Friday, July 23, 2010

Ulasan Jana RM Dari Rumah-http://www.ulfanur.com

Latifah Ulfa Ismail adalah salah seorang peserta yang pernah menyertai peraduan buku inspirasi yang pernah saya anjurkan buat kali pertama. Bagi mereka yang sudah membeli buku ini boleh melihat perkongsian pengalaman beliasu sebagai wanita bekerjaya, isteri dan ibu pada muka surat 41 hingga 44.

Terima kasih buat Puan Latifah kerana menyertai ulasan buku Jana Rm Dari Rumah. Saya menghargainya.

Jejak blog peserta ulasan buku Jana RM Dari Rumah:http://www.ulfanur.com/2010/07/jana-rm-dari-rumah.html


Sejak bergelar ibu, impian saya hanyalah mahu melihat anak-anak saya membesar di hadapan mata saya sendiri. Saya mahu menjadi orang yang pertama menyaksikan setiap pencapaian pertumbuhan mereka. Namun, tuntutan ekonomi tidak memungkinkan hanya suami sahaja keluar bekerja sedangkan kami mempunyai 1001 impian terhadap anak-anak. Justeru itu, saya harus turut bekerja.

Namun bekerja di bawah majikan tidak memungkinkan saya mencapai saya untuk bersama anak-anak. Jadi untuk itu, saya harus bekerja sendiri dari rumah supaya saya mempunyai lebih masa untuk anak-anak di dalam masa yang sama masih mampu menjana pendapatan.

Di dalam pencarian saya menuju impian ini, saya terjumpa banyak buku seperti ini di pasaran. Namun buku Jana RM Dari Rumah karya Masayu Ahmad ini terasa dekat di hati saya.

Saya telah mengikuti blog Puan Masayu lama sebelum buku ini diterbitkan. Beliau yang mempunyai 3 orang anak lelaki dan sangat meminati bidang penulisan terasa mempunyai banyak persamaan dengan diri saya.

Justeru itu apabila buku beliau ini saya baca, mahu tidak mahu saya banyak bersetuju dengan apa yang beliau perkatakan di dalam buku ini. Buku ini membawa pembaca seperti saya, seseorang yang mengimpikan untuk bekerja dari rumah, memahami realiti sebenar bekerja dari rumah.

Mungkin pada mereka yang belum bekerja di rumah, mereka merasakan betapa senangnya bekerja di rumah. Tidak perlu terperangkap dengan kesesakan trafik, tidak perlu berhadapan dengan majikan yang tidak menentu moodnya, tidak perlu berurusan dengan karenah kakitangan dan pelanggan syarikat yang memeningkan kepala dan pelbagai lagi. Saya juga berfikir begitu mulanya.

Tetapi setelah mendalami buku ini, barulah saya faham bahawa bekerja dari rumah itu sebenarnya lebih memeningkan dan sangat stress. Bekerja di rumah bermakna kitalah sendiri yang menentukan kembung kempisnya poket kita. Jika mahu pendapatan yang lumayan, maka kita harus bekerja 200% lebih kuat daripada orang lain. Jika kita gagal mengimbangi di antara rumahtangga dan bisnes/kerjaya, maka berakhirlah zaman mewah kita.

Seperti yang saya katakan tadi, penulis banyak berkongsi pengalaman dirinya dan orang lain yang terlebih dahulu berjaya bekerja dari rumah. Bagaimana mereka mengimbangi urusan rumahtangga dan kerjaya adalah isu terpenting yang harus dihadami oleh semua yang berminat dengan kerjaya seumpama ini. Kemudian, pemilihan bisnes atau kerjaya yang sesuai tidak kurang pentingnya kerana ia akan menentukan survival kita untuk bekerja di rumah.

Seterusnya penulis juga berkongsi petua-petua dan tips-tips berguna untuk menguruskan rumahtangga. Ini juga aspek yang penting kerana sekiranya rumahtangga tidak diurus dengan baik, bisnes/kerjaya dari rumah juga akan menerima tempiasnya.

Pembaca juga didedahkan dengan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh mereka yang bekerja dari rumah, bagaimana menangani cabaran tersebut seterusnya menjadikan cabaran tersebut sebagai motivasi untuk terus sukses. Penulis juga berkongsi bagaimana merangka pelan bisnes dan pelan pemasaran serta pengurusan asas kewangan.

Satu aspek yang saya jarang temui di dalam buku lain seumpama ini adalah bagaimana penulis berkongsi persediaan yang harus dan wajib dilakukan oleh mereka yang bercita-cita bekerja dari rumah. Saya kira aspek ini juga yang akan menentukan sejauh mana kita akan pergi di dalam bekerja dari rumah. Penyelidikan mengenai kekuatan dan kelemahan diri serta peluang dan ancaman sangat penting untuk menentukan sama ada kita benar-benar bersedia untuk menyahut cabaran ini. Seterusnya penyelidikan mengenai bisnes atau kerjaya pilihan juga tidak kurang pentingnya. Persediaan lain seperti aspek kewangan, peralatan, sokongan keluarga dan sebagainya juga harus dimulakan sebelum kita menyerahkan surat perletakan jawatan kepada majikan supaya apabila sudah berhenti nanti, kita tidak akan menoleh ke belakang lagi.
Saya dapati penulis telah melakukan kajian yang sangat mendalam sebelum menulis buku ini. Begitu banyak idea yang ingin penulis tampilkan sehingga kadangkala ia kelihatan agak tidak tersusun. Ada beberapa bab yang seperti bertindan, misalnya bab 4-Konsep Bekerja Dari Rumah dan bab 5-Pilihan Kerjaya Dari Rumah yang saya rasa isinya lebih kurang sama. Susunan tips-tips di dalam aspek yang sama kadang kala tidak begitu kemas dan bertaburan di sana sini.

Pun begitu, saya kira ini karya pertama penulis yang sangat baik. Masih ada ruang untuk pembaikan dan saya optimis buku penulis yang akan datang, akan menjanjikan sentuhan yang lebih cemerlang. Saya pasti itu. Saya juga sangat berterima kasih kerana penulis memasukkan cerita yang saya tulis lewat peraduan buku inspirasi 2010 (di blog penulis juga) di halaman 41-44 buku ini. Saya sungguh teruja!

Apa pun, syabas Puan Masayu. Sesungguhnya buku yang berkualiti seperti inilah yang seharusnya menjadi santapan minda kita semua.

Nota: Terima kasih kerana memberi pandangan yang begitu telus, berkenaan dengan bab yang dimaksudkan itu akan saya perhalusi semula. Mungkin juga cabaran saya menyiapkan buku ini sebenarnya dalam tempoh sebulan sahaja.
 Biasanya saya mengambil masa 4 bulan untuk tempoh selesa menyiapkan  satu-satu manuskrip. Insya-Allah untuk buku-buku yang lain pada masa hadapan akan lebih teliti lagi. Terima kasih atas ulasan dan kritikan, saya menerima dengan hati terbuka ;D

1 comment:

Ely Hasrul said...

wahh xmampu rasenye nak buat komen mcm nih hihi..

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin