Teks: Masayu Ahmd
Masing-masing punya bahagian, masing-masing punya tanggungjawab dan amanah. Selamat bercuti dan menikmati hari bersama keluarga. Semalam ke Besut ziarah adik beradik, hari ini mahu pulang ke rumah tok ayah.
Semalam di tv3 ada satu rancangan yang menayangkan masakan istimewa temerloh, ikan patin masak tempoyak. Aduhai terliur-liur saya. Berborak dengan mertua semasa makan malam, sedapnya kalau ada patin boleh buat masak termpoyak.
Tadi, usai saya membuka plastik yang berisi ikan yang dibeli atuk kanak-kanak riang. Wallah sungguh terharu, seekor patin segar bergolek di dalam plastik. Aduhai, terharu dan tersentuh hati. Orang tua melihatkan kasih sayangnya yang tidak berbelah bahagi. Malunya dengan khidmat saya yang tidak seberapa, tetapi kasih sayang mereka melimpah-limpah dengan cucu-cucu.
Arissa selalu menemankan mok dan atuk. Berborak dan berbual cara Arissa. Itulah kan dua generasi berbeza. Walau jauh usia, ia hanya didekatkan dengan nilai kasih sayang yang tidak berbelah bahagi.
Saya kadangkala ada juga mengadu kepenatan kepada suami. Aduhai masa menulis sekarang begitu terkejar-kejar. Tetapi selalu pula en.suami mengingatkan bahawa ini, sahaja masa yang ada untuk berkhidmat. Mungkin mereka dijemput bila-bila masa sahaja. Itulah kan, saya selalui diseru-seru syaitan, berbisik-bisik. Penatnya, letihnya. Letih kita sahaja yang kita tahu, letih kita sahaja yang kita adu. Walhal orang tua kita lagi letih dan penat melayan, membesar dan menjaga kita sewaktu kecil. Selalu juga cepat-cepat istigfar. Sudah ada peluang untuk berkhidmat, buat sahaja. Jangan mengada-ngada. Bukan mudah mencari peluang sebegini. Urusan dunia tidak akan habis sampai tutup mata. Setelah tutup mata sudah tidak ada pelung lagi untuk membuat itu dan ini. Menyesal itu dan ini.
Apabila dapat mengembirakan orang tua, rasa juga nikmatnya melihat wajah ceria mereka. Ia tidak memerlukan wang ringgit. Hanya memerlukan ruang masa dan sedikit tenaga. Semoga saya sentiasa diberi kesihatan yang baik untuk menyelesaikan ini dengan redha dan penuh kasih.
Salam kasih sayang, esok pulang ke sini, saya mahu masak ikan patin masak tempoyak istimewa. Patin kasih sayang.
1 comment:
Mas, entri yang menginsafkan.Tk mengingatkan :)
Post a Comment