Sumber: Kosmo
Oleh RAIS YEOP JOHARI
rais.johari@kosmo.com.my
SEORANG petugas HTJ membawa mayat Nor Azwa Safrina (gambar kecil) untuk pemeriksaan di Seremban semalam.
SEREMBAN – Seorang bayi perempuan berusia tiga bulan meninggal dunia selepas dihantar ibu bapanya di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Paroi, dekat sini semalam.
Mangsa, Nor Azwa Safrina Hairul Anuar dikatakan dihantar ke pusat asuhan itu pagi semalam kira-kira pukul 7 pagi sebelum ibu bapanya ke tempat kerja.
Menurut nenek mangsa, Zadariah Ismail, 57, dia bergegas ke pusat asuhan itu kira-kira pukul 11 pagi selepas salah seorang penjaga pusat itu menghubunginya memaklumkan keadaan Nor Azwa Safrina didapati lemah.
“Selepas menerima panggilan dari pusat asuhan, saya terus membawa Nor Azwa Safrina ke Klinik Kesihatan Ampangan, di sini dan kemudiannya pihak klinik berkenaan mengarah agar di bawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) untuk rawatan segera.
“Punca kematian masih belum diketahui berikutan pihak hospital masih menjalankan siasatan,'' katanya ketika ditemui di bilik mayat HTJ.
Ibu bapa mangsa, Norhida Md. Noor, 26, dan Hairul Anuar, 28, yang tidak mahu diganggu berikutan kematian anak sulung mereka kelihatan sugul ketika menanti di bilik mayat.
Sementara itu, pengusaha Taska yang enggan dikenali berkata, dia tidak berada di tempat kejadian namun dimaklumkan melalui telefon oleh pengasuh kira-kira pukul 12 tengah hari.
No comments:
Post a Comment