Teks: Masayu Ahmad
Assalamualaikum w.b.t
Lama tidak membebel di sini, dalam sibuk ke sana ke sini, urus itu dan ini dan kini saya memulai memasuki trek baru. Insya-Allah sudah mulai masuk tempoh bertenang dan menyelesaikan tugasan satu persatu. Alhamdulillah atas apa juga cabaran yang silih berganti digantikan dengan hikmah yang tidak disangka-sangka.
Itulah kehidupan, redah sahaja apabila hujan, rehat sekejap apabila penat. Alhamdulillah anak-anak sudah sihat, saya kembali rutin baru. Mahu melihat semula susunan manuskrip yang tidak disentuh dan mula menyenaraikan semula atau membuat senarai semak yang baru.
Sebelum itu saya mahu kongsikan dilema sahabat kita, sebelum saya mengulas atau memberi pandangan, sahabat-sahabat sekelian boleh juga memberikan idea atau sebarang dua kata.
Assalamualaikum w.b.t
Saya perlukan pendapat. Saya masih bekerja dan secara sambilan membuat tempahan kek, coklat dan door gift.
Sekarang dalam dilema kerana hati sudah tidak sepenuhnya bekerja lagi, melainkan mahu menguruskan anak-anak, suami dan bisnes. Suami juga bekerja sendiri dan bisnes masih belum stabil.
Setiap hari memberontak untuk tidak pergi bekerja namun digagahkan juga apabila memikirkan kewangan keluarga yang saya tanggung bagi membantu suami.
Bagaimana saya hendak melunaskan dan meningkatkan lagi pendapatan bisnes, agar saya dapat melakukan apa yang betul-betul saya minat dan di samping kewangan keluarga tidak terjejas.
Ini ulasan saya:
Ada dua keutamaan kenapa ramai wanita sangat mahu bekerja dari rumah.
1. Menjana pendapatan
2. Mengurus keluarga
Terdapat 4 perkara penting yang perlu difikirkan Asfaziahtun
1. Suami bekerja sendiri dan masih belum stabil- saya kira, puan Asfaziahtun perlu merancang semula niat untuk berhenti kerja dan berbincang dengan semua apa risiko berkaitan kewangan sekiranya berhenti kerja.
2. Kewangan keluarga yang ditanggung bagi membantu suami- Ini juga perlu difikirkan kerana, berhenti kerja dengan perancangan yang kukuh dan juga mempunyai tabungan yang cukup sekurang-kurangnya 2 tahun, sebelum bisnes benar-benar stabil.
3. Bekerja secara sambilan membuat tempahan kek, coklat dan door gift.- Puan, fokuskan semula untuk mula fokus menerima tempahan dan jadikan ia sebagai bisnes yang lebih profesional.
4. Hendak melunaskan dan meningkatkan lagi pendapatan bisnes- Promosi, promosi, promosi, pemasaran, khidmat pelanggan, pemasaran dan banyak lagi. Ini adalah berterusaan dan gali ilmu baru setiap hari.
Saya selalu berkongsi, lakukan secara sambilan kerja atau bisnes yang dipilih semasa anda masih bekerja dan selepas pendapatan itu sudah stabil barulah mula meletakkan tempoh atau tarikh untuk berhenti kerja.
Saya petik dari buku Jana RM Dari Rumah mukasurat 205-206
Persediaan asas kewangan bermula daripada persediaan mengurus pendapatan dan perbelanjaan isi rumah. Anda perlu mengetahui semua punca sumber pendapatan dan aliran wang keluar iaitu perbelanjaan isi rumah.
Persediaan ke dua ialah mengumpul modal secara konsisten di dalam tabung khas
Ada dua jenis tabung khas, pertama tabung untuk menampung perbeleanjaan sekurang-kurangnya 12 bulan selepas notis tamat perkhidmatan.
Tabung khas kedua adalah sebagai modal yang bersumberkan simpanan sendiri tanpa perlu berhutang. Matlamat di sini adalah untuk memastikan anda bebas hutang dan mampu mengusahakan bisnes dengan risiko yang kecil.