tok teh. Kehidupan yang sederhana.

Saya masih ingat kedut yang terukir pada wajah ke dua orang tua itu. Biasanya selepas memberi buah tangan, saya akan duduk sambil minum kopi atau teh o bersama tok teh. Berbual kosong sambil menikmati angin segar tepi pantai. Ya, kedudukan rumah tersebut adalah berhadapan dengan laut. Sangat segar.

Memori itu masih tergambar setiap kali saya lalu lalang pesisir jalan jika mahu ke pantai.Nostalgia bersama tok teh dan mok teh akan menjelma. Saya akan berjalan kaki lebih kurang 10 hingga 15 minit membawa barang kiriman mek dan ayah.

Tok teh adalah ayah saudara ayah. Mereka tidak mempunyai anak. Tetapi nasib baik, anak-anak saudara sangat prihatin akan kebajikan mereka. Ketika saya masuk universiti, saya sudah jarang berjumpa tok teh. Dan kali terakhir ialah apabila arwah emak mengkhabarkan kepada saya bahawa salah seorang sudah meninggal dan seorang lagi dijaga oleh anak saudara mereka yang tinggal jauh dari kampung saya. Ketika ini saya masih jelas melihat skrin putaran masa, saya sedang berbual dengan tok teh dan mok tek di beranda rumah mereka. Mendengar cerita dan kisah kasih sayang ;D.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin