Teks: www.masayuahmad.com
Semenjak saya mengumpul maklumat bisnes skala kecil, banyak perkara yang membuat saya teruja dan juga menyatakan kesasihan yang selama ini bermain di minda. Negeri Cik Siti Wan Kembang, rakyatnya berdikari dan wanitanya suka berniaga. Ini bukan omongan kosong, ia antara pengisian awal penjelajahan pencarian maklumat saya.
Juga, ramai warga asing yang pandai mengambil peluang, menjadi usahawan berjaya di sini. Bukan sekadar berniaga biasa, tetapi mempunyai kilang. Aduhai saya sungguh terpana, mereka datang sehelai pinggang, kemudiannya mungkin sudah bergelar jutawan. Saya memandang ia dari sisi positif, mereka membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Sisi positif yang lain, kita perlu bersaing dan belajar bahawa, perlu berusaha luar biasa seperti mereka. Mereka datang sehelsai sepinggan boleh berjaya, masakan pula kita yang mempunyai pelbagai kemudahan malas pula berusaha. Orang luar yang membuka kedai, orang tempatan yang membeli belah. Kita tukar semula, orang tempatan membuka kedai orang luar datang melancong dan menabur limpahan wang dalam sektor pelancongan.
Suka saya nyatakan kebanyakan pengusaha bisnes kecil ini berdikari dan berusaha dalam mengembangkan bisnes mereka. Inilah yang uniknya di negeri ini. Ini bukan omong kosong, saya begitu terkesan dengan keadaan ini. Mereka berdikari atas titik peluh sendiri, dan mereka tegar berusaha kerana rezeki adalah daripada Allah s.w.t. Limpahan kenikmatan ini boleh dirasai dengan suasana tenang dan masing-masing melunaskan usaha atas tanggungjawab sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi. Inilah antara kesimpulan awal saya. Masih banyak lagi perkongsian menarik, sudah tentu saya akan bukukan kelak. Ia boleh dijadikan rujukan khusus kepada pengusaha bisnes skala kecil. Doakan agar saya diberi kesihatan yang baik agar pencarian maklumat ini mampu dimanfaatkan kepada kalian, pembaca setia blog ini.
Salam kasih sayang.
No comments:
Post a Comment