Saturday, September 18, 2010

ketupat daun palas

Pic: Google

Teks: Masayu Ahmad

Alhamdulilah atas nikmat nyawa hari ini dan juga kesihatan yang masih terpelihara. Selamat sampai ke rumah malam semalam. Perjalanan lancar sebagaimana biasa. Raya tahun ini agak meriah juga walaupun saya beranggapan pada mulanya mahu bersederhana. Kunjungan ke rumah sanak saudara dan teman-teman berlangsung hampir setiap hari.

Raya pertama di rumah mertua, berjaya juga memasak nasi ayam, raya ke dua di rumah saya, kebetulan ada sedikit kesyukuran anak saudara baru. Raya ke tiga ke Terengganu ke majlis perkahwinan sepupu dan singgah di beberapa rumah saudara lagi. Raya ke empat, berjumpa teman-teman lama dalam majlis rumah guru kami. Semalam pun sebelum bertolak pulang singgah dahulu di majlis perkahwinan seorang teman. Gambar, tiada gambar. Memandangkan kononya mahu menyembunyikan kamera dari Hakim, saya sendiri lupa mana saya sembunyikan. ;D

Saya paling kemaruk mahu makan ketupat manis isinya serunding daging. Apa tidaknya, jika selalu memang banyak. Tahun ini bila ada di depan mata saya pula yang kekeyanngan. Tidak mengapa raya haji ini mahu cari. Juga tepung boko ubi kayu, tidak berkesempatan mencarinya. Perut saya mudah penuh dan kenyang.

Sebelum bertolak pulang juga berkesempatan, jumpa kak lah bidan kampung, ore kelate kata jamah perut. Saya tidak mahu jadi seperti sebelum ini semasa melahirkan Aiman, kedudukan bayi tidak berada dalam keadaan sepatutnya. ;D. Kali ini lebih beringat.

Saya masih mood bekerja, sudah ada senarai panjang yang baru yang perlu saya selesaikan. Tidak ada rumah terbuka tahun ini. Saya perlu segera lunaskan banyak perkara dalam, empat bulan ini. Mudah-mudahan akan dipermudahkan.

Juga perancangan tahun hadapan, agar semoga yang saya dan suami sedang doakan dan usahakan akan dipermudahkan. Jika benar ia menjadi kenyataan, ia adalah rezeki untuk bayi ke empat kami. Alhamdulillah. Sudah lama merancang dan menanti, harapannya agar menjadi kenyataan. Jika belum jadi kenyataan, kami tetap akan berusaha ke arah itu. Juga laluan-laluan yang perlu saya tebas semak, samun, jalannya sudah ada, tinggal hanya saya perlu menggandakan usaha.

Saya doakan dalam kembara ini, saya mampu merealisasikan impian saya. Bukan sebagai penulis tersohor, bukan sebagai seorang jutawan, tetapi sebagai anak kampung yang tahu akan menunaikan amanah dan berbudi pada yang sepatutnya.

Jika benar laluan ini diberi keberkatan, agar saya kerjakan dengan sesungguh hati, tidak mahu lagi menoleh ke belakang. Betapa banyaknya halangan, itulah nikmat kehidupan  yang perlu disyukuri. Alhamdulillah atas kurniaan rezeki yang sentiasa mencukupi. Moganya saya terus dapat berbakti kepada orang tua, walaupun sudah berpindah alam. Berusaha agar menyediakan bekalan secukupnya. Insya-Allah.

Sehari sebelum bertolak pulang, sudah tentunya menziarah ke makam arwah bonda seusai subuh. Nyaman dan hening suasana pagi menyambut kedatang kami. Saya bersama adik yang bongsu juga ayahanda. Doa dan bacaan sebagaimana biasa, dikirimkan harapnya arwah bonda tenang dan aman di sana. Sayu rasa hati melihat persekitaran tanah kubur. Cepat atau lambat saya juga akan dijemput pulang. Moganya saya bersedia dan diberi peluang umur yang berkat dan tidak melakukan perkara yang sia-sia. Al- Fatihah.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin