Tuesday, November 30, 2010

Azam baru, semangat baru, prestasi baru

Teks: Masayu Ahmad

Hari ini 1 Disember 2010. Masih ingat lagi malam penutup sebelum tahun baru, saya menulis semula ebook dan juga menyiapkan buku sulung pertama. Momentum sangat laju, dengan kapasiti 200 km sejam jika memandu kereta. Saya mahu momentum seperti itu.

Jadual saya sangat padat untuk penghujung tahun ini. Ada beberapa tugasan yang sudah tertunggak. Hari ini kembali mencanai idea dan gebukan semula semangat menyiapkan beberapa tugasan penting. Apabila hamil, saya suka membiarkan diri saya mengambil rehat yang cukup walau sebenarnya tugasan menimbun. Ya, kesihatan juga rezeki, orang di dalam perlu dijaga. Atas sebab itu alhamdulillah kandungan dengan izin Allah tiada apa-apa masalah. Itu juga dinamakan rezeki. Pada saya tidak guna saya terlalu mengejar-ngejar perkara yang diluar batas dan kemampuan diri, takut memberi kesan. Pun, begitu saya pasti ramai ibu diluar sana yang lebih hebat dalam mengimbangi segala tuntutan.

Sudah tamat masa bermain

Kanak-kank riang, insya-allah Hakim, Arif dan Aiman akan dihantar ke sekolah untuk separuh hari. Belum lagi mencari tempat. Akan diselesaikan selepas habis berpantang. Sudah habis masa bermain sepuas-puasnya dan sebebas-bebasnya. Jika ke tadika pun saya akan pastikan tidak menekan dan biar berada dalam keadaan belajar, meneroka dan bermain. Seronok yang mencerap, bukan belajar dengan penuh tekanan ;D.

Kehadiran seorang lagi bayi riang, masa saya perlu diagihkan sepenuhnya, untuk mengurus rumah tangga, suami, anak-anak, karier penulisan dan yang pasti misi X saya akan bermula 2011. Apa pun saya tetap akan menjadikannya realiti. Menulis yang terus sehingga mata saya terpejam, sama ada ebook atau buku, semuanya dalam senarai untuk disiapkan dan dilunaska. Ada yang sudah tertunggak. Tidak mengapa, selepas ini saya sedang mencari momentum dan perlu berlari menyiapkannya, jika penat saya berjalan, jika tidak mampu saya baring. Walau apa cara saya perlu selesaikan juga.

2011 dengan kehadiran orang baru dan azam baru untuk menulis karya-karya yang laris jualannya, bermanfaat untuk pembaca dan lebih ramai wanita kembali bekerja dari rumah. Saya? Akan kekal berada di rumah, kerana itulah tempat terbaik saya dan tiada tempat lain yang lebih indah melainkan di rumah sendiri.

Sepatutnya, 5 Disember saya perlu menghadiri majlis perkahwinan anak bekas majikan, Kumpulan Karangraf yang akan berlangsung di Depalma Hotel Shah Alam. Boleh berjumpa teman-teman lama, bos-bos lama dan beramah mesra dengan rakan seperjuangan. Namun rasanya tidak kesampaian, saya rasa dengan keadaan sekarang tidak mengizinkan. Mungkin jumpa di lain masa. Terima kasih atas jemputan. Saya melihat dari jauh sahaja.

Semakin menjadi-jadi

Teks: Masayu Ahmad

Salam kasih sayang. Saya masih di sini menanti hari demi hari, detik-detik yang mengujakan. Baby masih seronok berada di dalam, kerana masih beberapa perkara yang perlu dilunaskan. Hari ini mood bekerja kembali ok. Insya-Allah akan selesaikan beberapa perkara.


Anak kecil didera

Mesti kalian ada melihat satu video penderaan kanak-kanak vietnam. Aduhai rasa tersiat-siat melihat aksi pembantu rumah mendera anak tersebut. Rasanya usia lebih kurang Aiman sahaja. Sakit hati melihatnya. Apa itu binatang atau hati yang tiada belass ihsan. Menitik juga air mata saya, walau tidak sanggup melihat. Saya kira mungkin cctv itu dibuat oleh ibu bapanya. Moganya anak itu terpelihara.

Bagi ibu yang bekerja, kalau boleh buatlah terjahan ke rumah pada waktu yang tidak disangka-sangka. Jika ada wang lebih boleh juga pasang cctv. Nyawa tiada nilainya. Kasihan anak-anak kita, setelah ditinggalkan seharian, di dera pula. Ditambah pula jika ibu bapa yang keletihan pulang, melayan endah tak endah sahaja anak-anak.

Pengurus rumah tangga profesional

Beberapa minggu sudah, saya lupa mendengar satu perbincangan di radio IKIM tentang fitrah wanita kembali semula ke rumah untuk mendidik anak-anak. Negara seperti Iran, budayanya, wanita Islam belajar hingga ke universiti. Kemudiannya apabila berkahwin menjadi pengurus rumahtangga yang hebat dan memilih untuk mendidik dan melahirkan anak-anak yang hebat. Apa sahaja ilmu yang dipelajari dipraktikkan untuk membangunkan genarasi, ia bermula di rumah

Ada juga satu perkongsian artikel oleh Ustaz Zahirrudin, nanti saya buat pautan di sini. Betapa dalam Islam sendiri sangat menyarankan wanita kembali kepada fitrah yang asal. Kedudukannya berada di rumah. Belajar dan cari pengalaman di luar dan apabila tiba masanya kembali untuk membina generasi yang lebih baik. Usaha ini membendung masalah sosial dan jenayah yang semakin membarah dalam masyarakat kia hari.

Ini adalah untuk ingatan buat diri saya sendiri. Masih banyak kekurangan, sebagai ibu dan isteri semestinya tidak jemu mengali ilmu untuk mendidik anak-anak. Banyak cabarannya pada masa kini dan masa hadapannya.

Rezeki, insya-allah sentiasa ada. Selagi berusaha dan berusaha dan berserah kepada pemberi rezeki. Bukan sekadar doa, tetapi usaha yang tidka pernah jemu. Alhamdulillah setakat ini masih mencukupi dengan rezeki yang ada. Perlu sedar diri dan cermin setakat mana kemampuan. Tidak bermewah-mewah dan bersyukur dengan apa yang diberikan.

Usah dan carilah peluang untuk kembali ke rumah. Bajai rumah tangga dengan kasih sayang dan ilmu dunia dan akhirat. Betapa beruntungnya wanita hari ini, sudah banyak kemudahkan yang tersedia. Apa yang penting perlu kreatif, usaha, cari peluang yang sesuai. Insya-Allah rezeki ada di mana-mana, sekiranya kita tidka takut keluar dari zon selesa dan bermula dengan azam baru setiap hari.

;D

Teks: Masayu Ahmad

Masih lagi bersiaran. Kalau boleh cepat-cepatlah baby keluar dengan selamat. Berdebar pun ya, tak sabar pun ya, takut pun ya, macam bersalin anak sulung pun ya.

Apapun tetap kena sabar, mudah-mudahan selamat.

Monday, November 29, 2010

Selamat Hari Lahir Naufal Hakim 29.11.2010

Teks: Masayu Ahmad
Pic;Google


Selamat hari lahir Naufal Hakim aka abang long, hampir terlupa ibu hari ini hari penting abang Hakim. Patutlah pagi-pagi sudah bangun dan temankan ibu beli sarapan pagi ;D.

Sunday, November 28, 2010

Selesai sudah

Teks: Masayu Ahmad
Pic: Google

Selesai sudah semalam membeli barangan berpantang dan mengemas segala barangan bayi. Tinggal satu sahaja lagi pil spirulina untuk saya. Fungsinya boleh baca entri sebelum ini. Sekarang ini sudah bersedia bila-bila masa sahaja. Bersedia fizikal dan mental.

Dalam menanti hari, saya kembali bekerja seperti biasa. Lap top juga sudah dibawa masuk dan berada dalam bilik pantang. Tidak lagi bersiaran di dapur. Bilik ini bilik yang sama yang saya jadikan sebagai bilik kerja di bawah, sekarang ini diubah suai untuk keperluan sekarang. Memudahkan saya untuk menguruskan bayi, memantau kanak-kanak riang, rehat dan rawat semasa pantang.

Juga bahan-bahan bacaan dan rujukan untuk meneruskan kerja semasa pantang. Saya rasa tidak ada masalah untuk bekerja dengan kadar minima, jika letih boleh tidur, jika ada masa senggang boleh meneruskan pembacaan, kajian, penyuntingan dan penulisan. Saya perlu laju, kerana sudah banyak yang tertunggak. Perlu bekerja tiga kali ganda selepas habis pantang. Moganya segalanya selesai seperti mana yang dirancang.

Saturday, November 27, 2010

Setelah berkurung lama

Teks: Masayu Ahmad

Salam ceria hari minggu, setelah berkurung lama, hari ini ambil kesempatan memberi sedikit barang-barang untuk baby. Tak banyak, beli apa yang perlu sahaja. Barang yang lain masih elok untuk digunakan. Apabila baby dah besar nanti, barulah beli lagi. Sambil bawa anak-anak keluar, dan buat sedikit exercise banyakkan berjalan ;D.

Menu pagi hari ini nasi goreng kasih sayang dan lempeng lemak manis.Ok, saya mahu bersiap dulu.

Jom ke sana ;D

Friday, November 26, 2010

Nasi berlauk teh tarik

Teks: Masayu Ahmad

Tidur cukup, rehat pun cukup. Jadi pagi ini, bangun buatkan nasi berlauk gulai ikan tongkol kuning, nasi putih dan sambal cili untuk en.suami. Alhamdulillah hujung minggu yang tenang. Saya kembali membuka senarai kerja. Minggu lepas kesihatan yang agak merudum, selepas ada pembantu banyak betul ringan beban saya.

Hari ini maraton menyiapkan penulisan, susun semula senarai kerja, hantar email, bungkus buku dan, kemas bilik berpantang (sedikit sahaja lagi). Rasa tenang apabila dapat bekerja semula.

Ada beberapa beberapa barang lagi yang mahu saya beli untuk persiapan akhir

1. Nipple shield
Puting elastik tiruan bagi ibu-ibu yang mempunyai puting tenggelam. Insya-Allah kali ini saya tekad sungguh-sungguh untuk penyusuan ekslusif dua tahun. Walau apa cara sekalipun. Inilah peluangnya yang perlu saya ambil sebaik mungkin, kerana berada di rumah dapatlah memeluk dan menyusu anak dengan penuh kasih sayang. Jika sebelum ini kebanyakannya selalu sahaja out station selepas habis pantang. Juga puting ini sangat membantu daripada digigit bayi untuk melegelakkan luka. Saya mahu menikmati sesi penyusuan sepenuhnya.

3. Lada hitam
Lada hitam sudah ditumbuk dan siap-siap masukkan dalam bekas kecil. Jika di hospital ambil nasi sahaja dan lauk ikan bakar boleh bawa dari rumah.

4. Buah limau
Beli dua biji limau untuk bekal. Makan limau dahulu dan makan spirulina untuk memudahkan pelawasan. Barulah sarapan atau makan nasi.

5. Besen mandi. Yang ini juga belum ada. Besen sedia ada sudah berlubang ;D.

6. Mandia bayi. Ini juga belum beli.


7. Set bersalin HPA


Ok, bagi sesiapa yang ingin membeli, boleh tekan pada gambar di side bar. Tetapi saya akan guna satu persatu. Untuk bawa ke hospital, saya bawa minyak telon bayi, minyak barut, spirulina.

Minyak bayi
Gunakan pada bayi untuk senak, kembung perut, sering menangis pada waktu malam. Sapukan pada perut dan dada.


Minyak Barut

Gunakan minyak ini untuk mengelakkan kemasukan angin. Sapukan pada seluruh tubuh terutama di perut serta sendi-sendi yang lenguh.

Spirulina.

Digunakan untuk menghindari sembelit, memperbaiki penghadaman dan penyerapan. Spirulina juga bertindak sebagai pencuci kolon dan sekaligus mengeluarkan keracunan dalam badan. Selain itu, spirulina juga memberi tenaga. Amalkan 2 kapsul pada waktu pagi dan 2 kapsul pada waktu malam selepas makan.

Nota: Untuk tahun  depan saya akan menjadi kolumnis http://www.iluvislam.com/. Untuk penulisan kesihatan dan kecantikan. Insya-Allah blog itu akan kembali aktif dan lebih banyak idea segar dan menarik akan dikongsikan.

Nampaknya jadual kerja saya sudah penuh sepanjang 2011. Sekarang ini juga penuh, tetapi saya tidak mahu fikir, buat satu persatu.

Salam kasih sayang, selamat berhujung minggu.

http://www.masayuahmad.com/

Thursday, November 25, 2010

Sujud syukur

Teks: Masayu Ahmad

Hari ini bertarikh 26 November 2010, catatan yang begitu membuatkan rasa tenang menyelubungi dan membuatkan bibir mengukur senyuman. Sesi bersama pakar dan perbincangan hampir setengah jam tadi banyak memberi info dan juga mengekalkan tekad keputusan saya.

Terima kasih buat en.suami yang menemani, alhamdulillah ini hadiah hari lahir khas buat sempena kelahirannya. Harapnya ini adalah permulaan tahun baru yang lebih tenang dan ceria. Juga ada satu lagi perkhabaran yang masih dinanti-nantikan.

Apa lagi yang saya mahukan sudah lengkap kini, segala doa saya dimakbulkan. Seterusnya saya perlu berusaha meningkatkan kapasiti usaha menyelesaikan tugasan yang tertunggak. Semena-mena ada kekuatan baru yang lahir dalam diri.

Apa lagi yang saya mahu. Harusnya lebih bersyukur dengan anugerah ini. Segala limpahan rahmat dan kasih sayang Allah dapat saya rasakan. Saya malu sendiri, banyak dosa, amalan yang compang-camping sana sini. Minta itu dan ini, sedangkan saya masih lagi muslimah dan ibu yang masih banyak yang perlu ditambah iman dan amal.

Alhamdulillah, nikmat dan rahmat atas kasih sayang Allah. Kejutan, kebetulan, doa yang dimakbulkan. Apa pun saya masih kekal fokus untuk ke medan juang. Fokus dengan akal dan mental, fokus menjaga kesihatan, fokus kekal tenang sehingga tarikh keramat itu datang.

Persediaan berbaki 5 peratus sahaja lagi. Alhamdulillah kata putus sudah diambil, dan saya telah membuat keputusan setelah meneliti banyak faktor dan juga gerak hati. Tidak boleh terlalu gembira dengan perkhabaran, suka-suka membawa duka. Sebaiknya, tawakkal dan doa tetap diteruskan agar dipermudahkan sehingga akhirnya.

Salam kasih sayang


Ada beberapa fasa yang perlu dilalui:

1. Fasa kehamilan (fasa 1, fasa 2, fasa 3)
2. Persediaan bersalin
3. Persediaan berpantang
4. Fasa berpantang 40 hari
5. Fasa berpantang 100 hari

Sekarang saya berada di penghujung persediaan bersalin, dan fasa persediaan berpantang. Nanti saya kongsikan.

Doa sakit bersalin






Rujuk di sini untuk doa dan zikir memudahkan bersalin:


Wednesday, November 24, 2010

Semakin turun ke bawah

Teks: Masayu Ahmad

Sakit main-main atau kontraksi braxton hiks sudah terasa. Pernah dulu semasa Aiman, bukan main kontraksinya, ingatkan sudah sampai masa. Maka berbondong lah saya bersama en.suami ke hospital, dengan berkain sarung singgah dahulu Mc Donald ;D, makan dulu burger lada hitam kegemaran.

Selepas ditahan ward, kontraksi 10 minit, semakin berkurang. Selepas doktor datang memeriksa, mungkin untuk keesokan harinya. Tunggu, punya tunggu, punya tunggu. Esok sudah berkurang, jadi saya balik semula. Selepas seminggu kemudian barulah, betul-betul kontraksi yang membawa kepada kelahiran Aiman.

Rasannya kali ini pun sama, kontraksi yang bukan betul-betul membawa kelahiran, hanya peratusan kecil, bayi sedang mengeras dan menuju ke bawah untuk pergerakan ke saluran yang betul (harapnya begitulah).

Sesekali mencerut kecil. Saya rasa ini perkara biasa, bukan betul-betul lagi. Saja je orang kat dalam main-main dulu. Apa pun sudah bersedia fizikal dan mental. Jam 2.30 ada temujanji dengan doktor. Tengok macam mana, boleh lihat jantina atau tidak, atau mahu buat kejutan masa kelahiran kelak. Ada sedikit sahaja lagi barang yang mahu dikemas. Sauna juga sudah dibawa turun ke bawah.

Tak payah tunggu, masa selepas bersalin, beberapa minggu sudah saya mandi dengan air rebusan serai wangi dan pandan. Rasa segar seluruh badan. Oh, batu sungai belum dikeluarkan lagi.;D

Aturan tugasan sudah diberikan berdikit-dikit kepada wani.


Persediaan bersalin

Beg ibu
1. Dua kain sarung
2. Dua baju berbutang di depan
3. Pad
4. Pakaian dalam
5. Tudung
6. Selipar (kegunaan bilik air)
7. Ubat gigi, berus gigi, pencuci muka, pembersih wanita, syampu, sabun
8. Tarmos panas, gelas plastik sudu (biasanya hospital swasta ada disediakan)
9. Roti, minuman berpeket (saya guna kopi radix), biskut-untuk sarapan
10.Kamera, bateri
11. Telefon
12. Kad rawatan klinik, ic,
13. Ubat pelawas, minyak panas, krim herba, bengkung moden (pilih yang mudah guna)
14. Stoking ibu
15. Plastik pakaian kotor
16. Buku dan majalah (isi waktu senggang)

Beg bayi
1. 2 helai bedung
2. Dua helai barut
3. Lima lampin pakai buang
4. Stoking kaki dan tangan
5. 2 Pakaian persalinan (untuk kegunaan semasa keluar hospital)
6. Minyak bayi
7. Syampu bayi (jika digunakan)
8. Tisu basah

Ada lagi tak yang tertinggal, ingatkan saya.

Tuesday, November 23, 2010

Alhamdulillah

Teks: Masayu Ahmad

Beban saya sangat ringan sejak wani (anak saudaran sulung) datang ke rumah. Nasib baik cuti sekolah, dia banyak membantu. Tidak banyak soal apabila disuruh. Cuma suka berseloroh.

"Habisla kurus, ore duk umah mok yu." (Habislah berat badan turun).

Membantu menjemur kain, angkat kain, sapu rumah, basuh pinggan mangkuk, masak nasi. Tugas yang mudah-mudah saya serahkan padanya. Alhamdulillah banyak membantu. Juga bilik bawah tinggal sedikit sahaja lagi mengemas. Kemas balik dan susun, sisihkan barang-barang untuk dimasukkan ke dalam stor.

Agak lapang rasa hati. Beg bayi dan beg saya juga sudah berkemas. Semalam sudah tengok kembali senarai kerja saya yang tertunggak. Lebih kurang lima orang lagi yang belum menerima buku saya, saya usahakan hari ini atau esok untuk mengepos. Terima kasih atas kesabaran kalian menanti. Saya mohon maaf banyak-banyak. Saya akan lunaskan juga janji saya. Mohon maaf sekali lagi.

Baru balik dari temujanji, esok ada lagi.

Harapnya kontraksi saya tidak lagi melebihi 24 jam. Kalau boleh saya menikmati perjalanan kesakitan semulajadi. Jangka masa kontraksi yang lebih singkat dan bukaan 10 cm dipercepatkan tanpa bantuan epidural. Ya, Allah perkenankan permintaan ini.

Saya sangat suka apabila di klinik semasa menunggu, akan bertanya ibu-ibu yang mengandung yang lain. Antara soalan saya, anak ke berapa, bersalin di mana.

Jawapannya lebih kurang sahaja. Ada yang dibedah, ada yang normal. Kebanyakan kontraksi sebentar dan kelahiran yang normal, tetapi alahan yang teruk semasa mengandung. Ada juga tidak ada masalah. Semua itu atas rezeki, mudah dan sebaliknya. Apa pun doa tetap dipanjatkan agar segalanya dipermudahkan.

Tadi saya bertanya nurse.

"Agak-agak bulan ini ramai tak yang bersalin." (Banyak betul cekadak saya)

"Agak ramai juga puan." Nurse yang baik melihat senarai.

"Hmm, ok."  Kata saya. Rasa saya sudah tahu apa kesimpulannya. Jadi cuba beriktiar setakat mana yang mampu.

Juga akan membuat temujanji untuk lokasi hospital bersalin. Saya memilih tempat yang sama, doktor yang sama.

Jika tidak, saya memilih bantuan epidural juga untuk mengumpul kembali tenaga, sekiranya kontraksi melebihi 24 jam. Apa pun tetap berdoa semoga segalanya dipermudahkan. Terima kasih yang tak terhingga atas jasa baik en.suami, tetap juga memenuhi keinginan saya. Saya cuba yang terbaik, dan ini hadiah paling bermakna untuknya, sempena tarikh lahir suami 12.12.

Jadinya, jika baby keluar pada tarikh tersebut, inilah hadiah ikhlas dari saya. Cumanya tidak dibungkus dalam kotak diletak reben sahaja. ;D


Kepala bayi sudah semakin menurun ke bawah. Bila-bila masa sahaja dari sekarang, mungkin minggu ini, minggu depan atau minggu satu lagi. D.

Monday, November 22, 2010

Berdepan dengan pelbagai gelagat kanak-kanak riang

Teks: Masayu Ahmad

Aiman, batuknya sudah semakin ok. Dua hari ini memberi madu, untuk membung kahak di dalam badannya. Alhamdulillah masuk hari ke tiga selepas menggunakan madu, Aiman hari ini sudah sihat sepenuhnya. Aiman tidak suka makan antibiotik, nasib baik madu dia suka.

Aiman pagi dan malam asyik merengek dan mahu ibu, ibu, ibu. Tidur dengan ibu, mandi mahu ibu buat dan tidak boleh berenggang. Tetapi jika en.ayah sudah pulang, ringan sedikit. Aiman sudah beralih arah perhatian.

Arif

"Arif tak pandai."
"Arif tak larat."
"Arif demam."
"Ibu buat lah sendiri, Arif tak boleh." (ini cara Arif mahu menarik perhatian)

Hakim
"Ibu buat untuk Hakim."
"Ibu mandikan Hakim."

Ketiga-tiganya dalam sindrom menarik perhatian dan mahu bermanja-manja dengan kadar luar biasa.

Biasanya akan menangis-nangis.

Apa saya perlu lakukan.

1. Untuk tidak mudah naik angin, biarkan sahaja. Ini perkara biasa bagi anak-anak kecil.
2. Semuanya menggunakan taktik menangis dan menangis. Saya biarkan sahaja. Apabila reda, semuanya akan datang, berhenti menangis sendiri dan memohon maaf.

Ini ayat biasa yang akan kedengaran apabila ibu sudah tidak layan godaan menarik perhatian yang tidak berjaya.

"Ibu Hakim minta maaf, janji tak buat lagi."
"Bu, man tak maaf, man tak buat lagi.

Arif dia akan menangis sambil berkata.
"Arif minta maaf, janji tak buat lagi." Sambil mandi dan menangis. Capai sabun, bersihkan badan dan mula pakai baju.

Hah boleh pun. Ibu saja buat muka selamba. Kalau ibu naik angin, habis semua emosi konsisten tidak layan situasi yang sama setiap hari. Alah bisa tegal biasa. Masih mood memujuk-mujuk.

Ibu: Nanti ibu ke hospital, keluarkan baby dalam perut. Nanti duduk dengan kakak wani (anak saudara), jangan nangis. Nanti ibu balik.

Kanak-kanak riang: Tak boleh, nak ikut ibu pergi hospital.

Ibu: Sekejap aje, nanti ibu balik bawak baby.

Kanak-kanak riang: Tak boleh, nak ikut ibu jugak!

;D

Berdikit-dikit

Teks: Masayu Ahmad
Pic: Google

Alhamdulillah persiapan berpantang hampirf 80% siap. Anak saudara yang sulung banyak membantu, semalam sampai dari Kelantan. Pagi ini saya berusaha menyudahkan apa yang patut dibuat. Rasa lapang juga.

Kelengkapan yang sudah
1. Bilik
2. Beg ke hospital
3. Barangan bayi
4. Barangan ubatan, minyak panas, krim herba
5. Serai wangi, daun pandan-untuk rebusan herba
6. Kad rawatan-yang sewaktu dengannya

Belum
1. Keluarkan dua batu tungku
2. Bengkung
3. Set bersalin HPA
4. Buah manjakani- untuk bertangas
5. Keluarkan sauna

Untuk sampingan, urusan dan senarai kerja saya letakkan pada sudut yang mudah dicapai. Insya-Allah esok sudah boleh mula kerja semula.:D. Rasa agak lapang juga untuk sambung semula kerja-kerja tertunggak. Walaupun saya tidak kisah bersalin pada bila-bila masa dari sekarang, tetapi jika dapat selesaikan beberapa tugasan penting yang tertunggak rasa amat puas hati. Tengok macam mana, rasanya masih meneruskan.

Kontraksi main-main sudah dirasakan, ia perkara biasa bayi sedang menuju ke ruang ke betul dan semakin ke bawah. Pandai-pandai sahaja membuat kesimpulan. 24 dan 26 saya ada temu janji lagi.

Saturday, November 20, 2010

Terima kasih

Teks: Masayu Ahmad

Masih banyak senarai kerja yang tidak surut, saya hanya melihat dan menjeling sahaja. Akur dengan keadaan sekarang. Pun begitu masih berusaha melunaskan banyak perkara sebelum saya belayar ;D. Sentiasa positif, setiap cabaran untuk menyelesaikan tugasan, harus saya buat secara berdikit-dikit walaupun tidak selaju ketika semasa sihat.

Orang malas cari alasan, orang sukses berusaha cari jalan. Itu sahaja caranya. Jika tidak boleh buat berdiri, buat sambil duduk, jika tidak sambil duduk, sambil baring. Apa yang penting berdikit-dikit. Keadaan ini bersifat sementara sahaja. Esok pembantu sementara akan sampai. Rasa ringan lah sedikit, untuk urusan yang mudah-mudah. Tidaklah sehingga memenatkan anak saudara saya. Nasib baik juga ada yang mahu membantu dalam keadaan sekarang.

Saya perlu pejam mata dan menikmati perjalanan sambil menanti hari dan waktunya akan tiba. Semangat mahu menyudahkan kerja-kerja yang tertunggak tetap ada.

Masak-memasak rasanya sudah berminggu tidak memasak, mungkin sudah sebulan. Akan bersambung sehingga sebulan lagi. Malam ini rasanya mahu memasak ikan bakar dan goreng kubis. Menu ringkas sahaja. Kasihan anak-anak dan en.suami. Apa pun tetap bersyukur masih punya ruang untuk menikmati rezeki hari ini.

Saya sudah mendapat kata putus untuk bersalin dimana dan apa caranya. Setelah mendapat pandangan, pengalaman sedia ada, insya-allah inilah pilihan terbaik. Jika berkesempatan saya mahu kongsikan artikel tentang pemilihan hospital dan kaedah bersalin.

Anak pertama saya melalui pembedahan, anak ke dua dan ke tiga normal dan memilih epidural. Rasanya yang ini juga saya memilih epidural dan juga lokasi yang sama dengan anak yang ketiga. Insya-Allah, semoga dipermudahkan.

Saya biasanya melalui kontraksi lama iaitu 24 jam, jadi selepas pecah ketuban, suntikan epidural akan dilakukan. Jadi pada masa ini saya dapat berehat mengumpul tenaga, sehingga bukaan 10 cm. Biasanya dua hingga tiga kali teran, Arif dan Aiman selamat dilahirkan. Untuk Arif jahitan tidak banyak, dalam masa 10 hari tempat luka sudah elok. Begitu juga Aiman.

Namun pengalaman Aiman, saya mengalami rengat. Iaitu kesakitan seperti mahu melahirkan semula. Berlaku selepas 20 minit, selepas doktor selesai menjahit luka. Setiap kali menyusukan Aiman, rengat akan datang. Saya bergantung sepenuhnya dengan ubat penahan sakit. Alhamdulilah selepas seminggu ia semakin berkurang. Sakit rengat biasanya berlaku pada salah seorang anak. Kadangkala ada juga yang tidak pernah mengalaminya.

Saya paling suka bersalinkan Arif, hampir doktor menyarankan dibedah. Saya tetap keras hati, menyatakan pendirian, tak apa doktor kita tunggu lagi, sehingga saya berjaya bersalin normal. Kekuatan dan semangat perlu ada. Apatah lagi apabila mendapatkan dos epidural, sememangnya banyak membantu untuk berehat. Kontraksi berlangsung, tetapi kesakitan tidak dirasai. Hingga sampai masa, saya menyatakan pada nurse, rassanya bayi sudah mahu keluar. Tepat jangkaan bukaan 10 cm dan doktor siap sedia untuk proses selanjutnya.

Bersambung

Wednesday, November 17, 2010

Bilik berpantang

Teks: Masayu Ahmad
Pic: Google

Selesa dan mendamaikan kalau dapat bilik berpantang seperti di atas. Rasa tenang sahaja. Saya menggunakan apa yang ada sahaja, katil ibu, katil bayi, sofa untuk menyusu dan kotak barangan bayi. Berdikit-dikit mula mengemas.

Pergerakan saya seolah semacam siput sahaja. Buat sedikit, harapnya dapat siapkan semuanya sebelum mulakan perjalanan untuk kelahiran. Bahagian bawah sudah terasa sakit-sakit. Apa pun saya sudah bersedia fizikal dan mental.

Untuk beberapa hari ini saya memang banyak berehat, melupakan terus aktiviti penulisan, kerja rumah tangga dan rutin yang lain. Cuba juga berusaha membuat berdikit-dikit. Tinggal beberapa bungkusan buku sahaja lagi belum saya selesaikan, mohon kalian bersabar ya. Yang lain alhamdulillah sudah ramai yang menerimanya. Mohon maaf atas kelewatan ini, tidak dapat tidak saya akur dengan kudrat yang ada. Apabila berkeadaan ini saya tidak akan menekan diri, tetapi cuba juga selesaikan sedikit-sedikit. ;D

Hari ini mahu bersihkan lagi stor dan bilik berpantang, saya rasa sudah dekat sangat-sangat harinya. Beg pakaian untk saya dan bayi juga belum berkemas lagi, harap hari ini mampu saya selesaikan. Tidak mahu bertangguh takut apa-apa yang berlaku.

Kali ini, saya dibantu oleh anak saudara yang sulung. Membantu saya dalam soal urusan rumah tangga. Juga kakak yang sulung akan ke sini menemani saya seminggu dua. Insya-Allah selepas itu saya sudah boleh uruskan diri sendiri.

Terima kasih buat en.suami yang berpenat lelah dalam beberapa minggu ini. Semua kerja rumah diuruskan. Kasihan pula melihat anak-anak, asyik makan makanan dari kedai. Tidak mengapa, ini hanya sementara sahaja. Lagi dua bulan semua akan kembali dalam keadaan dan rutin biasa.

Saya terbawa-bawa juga dengan keadaan senarai kerja yang masih banyak, seolah-olah tidak mahu surut. Tawakal dan berserah sahaja dengan keadaan sekarang. Biasanya untuk tiga kehamilan saya masih aktif sehingga saat akhir bersalin, tetapi yang ini naik lemak pula. Pergerakannya agak terbatas dan perlahan. Mungkin faktor usia. Tetapi emosi dan mental saya masih kekal fokus untuk bertenang dan masih dalam keadaan terkawal. Jika ada perkara atau urusan yang tidak sedap mata memandang, saya buat tidak tahu sahaja, jika saya fikir boleh bawa mudarat kesihatan pula.

Moga kanak-kanak riang semakin ceria dan sihat. Inilah sindrom anak-anak saya setiap kali ibu mahu melahirkan. Seolah-olah memberi isyarat, semua sekali mahukan perhatian lebih. Alahai.

Apa pun doakan agar saya tetap berada dalam keadaan terbaik untuk berjuang.

Salam kasih sayang

http://www.janawangdirumah.com/

Tuesday, November 16, 2010

Selamat Hari Raya Adiliadha

Teks: Masayu Ahmad


Sepatutnya semalam sudah bertolak balik ke Kelantan, atas sebab banyak faktor ini menyambut secara sederhana di Hulu Langat.

Satu hari semalam berada di klinik, kanak-kanak riang secara berjemaah demam. Saya juga menjalani rawatan ibu hamil seperti biasa. Semalam juga selepas scan, bayi sudah cukup tempoh untuk dilahirkan, maknanya sudah berada dalam tempoh 37 atau 38 minggu. Bayi sudah berada kedudukan yang betul dan sudah sampai masa untuk keluar. Doktor menjangkakan dua atau tiga minggu lagi. Ternyata benar perkiraan saya, memandangkan sudah rasa tidak selesa dalam keadaan sekarang. Juga jantina tidak diketahui, menyorok tidak mahu mendedahkan identiti. Punyalah saya sabar melihat di skrin, mendengar apa yang akan diluahkan doktor sama ada lelaki atau perempuan. Puas sudah dibelek dan ditelek, tak nampak juga.

"Tak apa lagi beberapa minggu u nak jumpa dia,". Kata doktor.

Tersengih sahaja saya. Aiseh saja je tau buat ibu tertanya-tanya. Kadangkala sakit-sakit suda terasa, cuma itu adalah normal.

Hari Raya pagi ini biasa-biasa sahaja. Tiada kuih-muih atau lauk pauk istimewa. Sudah banyak kali berkeadaan begini, sarat megandung dan menerima kedatangan Aidil Adha. Apa pun saya tetap bersyukur kerana sentiasa bersama en.kekanda dan kanak-kanak riang. Perjalanan jauh juga menyebabkan antara sebab saya kurang beriya untuk balik. Apa-apa sahaja boleh berlaku.

Ok, saya mahu tengok apa menu yang boleh saya sediakan di pagi raya. Selamat Menyambut Adil Adha walau di mana sahaja kalian berada.

Monday, November 15, 2010

Menghitung hari

Teks: Masayu Ahmad


Situasi sekarang duduk salah, baring serba tak kena dan berdiri lama mudah letih. Apa pun saya tetap bersyukut menikmati pengalaman kehamilan kali ke empat. Ia tertanya berbeza daripada tiga yang lepas. Mungkin juga sebab usia, saya sekarang cepat letih dan mahu baring sahaja. Tetapi tidak boleh begitu kerana tidak baik untuk kesihatan.

Menyiapkan satu-satu kerja saya rasakan satu keadaan yang amat perlahan. Masih ada berbaki yang belum selesai, ada beberapa buku yang belum dibungkus untuk dipos. Harapnya kalian bersabar, lebih kurang 4 orang lagi yang belum mendapatnya. Saya bermohon maaf, tetapi lebih kurang 8 hingga 10 orang sudah menerimanya.

Saya cuba lagi dalam minggu ini, tidak pernah-pernah saya berada dalam keadaan sebegini. Biasanya masih kekal aktif walau ke penghujung hari untuk kelahiran. Setiap kehamilan sangat berbeza. Kerja rumah tangga langsung tidak bersentuh, nasib baik en.kekanda sangat memahami.

Cabarannya, saya perlu menahan mata dan keinginan sendiri, menahan apabila melihat ada yang tidak terurus tetapi tidak mampu melaksanakannya. Buat setakat termampu, nanti tekanan pula, ;D. Keadaan ini sementara cuma, saya hanya perlu bertahan dan bersabar sahaja dahulu. Apabila keadaan sudah kembali pulih, insya-allah semuanya akan kembali seperti biasa. Tidak ada istilah super mama pada masa ini, kerana super sudah hilang tenaga. Menikmati saat-saat akhir untuk bertarung dan menerima satu lagi kedatangan ahli. Mengikut perkiraannya lagi 6 minggu, tetapi saya rasa akan belayar awal dari masa jangkaan. Apa pun doakan agar saya mampu bertahan dan berjuang.

Mohon maaf sekiranya ada kesilapan saya secara sedar atau tidak sepanjang perkenalan kita di alam maya. Juga doakan agar saya dipermudahkan.

Salam kasih sayang

Saturday, November 13, 2010

Salam kasih sayang

Teks: Masayu Ahmad

Kembali bersiaran, dengan perut memboyot ke depan, saya masih berusaha melunaskan banyak perkara yang perlu diselesaikan sebelum penutup 2010. Sudah sebahagian buku-buku yang sudah sampai, tinggal beberapa orang lagi, dan masih ada yang tidak memberikan saya alamat.

Apabila bercuti saya tiada akses internet, mahu fokus membaca dan menulis sahaja. Tetapi sudah alang-alang bercuti, memang bercuti sungguh. Sekarang ini bercuti memasak, cuba untuk memberi tumpuan menyiapka kerja-kerja penulisan.

Persediaan berpantang

Tempoh berpantang kali ini, saya berpantang sendiri dan ditemani kanak-kanak riang. Tiada pembantu dan cabarannya juga berbeza. Saya rasa tidak ada masalah untuk pantang kali ke empat. Harapnya dipermudahkan. Lokasi berpantang sama ada di Kelantan atau di sini. Penentuannya mungkin pada pertengahan Dismber kelak.

Persediaan bersalin

Ada dua hospital dalam perkiraan saya, juga sama ada di Kelantan atau di sini sahaja. Belum lagi membuat temu janji untuk hospital bersalin pilihan.Apa pun saya tetap positif menunggu kelahiran. Harapnya juga mampu bersalin normal sebagaimana anak ke dua dan ke tiga. Insya-Allah.

Misi X

Kpi saya untuk lima kerja sudah selesai, misi X perlu dibawa ke tahun hadapan, tetapi perancangan masih dalam susunan strategi untuk tahun 2011.Insya-Allah rasanya, saya akan umumkan kelak apabila mencapai 90% progres kerja.

Friday, November 12, 2010

Tetapkan pendirian-mahu berada di rumah

Teks: Masayu Ahmad

Kembali bersiaran, cuti yang memang cuti sungguh-sungguh. Saya mengambil masa ini untuk beristirehat, makan tidur, menonton, bergusti dengan kanak-kanak riang

Kali ini saya menginap di homestay yang sama, memandangkan tuan empunya homestay yang baik hati memberikan harga yang sangat berpatutan. Ya, memang benar, saya ke Penang, makan, tidur dan rehat. Hasilnya mencanak-canak idea di dalam fikiran mahu meluah-luah. Saya senaraikan dulu beberapa topik yang ingin saya kembangkan sebagai artikel kelak.

1. Pengurusan disiplin wanita bergelar suri rumah dan bekerja dari rumah
2. Jihad sebagai wanita
3. Pengurusan kewangan, persediaan sebelum berhenti kerja
4. Pilihan bekerja atau bisnes
5. Mulakan secara sambilan atau sepenuh masa
6. Mengekalkan motivasi bekerja di rumah
7. Cara mendapatkan sokongan bekerja di rumah
8. Cara menangani kegagalan menjana pendapatan


Saya cadangkan lapan di atas, bantu saya, kalian boleh memilih tajuk mana yang ingin saya sentuk lebih kerap dan mahukan tajuk mana diulang banyak kali, atau didahulukan sebelum saya bersalin ;D

Memulihkan kembali kewangan-tip wahm

Teks: Masayu Ahmad

1. Kembali bekerja untuk jangka masa pendek
2. Bekerja secara sambilan seperti tutor, mengajar tuisyen
3. Menyimpan selama sekurang-kurangnya dua tahun sebagai tabung khas untuk kegunaan semasa bermula sebagai wanita bekerja di rumah
4. Penyelarasan kewangan untuk tempoh dua tahun sebelum bermula dan serius bekerja dari rumah
5. Memulakan secara sambilan sebelum mengambil keputusan berhenti dan melakukan sepenuh masa

Masalah yang akan dihadapi sekiranya tidak ada persediaan kewangan

1. Masalah menyelesaikan bil-bil atau hutang bulanan
2. Peningkatan kos terutama apabila anak-anak sudah memulakan sesi persekolahan
3. Pendapatan tidak konsisten
4. Tidak ada tabung kecemasan
5. Masalah kewangan keluarga, terutama jika tiada sokongan dalam status bekerja dari rumah

Tip tambahan

1. Mula berjimat cermat
2. Agenda beli belah sudah tidak ada dalam rutin bulanan
3. Memasak di rumah
4. Bijak mengawal perbelanjaan
5. Menabung secara konsisten walaupun dalam jumlah yang minma
6. Rancang, rancang kewangan
7. Gunakan 1 kereta lebih baik dari dua kereta
8. Berhemah dalam perbelanjaan harian dan bulanan

Saturday, November 6, 2010

Tempahan Jana RM Dari Rumah

NOTA 1: Bermula 8 November sehingga 11 November, tempahan buku Jana RM Dari Rumah akan dihantar selepas tarikh tersebut. Terima kasih atas tempahan dan pembelian. Semoga bermanfaat.

NOTA 2:

Pemenang buku Jana RM Dari Rumah, buku-buku kalian sudah dihantar secara berperingkat. Disebabkan saya menggunakan kaedah pos biasa, jadi harap kalian sabar menanti.;D




Friday, November 5, 2010

Zon khas untuk anak-anak- tip elak gangguan ketika bekerja

Teks: Masayu Ahmad

Ok, saya suka membaca teori dan mempraktik dengan cara berbeza. Banyak ibu iaitu suri rumah, wanita bekerja dari rumah yang mengadu tidak dapat fokus membuat kerja kerana gangguan anak-anak kecil. Ada beberapa artikel yang saya tulis dalam buku Jana RM Dari Rumah. Saya kongsikan lagi beberapa penemuan terbar saya, untuk mengelakkan anak-anak menganggu ketika bekerja. Jadi selepas ini, tiada alasan lagi bahawa kalian tidak mampu menangani anak-anak di rumah. Masa bersama anak-anak adalah rezeki yang patut digunakan sepenuhnya, kerana tidak ramai wanita bekerjaya berpeluang bersama anak-anak 24 jam, 7 hari dan 12 bulan. Syukuri dengan nikmat ini. Ok, mari kita telusuri beberapa panduan berikut, semoga bermanfaat.

Zon khas untuk anak-anak

Zon khas ini berupa bilik tidur, bilik permainan, bilik kreativiti. Jadikan bilik ini menyebabkan anak-anak suka dan kusyuk, sehingga tidak mahu keluar bilik.

Ok, dulu saya meletakkan barang-barang anak-anak satu bilik dengan bilik kerja saya. Ia sebenarnya satu suasana yang bagus juga, tetapi lama-kelamaan saya akui ia menganggu ketika saya sedang fokus bekerja.

Saya mula beralih bilik atas, dan kemudiannya melengkapkan bilik tersebut, sebuah komputer meja belajar kanak-kanak riang dan katil. Memang mujarab, ketiga-tiganya leka bermain sehinggalah merasa lapar. Apabila turun ke bawah sudah ada menu yang menanti. Jadi saya kekal fokus di ruang saya sendiri tanpa gangguan oleh kanak-kanak riang.

Pastikan anak-anak kenyang

Apabila anak-anak penat belajar, bermain dan apa sahaja, akan tiba masanya mencari makanan untuk dimakan. Tetapkan jadual makan yang sama setiap hari. Jadi apabila penat bermain, belajar, disuapkan nasi waktu tengahari (jam 12), kemuncaknya mereka akan menonton dan berada dalam situasi kekeyangan. Petang hari sudah ada menu minum petang. Sediakan awal dan mereka pasti tidak akan menganggu. Apabila kepenatan dan kekeyangan, proses menganggu adalah berada dalam keadaan terkawal.


Jarakkan bilik bekerja dengan bilik aktiviti anak-anak

Ruang mereka sekarang adalah di atas, manakala saya berada di bawah. Sayas sudah merasa aman kerana sudah tiada gangguan, hanya gangguang kecil yang masih boleh ditangani.

Simpan permainan dan keluarkan mengikut

Asingkan jenis permainan mengikut hari dan kreativiti. Contoh Isnin hari melukis (set A), hari Selasa membaca (Set B), membina kreativiti ( Set C), mainan bola sahaja (Set D), kereta (Set E)

Simpan jenis permainan dan agihkan dalam kotak berbeza. Keluarkan mengikut hari yang anda tentukan sendiri dan tanya kepada anak-anak apa aktiviti yang mereka mahu. Keluarkan satu kotak sahaja untuk sehari, selesai bermain disiplinkan anak-anak untuk menyimpan kembali. Jadi masalah mainan berselerak sudah selesai dan anda sendiri tidak pening kepala melihat rumah permainan bersepah-sepah dengan permainan si kecil.

http://www.janawangdirumah.com/

Salam kasih sayang, usahakan untuk mencari penyelesaiaan masalah bukan fokus kepada masalah. Selamat bercuti dan berhujung minggu.

Menghitung hari

Teks: Masayu Ahmad

Masa dah tak banyak yang ada, namun tetap positif saya akan melaluinya dengan tenang. Minggu ini masih bergelumang dengan banyak tugas yang setia beratur untuk tindakan segera. Pun begitu, minggu ini akan saya ke Pulau Pinang bersama en.kekanda dan kanak-kanak riang. Sebenarnya agak berat hati kerana kerja masih banyak.

Tetapi saya perlukan udara baru suasana baru, agar momentum kerja lebih laju. Usai balik dari Penang, akan pulang ke kampung. Sebetulnya destinasi ke Penang dan balik Kelantan sudah tidak ada perancangan. Tetapi memandangkan perut yang memboyot ini, apa-apa pun lebih baik sentiasa berada di sisi en.suami.

Lagi pula pada malam hari saya sudah tidak daya melayan kanak-kanak riang bertiga yang lasak. Jika en.suami ada, boleh saya bersenang lenang untuk berehat menikmati penghujung hari. Memasak juga sudah diswastakan. Banyak kali makan di kedai, atau beli sahaja.

Saya masih menantikan beberapa perkhabaran mendebarkan hujung tahun. Bulan Disember adalah percaturan yang paling klimaks sebelum bermula Januarai 2011. Harapnya apa yang didoa dan dipohon menjadi kenyataan. Langkah sudah ada sebelah, hanya satu langkah lagi. Apa pun kita tunggu sahaja hujung bulan 12 nanti. Apa akan jadi, ya atau tidak. Suasana baru, udara baru, hijrah baru.

Akaun klikjer.com saya sudah konsisten menjana pendapatan. Beberapa bulan ini sudah mula konsisten mencecah tiga angka. Apa pun saya doakan agar ia terus konsisten.

Siapa yang belum lagi mendaftar, boleh mula mendaftar http://www.klikjer.com/. Nanti saya bantu bagaimana untuk konsisten menulis di blog dan menarik trafik.  Untuk panduan hari ini, saya kongsikan tiga.

1. Buang gajet yang tidak perlu. Blog adalah jenis saluran produk informasi. Jadi minimakan hiasan yang tidak perlu yang melambatkan blog kalian untuk disingah dan dibaca. Contohnya aneka bungaan sebagai latar, muzik, hiasan bling-bling, pautan yang tidak perlu, gajet muzik atau apa sahaja hiasan yang tidak membantu. Pilih dua warna atau tiga warna. Tumpukan kepada idea penulisan, rutin harian sebagaimana yang telah saya kongsikan sebelum ini.

2. Guna bahasa penuh ketika menulis. Ia sangat membantu penulisan kalian dari masa ke semasa. Terdapat dua jenis penulisan Bahasa Melayu Rendah dan Bahasa Melayu Tinggi. Tetapi mulakan dahulu dengan menulis cara berhemah. Walaupun kadangkala ia nampak formal, manalah tahu ia latihan awal untuk kalian berjinak-jinak dalam bidang penulisan. Tidak perlu menggunakan ayat bombastik, sekadar ayat luahan biasa, tetapi menjaga ejaan penuh, itu sahaja.

Mari jana pendapatan tanpa had, bangun pagi kalian sudah nampak akaun anda sudah melaporkan ada wang masuk. Ia benar, bukan khayalan. Kerana saya hanya menjana melalui http://www.klikjer.com/ sahaja. Saya tidak ada akaun nufnang, tetapi fokus kepada affiliate http://www.klikjer.com/. Saya sudah, kalian bila lagi?

Mari sama-sama berkongsi pendapatan.

http://www.janawangdirumah.com/

Tuesday, November 2, 2010

Detik

Teks: Masayu Ahmad
Pic;Google

Jika melihat tarikh jangkaan, saya ada masa berbaki 57 hari. Satu apa pun persiapan tidak dibuat. Sungguh. Jadi minggu ini perlu berdikit-dikit mengeluarkan katil bayi dari stor, sauna perlu dibawa ke bilik bawah. Barang-barang bayi masih ada di kampung. Beg untuk ke hospital perlu dikemas.

Sakit main-main sudah dapat dirasakan. Pun, begitu saya tetap berdoa agar kali ini selamat melahirkan bayi dengan sempurna dan selamat. Pink atau biru terima dengan hati yang terbuka. Kontraksi main-main sudah ada. Tetapi saya tetap fokus menyiapkan kerja juga. Naluri ada berkata, mungkin pertengahan bulan 12. Oh, sungguh laju masa berjalan.

Hari ini bangun pagi, sangat teringin memasak sayur lemak, budu, ulaman. Berpagi-pagi mahu  membeli nasi lemak, saya melencong membeli bahan untuk memasak. Ada lori membawa bahan basah untuk jualan di sini setiap hari Rabu. Sebetulnya saya tidak pernah membeli, kali ini pergi menjengah, menarik juga. Jadi membeli juga sebiji buah nanas masak. Juga bahan masak untuk sayur lemak. Ubah tabiat. ;D

Biasanya segala barang keperluan dapur bukan urusan saya. Hanya masak sahaja apa segala bahan en.suami belikan. Hari teringin pula beli belah. Sambil-sambil berjalan keluar mengambil angin pagi.

Ok, saya mahu sambung kerja rumah dan m

Penghargaan buat kak yong dan ummi hanie

Teks: Masayu Ahmad

Alhamdulillah atas kurnia hari ini, masih lagi dipanjangkan umur untuk terus berjuang. Kesihatan sekarang semakin tidak konsisten, badan sihat tetapi pergerakan semakin terbatas. Badan juga semakin mengebu-gebu. Biasanya dengan berat badan sekarang, saya berada dalam peringkat akhir kehamilan.

Cabaran dan kekangan masa juga membuatkan saya perlu melawan arus menyiapkan kerja. Walaupun seperti kura-kura, tetapi saya tetap usahakan siap juga.

Terima kasih ummi hanie dan kak yong

Saya sebenarnya rasa sangat terharu terutama dua orang sahabat maya ini umie hanie-http://ummi-hanie.blogspot.com/ dan kak yong  http://www.kakyong.com/. Mereka berdua suka berkunjung ke sini dan meninggalkan jejak ramah mesra. Boleh dikatakan saya tidak pernah sekalipun meninggalkan jejak di blog mereka berdua. Saya selalu berkunjung ke blog kak yong dan umi hanie, tetapi terjahan saya adalah pecutan, kadangkala banyak komen yang ditinggalkan tidak dapat disempurnakan kerana perlu menunggu beberapa gajet di blog kalian, ia mencuri masa kelajuan. Mohon maaf ya, apa pun memang saya selalu menziarah cumanya tidak meninggalkan jejak.

Begitu juga dengan komen-komen di sini, saya suka ada yang meninggalkan jejak. Jika saya sempat, saya akan balas ya. Tetapi teruslah memunculkan diri memberi pandangan dan kritikan. Sekurang-kurangnya ia sebagai pembakar semangat saya. Apa yang mengharukan saya, ramai yang datang ke sini, berdasarkan rekod trafik pada klikjer.com mencecah ribuan. Dan juga kebanyakan yang membeli ebook saya dan ebook-ebook lain adalah datangnya dari blog ini dan blog satu lagi.

Juga apa yang lebih membuat saya teruja, pelanggan yang membeli Jana RM Dari Rumah bukan dari kaum hawa semata. Kebanyakannya juga adalah lelaki, mungkin pada masa hadapan entri perlu saya seimbangkan. Jika lelaki juga berkunjung ke sini, saya cuba untuk lebih mengambil pendekatan seimbang dalam penulisan artikel.

Juga pengkhususan adalah sama khusus untuk Sahm, Wahm, Soho. Kerana buku-buku yang diterbitkan kelak adalah kesinambungan daripada setiap buku.

Saya juga sangat berbangga dengan pencapaian ely- take me home & pack me love. Jujurnya kami tidak bertemu dan berkenalan. Saya merasakan satu semangat untuk melihat lebih ramai yang mendapat atau menjana pendapatan sebagaimana ely. Sudah melangkah ke arah yang lebih sukses. Hanya permulaan membaca dua buku yang disarankan di sini, dan selebihnya usaha ely yang berganda-ganda. Ely boleh dijadikan contoh wanita bekerjaya yang berhijrah ke SOHO, dia banyak bergerak dan mempromosi secara online dan offline.

Satu lagi yang betul-betul mencari ialah suri rumah yang bermula kosong dan akan menjana pendapatan sebagaimana ely. Insya-Allah akan ada seterusnya selepas ely. Saya harapkan lebih ramai memeriahkan kehadiran di blog ini untuk mengenali lebih dekat lagi.

Buat pemenang buku Jana RM Dari Rumah, bersabar ya, buku-buku sudah dan akan mula bergerak ke teratak kalian. Bagi saya sedikit masa, sungguh banyak cabaran saya pada minggu ini (tidak perlu diceritakan di sini). Semoga kesabaran kalian itu terubat apabila buku tersebut sampai ke tangan masing-masing.

Alhamdulillah juga, setiap kali saya dermakan buku-buku untuk tajaan mahu pun kepada yang memerlukan, terus ada pula yang membuat tempahan pembelian. Itulah yang sangat saya rasa satu bentuk rezeki yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Selagi mana kita berusaha, berusaha, berusaha dan tawakal, insya-allah pelbagai bentuk rupa rezeki yang menjengah.

Doakan kesihatan saya dan moganya saya dapat selesaikan timbunan tugas yang hanya surut berdikit-dikit ini. Biarlah jadi kura-kura, konsisten dalam pertarungan tetapi akhirnya sampai ke garis penamat. Insya-Allah.

Salam kasih sayang

http://www.janawangdirumah.com/

Monday, November 1, 2010

Idea menulis di blog

Teks: Masayu Ahmad

Bagaimana mahu konsisten menulis di blog? Ok, saya kongsikan beberapa cara untuk menulis di blog. Terdapat banyak cara saya kongsikan dahulu yang mudah-mudah. Tidaklah hanya kalian mengambil entri blog orang lain dan menampalkan di blog sendiri. Kalau sesekali ok juga, tetapi kali ini mahu perbanyakkan entri sendiri.

1. Catatan harian

Ok, boleh kongsikan segala catatan harian yang berupa motivasi, rutin harian dan juga pengalaman. Tetapi satu sahaja sangat digallakkan elak menulis bertujuan mengeji orang lain, mengumpat, tidak suka orang itu, tidak suka orang ini. Orang itu begitu orang ini begini. Ini mencerminkan sikap kita yang sebenar. Apabila kita menulis tentang perkara negatif, ia sedikit sebanyak mengambarkan personaliti penulis itu sendiri. Kadangkala menulis dalam keadaan emosi, juga sangat bahaya, tetapi jika ia memberikan pengajaran tidak salah.

Satu rutin yang lebih kurang sama setiap hari ialah rutin di rumah, di pejabat dan juga kesukaan kalian. Jangan berlebih-lebih, tetapi jika dibaca ia boleh memberi inspirasi. Contohnya susah payah untuk memberikan pendidikan awal terbaik buat anak. Anda kongsikan sedikit setiap hari, ia bermanfaat walaupun hanya sedikit tip.

2. Tidak semua perkara anda boleh kuasai, sebaliknya mula fokus pada satu atau dua perkara yang menarik untuk dikongsi. Contohnya blog Zaila Mohamad, berkongsi tentang tip bisnes dan juga dekorasi rumah. Ia dua perkara menarik untuk dikongsi. Banyak artikel yang boleh digali dengan hanya fokus tentang dua perkara ini dan ditambah satu lagi adalah catatan harian tentang rutin, anak-anak, keluarga dan kerjaya (dikira satu kategori).

3. Banyakkan membaca
Apa minat kalian? Memasak, berkebun, melancong, pilih satu topik yang menarik untuk dikongsi. Contohnya blog kak chik, selain gemar berkongsi catatan harian, menu pilihan juga topik utama ialah tentang aurat dan dakwah. Ia sudah sinonim dengan kak chik.  Contoh lain, jika kalian ke sini, apa lagi, sudah tentu tentang panduan bekerja di rumah. Blog saya satu lagi khusus informasi kesihatan dan kecantikan. Cuba cari satu bidang dan kembangkan. Bacalah artikel atau buku-buku yang berkait rapat denga kerjaya, bidang atau bisnes yang kalian lakukan. Selain menambah ilmu, ia juga boleh dikongsi. Selagi kita berkongsi, lebih banyak yang kita dapat.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin