Teks: Masayu Ahmad
Banyak cara dan pendekatan untuk mendidik anak-anak di rumah. Sudah tentulah ada imbangan antara ilmu akhirat dan ilmu dunia. Laman web dan juga blog ibu-ibu yang memberi informasi dan perkongsian pengalaman sudah tentu salah satu cara untuk kita mengambil dan mencerap apa cara terbaik untuk anak masing-masing.
Saya sendiri juga dalam proses melatih dan mencari pendekatan yang sesuai untuk Hakim, Arif dan Aiman. Paling mencabar adalah Hakim, kerana dia tidak mahu fokus dan berlama-lamaan belajar sesuatu perkara. Tetapi saya tahu, Hakim seperti saya cepat dan mudah bosan dalam sesuatu perkara. Mula mencari perkara baru atau suasana baru. Apabila saya ubah kedudukan bilik bekerja, mereka turut seronok. Sudah tidak boleh dipisahkan, di mana ibu, di situlah lokasi kanak-kanak riang bertiga. ;D
Dalam beberapa minggu ini sudah banyak perubahan pada Hakim. Aiman sangat cepat, pada usia 2 tahun 5 bulan, Aiman sudah mengingati alif hingga ya. Begitu juga Arif sudah juga ingat dan mengenal alif hingga ya. Walaupun tidak sehabat anak-anak orang lain, usia tiga hingga 4 tahun sudah banyak menghafaz ayat-ayat lazim. Insya-Allah saya masih lagi cuba memberi terbaik pada anak-anak. Hakim al-Fatihah sudah laju, begitu juga ayat-ayat pilihan tertentu, perlu sama-sama membaca barulah boleh diikut dan disambung.
Beberapa pendekatan yang saya lihat beri banyak ruang untuk belajar
Tidak ada siaran tv
Saya rasa kali ini sudah menjejaki 3 minggu siaran tv ditutup terus. Jika tidak anak-anak tidak mahu belajar. Biarlah dia fokus dengan komputer berbanding tv. Apatah tidak suka sangat dengan aksi ultraman, bukan satu, tetapi banyak jenis ultraman. Ultraman gaya, ultraman kosmos, entah apa-apa lagi namanya.
Bukan sahaja ketagih, tetapi aksi-aksi juga buat saya cukup risau. Saya asyik-asyik terfikir apa cara lagi yang boleh dilakukan membuang ketagih mereka. Pada mulanya hanya sekadar sebentar, tetapi menjadi ketagih, aksi dan watak. Oh, sangat risau.
Ulangan bacaan Alif, ba ta sangat mujarab
Mereka akan mendengar dan menyanyi, ulang dan ulang. Ya lah kadang kala saya sendiri tidak sempat, tetapi pastikan juga setiap hari ada ulangan al-quran. Kelas tahfiz, insya-allah saya akan sambung semula buat Hakim, Arif dan Aiman. Selain sangat suka mendengar mereka berzikir munjat dalam pelat, surah pilihan dan ayat-ayat Al-quran, saya dapat merasakan mereka secara tidak langsung mudah untuk menerima ilmu yang lain. Saya tidak meletakkan standard pencapaian, cukup sekadar setiap hari ada sentuhan dan pemantauan.
Perubahan Hakim
Semasa menghadiri satu seminar bulan lima dahulu, antara petua yang diberi penceramah untuk anak-anak yang aktif, lasak, dan banyak keletah (bukan nakalnya, ibu-ibu jangan sesekali menyebut anak nakal, doa ibu sangat mujarab), gosok di ubun-ubun kepala, baca Ya-Syafiq, Ya- Syafiq setiap malam ketika menidurkan anak.
Alhamdulillah, sekarang Hakim boleh lihat perubahannya, bangun pagi sudah tahu apa yang ibu suruh, mandi, makan dan buat kerja sekolah. Ayat-ayatnya juga sudah menyejukkan hati,
"Saya sayang ibu," datang peluk-peluk, jika sudah tahu ibu sudah mula naik angin. Terus sejuk.
"Baiklah" atau " yalah-yalah," apabila di suruh.
"Hakim mandi ya bu,"
Hanya kadangkala sahaja memang suka mengusik-usik Arif dan Aiman. Itu sudah lazim kanak-kanak, jika diam tidak meriah pula.
Itulah cabaran, bukan sekadar suri rumah, tetapi bertindak juga sebagai guru. Sebagai ibu perlu menerokai ilmu yang luasnya tanpa sempadan. Melihat pula perkembangan anak-anak hari ini yang begitu cepat dan sangat bijak. Melihatkan kanak-kanak lain yang sudah maju, cepat membaca, menghafal al-quran dan surah. Sangat cemburu, tetapi walau apa cara pun tetap berusaha dan berusaha agar anak-anak terdidik dengan ilmu agama/ akhirat dan ilmu dunia. Menmandangkan saya yang serba kekurangan ini, haruslah berusaha lebih memandangkan amanah ini bukanlah satu amanah yang mudah. Apapun tetap berusaha mencari pendekatan yang terbaik buat anak-anak.
Satu artikel yang saya baca, sudah lupa nama web tersebut. Melatih anak-anak solat lima waktu sebelum usia lima tahun dan sebelum usia tujuh tahun sudah dibiasakan dengan mengajak anak qiamulail bersama-sama iaitu solat malam, tahajud dan sebagainya. Maghrib dan isyak nampaknya sudah tidak ada masalah, memandangkan sudah dibawa si ayah ke masjid dan surau. Cumanya subuh, sudah boleh bermula untuk Hakim. Melentur buluh biar dari rebun. Mahu istiqamah buat anak-anak, sudah tentu ibu bapa sendiri yang perlu istiqamah terlebih dahulu. Betapa masih ceteknya amalan, semoga hamba ini diampunkan dosa-dosanya.
Salam kasih sayang
http://www.masayuahmad.com/
1 comment:
bagus didikan kak mas tu...
sy pun pening juga nk tarbuiyah anak2 zaman skrg ni...tp cubalah yg terbaik kan?
kak,ada blog award utk akk ni , kalau sudi, silalah ambil .. :)
http://ummi-hanie.blogspot.com/2010/07/lagi-lagi-award-interesting-blog-top.html
Post a Comment