Friday, January 20, 2012

Dua bayi mati tersedak susu

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Dua bayi lelaki yang ditinggalkan di sebuah pusat asuhan di Taman Permata, Ampang, di sini meninggal dunia hari ini dipercayai akibat tersedak susu.

Dipercayai kejadian yang menimpa bayi malang yang berusia tiga bulan setengah dan tujuh bulan itu berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari.
Difahamkan tragedi itu dikatakan berlaku selang 10 minit apabila bayi berusia 3 bulan itu dihantar ke sebuah poliklinik di Taman Permata untuk diberi rawatan kecemasan.
Menurut bapa kepada salah seorang bayi, Mohd. Faizal Jaafar, 32, dia dimaklumkan tentang kematian anak bongsunya Muzaffar, tiga bulan daripada isterinya yang menerima panggilan dari pusat asuhan.
"Isteri yang bekerja di Bukit Antarabangsa diminta untuk hadir ke poliklinik itu kira-kira pukul 3 petang dan sesampai di sana dia dimaklumkan bahawa anak kami telah meninggal.
"Saya ketika itu berada di Kedah atas urusan kerja dan baru sahaja sampai di sini kira-kira pukul 8 malam tadi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Tambah beliau, Muzaffar adalah anak bongsu daripada dua beradik dan dia baru sahaja ditinggal di pusat asuhan berkenaan tidak sampai sebulan.
Sementara itu, datuk kepada mangsa, Abdul Aziz, 51, pula berkata, dia tidak menyangka kejadian seperti itu akan berlaku kerana cucunya yang bernama Hariz baru 14 hari ditinggalkan untuk dijaga di pusat jagaan terbabit.
Katanya, dia dimaklumkan tentang kejadian oleh anak perempuannya kira-kira pukul 4 petang tadi.
"Cucu saya yang bernama Hariz dimaklumkan kepada kami telah tersedak susu ketika ditinggalkan di situ.
"Namun saya sangsi kerana kejadian itu turut berlaku kepada seorang lagi bayi di situ selang beberapa minit," katanya di HKL.
Ujarnya, cucunya sebelum ini dijaga oleh neneknya tetapi diletakkan di pusat jagaan itu atas faktor kesihatan isterinya itu.
Tambah Abdul Aziz, mereka sekeluarga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika ada unsur cuai dalam kejadian itu.
Arwah Muzaffar akan dikebumikan di Tanah Perkuburan AU5 manakala arwah Hariz disemadikan di Tanah Perkuburan Hulu Klang esok pagi.
Kedua-dua bayi malang itu telah dibawa ke HKL untuk dibedah siasat dan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan kejadian.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin