Teks: www.masayuahmad.com
Bazar Tok Guru
Alhamdulillah saya semakin serasi dengan rutin baru, anak-anak juga berselang seli dihantar ke taska untuk memberi keserasian kepada mereka. Arissa menolak susu yang diberi dalam botol, dia hanya tunggu saya balik baru minum susu. Jadi Arissa makan dan minum air masak sahaja. Sekiranya ada urusan di luar saya akan memberikan Arissa susu sepuasnya. Pada malam hari juga sepanjang masa mengempeng sahaja dengan saya. Alhamdulillah dia lebih selesa dengan hanya susu saya sahaja, mengeleng-ngeleng dan menolak terus jika disuakan susu lain. Saya perlu menyimpan stok untuk cik mek. Jika ada urusan luar saya pastikan, masanya singkat dan bersegera pulang untuk mendapatkan Arissa.
Selesai juga persiapan sekolah Hakim, tinggal sahaja lagi pendaftaran ke tadika PASTI untuk Arif dan Aiman. Setiap hari dan jika kelapangan saya selalu berkongsi bahawa mulai Januari depan, mereka akan mula belajar dan juga siang hari terus belajar quran. Maksudnya pengisian hari mereka akan penuh, Hakim selepas pulang sekolah akan transit dan belajar mengaji, begitu juga Arif dan Aiman. Apabila pulang ke rumah semua hanya boleh berehat dan meluangkan masa bersama saya dan en.suami sahaja.
Saya cuba meningkatkan kapasiti diri menyelesaikan tugas sehingga jam 4 petang, dan selepas itu cuba untuk memberi tumpuan kepada anak-anak pula. Intensiti pembahagian tugas ini sangat perlu, kerana saya menulis, menyediakan khidmat periklanan dan juga akan datang jual buku secara online. Agihan tugas ini sudah saya kongsikan dalam satu manuskrip saya supermama ideal yang mana sudah berada di tangan editor untuk penilaian kali ke dua selepas saya membuat rombakan besar-besaran. Supermama ideal perkongsian realiti sebenar tentang ibu bekerjaya,suri rumah tangga sepenuh masa, usahawan atau apa sahaja status wanita sibuk yang perlu bijak dalam agihan tugas kerjaya, rumah tangga dan juga imbangan masa. Segalanya ada dalam manuskrip ini. Doakan perjalanan manuskrip ini dipermudahkan akan cepat diterbitkan.
Ebook terbaru masih juga dalam proses penyuntingan 90 peratus, yang mana ebook langkah demi langkah membuka butik online dan offline, saya kongsikan realiti dan juga perkongsian pemilik butik. Doakan saya segera selesai penyuntingan ebook ini dan serahkan kepada pihak penerbit untuk proses seterusnya.
Juga tugasan terbaru yang mencuri masa saya untuk menyiakan 30 kisah Islami untuk kanak-kanak dengan kadar segera. Mohon saya diberi kekuatan untuk melunaskan tanggungjawab yang sudah diberikan. Juga penyelidikan tentang homestay yang mana banyak saya kongsikan di blog www.cuti-cutikelate.blogspot. Ini juga sedang dikumpulkan info dan panduannya.
Kembali kepada tajuk asal tentang negeri Cik Siti Wan Kembang, selepas dua minggu menjalankan kutipan data dan maklumat secara agresif, sukacita saya menyatakan kejakunan saya tentang rakyat negeri ini. Pembangunan yang berselindung dan saya kira rata-ratanya mempunyai bisnes sendiri dan gigih berusaha. Di ceruk kampung tersergam rumah-rumah banglo dan juga jutawan senyap yang memang low profile. Rakyat negeri ini memang diam-diam berisi. Diam-diam gigih berusaha, mempunyai bisnes, dan juga kilang.
Jika di Bukit Bintang ada pavilion, di Kelantan juga akan ada Pavilion Tunjung yang sudah mula pecah tanah. Segalanya sudah ada di sini, juga keunikan makanan dan tradisinya. Inilah membuatkan saya mula menerima hakikat pembangunan di sini dan juga kos sara hidup yang masih rendah. Alhamdulillah atas nikmat tuhan untuk saya menumpang di negeri bertuah ini. Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment