Friday, March 11, 2011

Jangan borak kosong saat orang lain buat untung

Oleh: Sri Diah Shaharuddin (Pengurus Besar Editorial Grup Buku Karangkraf)

3/11/2011 7:35:26 AM
Sinar Harian
http://www.sinarharian.com.my/sh/kolumnis/content.asp?ID=95


Bukan setakat buku, pakaian, barangan hiasan rumah atau keperluan kecantikan, sekarang ini jika hendak membeli tepung goreng ayam ataupun serbuk keju juga boleh dibeli menerusi dalam talian (online). Asalkan ada akaun, klik sahaja dan segeralah membuat pemindahan wang. Selang sehari barang yang dipesan sudah sampai depan mata. Mudahnya!


Baru-baru ini saya memesan sehelai kain tudung. Sebelum itu saya memesan sejenis peralatan dapur. Apabila bayaran telah dilakukan, kedua-duanya tiba tepat seperti yang dijanjikan. Ketepatan janji ini, membuatkan saya mahu memesan barangan lain pula minggu hadapan. Ya, sambal bilis!

Tulisan ini lebih menjurus kepada wanita yang tidak bekerja. Oleh kerana beberapa keadaan, ramai wanita terpaksa berhenti kerja walaupun ada yang mempunyai kelulusan tinggi. Tidak dinafikan jika mereka keluar bekerja, mereka semestinya boleh mendapat pendapatan hingga enam angka.
Ya, bekerjalah dari rumah, cari pendapatan sendiri. Walaupun ramai yang mendapat duit daripada suami, namun meraih pendapatan sendiri lebih memuaskan perasaan. Mendapat duit hasil usaha sendiri tidak sama dengan mendapat duit pemberian orang lain.

Hendak buat kerja apa? Anda boleh menulis, menghasilkan buku. Boleh juga membuat kerja-kerja menaip, di samping menjaga anak, boleh menghasilkan kusyen dan langsir dan dijual dalam talian. Boleh juga membuat kerja terjemahan. Setidaknya, buatlah kraf tangan mudah dan cantik. Jual karipap dingin beku dan kerepek juga boleh mendatangkan hasil.

Blog adalah medium terbaik. Setiap posting akan diarkib, tidak hilang segala info. Cubalah klik sahaja di laman carian tentang apa sahaja kerja dari rumah, akan muncul berderet-deret info dan link. Pergi sahaja ke link berkenaan dan lihatlah bagaimana mereka menghasilkan pendapatan sampingan.

Dalam masa sama, mestilah rajin updated blog. Beri profil dengan lengkap, nyatakan jenis bisnes dengan tepat. Ketahuilah ciri-ciri lain dan etika lain untuk menjadikan blog kita kerap dikunjungi dan selalu mendapat respons daripada pembaca.

Kemahiran menghasilkan gambar menarik dan menulis dengan ciri-ciri seorang penjual yang hebat mesti dipelajari juga. Jika perlu, masukkan video, mesti interaktif. Itu semua ada kaedahnya. Ada banyak maklumat dan buku di pasaran yang boleh membimbing anda ke arah ini.

Jika tidak berhati-hati, berbisnes dalam talian ini juga memudahkan anda ditipu, namun jadilah seorang yang cerdik sebelum anda ditipu. Pemasarannya ada corak dan keunikan tersendiri. Menarik orang datang ke laman kita juga ada caranya. Berniaga perlahan-lahan asal konsisten. Jangan fikir untung sekejap sebalik-nya berniagalah supaya dapat mengutip untung berpanjangan. Setiap minggu ada wang masuk, setiap bulan pula wang itu digandakan hinggakan pendapatan anda mencapai lebih enam angka. Jangan lupa, jutawan online kita juga bermula dengan sedikit demi sedikit.

Itu semua akan anda dapat menerusi pengalaman hari demi hari di samping menambah kenalan dalam kalangan mereka yang sama berbisnes dalam talian juga. Berkongsilah informasi. Berkomunikasilah dengan jujur dan pelajari segala panduan berkaitan.

Walaupun kini Facebook mendapat pujian dan menjadi kegemaran ramai, namun ciri-ciri laman sosialnya tidak memungkinkan anda berniaga dengan serius. Melainkan anda menjadikan Facebook sebagai alat mencari rakan niaga dan mempromosi produk.

Namun segala urusan jual beli dilakukan di blog. Kumpul seberapa banyak kenalan di Facebook, kemudian tariklah mereka ke blog anda.

Pesanan penting saya ialah jaga etika – jangan spam! Ini menyalahi prinsip, melainkan rakan itu amat akrab dengan anda dan tahu tentang bisnes masing-masing. Sebenarnya cara menulis di status juga ada strateginya. Ciri-ciri memuji diri sendiri atau merendahkan jenama atau produk orang lain adalah satu kesilapan besar.

Sekarang saya sedang membaca buku berjudul Jana RM Dari Rumah tulisan Masayu Ahmad terbitan Grup Buku Karangkraf. Buku ini bagus untuk dijadikan panduan berniaga dalam talian.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin