Thursday, October 22, 2009

WANITA DILARANG BEKERJA, MELAINKAN ...

Saya bersiar-siar di blog Kak Chik (www.keluargakusayang.blogspot.com) sangat tertarik dengan artikel ini untuk panduan kita bersama

Artikel ini ditulis oleh Ustaz Zahazan di www.zahazan.net
Jumaat, 09 Oktober 2009 10:45


Apakah hukum bekerja bagi seseorang perempuan? Sekiranya ia dibenarkan, tolong jelaskan adab lain yang perlu diamalkan bukan saja oleh wanita, tetapi seorang lelaki Muslim kepada wanita yang bukan muhrimnya.
Hamba Allah, Putrajaya

Hukum bekerja bagi seseorang perempuan adalah harus. Berkaitan dengan perkara ini, Sayyid Qutb membuat satu ulasan yang menarik berkaitan dengan peristiwa pertemuan Nabi Musa a.s dengan dua orang anak perempuan hamba yang salih di Madyan. Sesetengah pandangan mengatakan ia adalah Nabi Syuib a.s.

Firman Allah dalam ayat ke 23 surah al-Qasas :

Dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, ia dapati di situ sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan ia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya.

Dia bertanya: "Apa hal kamu berdua?" Mereka menjawab: "Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya". Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan".

Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata:" Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami". Maka ketika Musa datang mendapatkannya dan menceritakan kepadanya kisah-kisah kejadian yang berlaku (mengenai dirinya) berkatalah orang tua itu kepadanya: "Janganlah engkau bimbang, engkau telah selamat dari kaum yang zalim itu ".


Kata Sayyid Qutb, syarat pertama membenarkan wanita bekerja apabila keadaan ekonomi menuntutnya. Pada waktu itu, dia terpaksa keluar untuk memenuhi tuntutan mencari rezki. Ini dapat kita lihat pada frasa ayah kami sudah terlalu tua.

Perkara yang kedua ialah jangan ada percampuran bebas yang berlaku antara lelaki dan perempuan. Perkara ini dapat kita lihat menerusi gambaran ayat "Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing”

Syarat yang ketiga pula ialah kewajipannya memelihara diri & kehormatan. Ini disebut jelas dalam ayat “Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu..” Seseorang wanita yang bekerja wajib menjaga maruah diri agar jangan menjadi wanita murahan mudah bergelak ketawa dengan lelaki-lelaki lain yang merupakan rakan sepejabat. Malah dia dengan mudah menawarkan diri keluar bersama berdua-duaan untuk makan tengahari dan sebagainya.

Ringkasnya, seseorang wanita yang beriman hendaklah memelihara dirinya dari menjadi alat hiburan yang mengasyikkan lelaki-lelaki liar. Allah s.w.t mengajar kaum muslimah agar menjaga diri seperti firmanNya dalam ayat 31 ke surah an-Nur:

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

Merujuk soalan yang kedua pula, lazimnya masyarakat Melayu menggunakan perkataan muhrim yang merujuk kepada golongan yang haram dikahwini. Sebenarnya perkataan yang tepat adalah mahram. Muhrim adalah bermaksud dalam bahasa Arab sebagai orang yang berihram. Ajnabi pula adalah seseorang lelaki yang asing, yang bukan mahram contohnya jiran, rakan sepejabat dan lain-lain. Ajnabiyyah pula adalah seseorang perempuan yang bukan mahram bagi seseorang lelaki contohnya pembantu rumah wanita, pekerja di pejabat dan lain-lain.

Intipati larangan Islam kepada kedua golongan lelaki dan perempuan adalah jangan berdua-duaan dalam satu suasana yang boleh mengundang curiga kepada pihak lain. Dalam banyak hadis yang sahih contohnya seperti yang diriwayatkan oleh al-Bazzar Nabi menjelaskan, tidak akan berdua-duaan seorang lelaki dengan perempuan melainkan syaitan akan jadi yang ketiga.

Selain itu seseorang lelaki juga diharamkan bermusafir bersama seseorang wanita bukan mahram melainkan jika ada lelaki yang merupakan mahram wanita itu. Seorang lelaki juga diharamkan menceritakan urusan peribadinya atau masalah peribadinya kepada seseorang wanita ajnabiyyah (begitu juga sebaliknya).

Imam Nawawi menjelaskan dalam kitab al-Majmuk, maslahat atau kebaikan yang terdapat dalam pemeliharaan hubungan ini adalah demi kepentingan nasab dan keturunan.

Apabila kita melihat masyarakat barat sebagai contohnya yang amat fleksibel dalam hubungan tersebut hingga menatijahkan lebih 80% kelahiran adalah dari pasangan yang tidak dapat dikenal pasti.

Amat benar kata-kata ulama Islam, contohnya Ibnul Qayyim apabila beliau berkata, pensyariatan undang-undang dalam Islam ini semuanya merupakan keadilan dan kebaikan secara mutlak. Justeru menegakkannya menyebabkan kehidupan menjadi teratur dan selamat dari persengketaan.Wallahu a'lam

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin