Monday, December 14, 2009

Bantuan mengurus hutang


Fotohttp://i.dailymail.co.uk/i/pix/2007/04_01/StessG0804_228x278.jpg

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_02.htm

''Kredit saya keliling pinggang dan tiada tempat untuk mengadu.''

''Mustahil untuk saya menguruskannya sendirian.''

''Lega rasanya apabila ada yang membimbing saya tentang pengurusan wang secara berhemah.''

Inilah kata-kata yang terluah daripada ratusan pelanggan yang pada mulanya menghadapi jalan buntu dalam menguruskan hutang dan kewangan yang begitu kritikal.

Kini dengan adanya satu badan yang boleh membantu untuk menstrukturkan semula pinjaman seperti perumahan, kenderaan, peribadi atau baki tertunggak kad kredit yang didapati dari penyedia kewangan, maka beban ratusan ribu orang itu akan menjadi ringan.

Setakat 30 Oktober lalu, lebih daripada 106,000 pelanggan telah mendapatkan perkhidmatan kaunseling dan hampir 35,000 pelanggan telah dibantu melalui Program Pengurusan Kredit Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia.

Objektifnya untuk secara proaktif memastikan sektor isi rumah terus berdaya tahan dengan menyediakan saluran bagi peminjam individu dan bakal peminjam mendapatkan nasihat dan bantuan berhubung dengan pengurusan kredit dan pada masa yang sama, menggalakkan sistem perbankan yang teguh dan mantap dengan memudahkan usaha pembayaran balik hutang dan meminimumkan kes-kes tidak berbayar akibat daripada pengurusan hutang yang kurang cekap.

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK , Mohamed Akwal Sultan berkata, semenjak ditubuhkan pada April 2006, AKPK dapat membantu peminjam mengurus belanjawan, menolong membuat pembayaran balik pinjaman dan mengendalikan perbelanjaan harian dengan teratur.



Menariknya, AKPK adalah agensi kedua di dunia yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk membantu pengguna.

''Negara pertama yang mempunyai agensi khidmat kaunseling kredit yang ditubuhkan oleh kerajaan ialah Korea Selatan. Di negara lain, kebanyakan agensi seperti itu digerakkan oleh agensi bukan kerajaan atau swasta.

''Sebab itulah, saya ingin tekankan bahawa perkhidmatan yang ditawarkan oleh AKPK adalah percuma," katanya.

Menurut Mohamed Akwal, terdapat tiga perkhidmatan yang ditawarkan iaitu pendidikan kewangan untuk kemahiran asas pengurusan wang dan juga tip bagaimana untuk menggunakan kredit secara bertanggungjawab.

Kedua, kaunseling kewangan dan nasihat iaitu untuk menguruskan kewangan anda dengan bijak daripada bajet, pengurusan wang dan isu berkaitan dengan kredit serta mempelajari bagaimana menangani bebanan kredit dengan penuh tanggungjawab untuk masa depan yang cerah.

Ketiga, Program Pengurusan Kredit (PPK) di mana para kaunselor akan bekerjasama dengan pelanggan untuk menyediakan pelan pembayaran semula pinjaman peribadi melalui rundingan dengan penyedia perkhidmatan kewangan.

''Bukan semua pelanggan yang mendapatkan kaunseling layak untuk mengikuti PPK. Ada syarat-syaratnya iaitu mempunyai sumber pendapatan yang positif selepas menolak tanggungan keluarga, jumlah pinjaman tidak melebihi RM2 juta dan tidak berada di bawah tindakan undang-undang tahap lanjut serta tidak diisytiharkan sebagai muflis.

''Apabila syarat itu dipenuhi, maka duit lebihan itu akan dimasukkan ke dalam AKPK bagi diagihkan kepada institusi-institusi kewangan yang menjadi tanggungan pelanggan itu,'' katanya.

Beliau memberitahu, bagi pelanggan yang menyertai PPK, maka harus mematuhi sekatan yang dikenakan iaitu paling penting ialah mengubah cara hidup sedia ada.

''Sekiranya selama ini anda hidup dalam keadaan mewah, berkereta mewah, berbelanja besar, mempunyai banyak rumah dan aset, maka dengan menyertai PKK, cara hidup itu perlu berubah.

''Pertama harus membatalkan semua kad kredit, menjual salah sebuah rumah atau kereta mewah. Hanya hidup dengan sebuah rumah dan berkereta biasa. Inilah polisi AKPK iaitu kita tolong orang dengan satu rumah, satu kereta.

''Selain itu, nama pelanggan itu akan dimasukkan ke dalam sistem pangkalan data berkomputer yang dikenali sebagai Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) sehinggalah jumlah hutangnya selesai dan keluar dari PPK.

''Bagaimanapun satu keistimewaan bagi mereka yang masuk program ini ialah di mana semua tindakan undang-undang yang telah diambil oleh institusi kewangan akan dihentikan buat sementara waktu sehingga pembayaran dibuat mengikut program. Jangka bayaran balik selalunya lima tahun hingga 10 tahun, terpulang aliran tunai seseorang,'' jelasnya sambil mengalu-alukan lebih ramai lagi yang bermasalah kewangan untuk berkunjung ke AKPK bagi mendapatkan kaunseling.

Ibu pejabat AKPK terletak di Maju Junction Mall, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur dan boleh dihubungi melalui talian 1 800 88 2575.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin