Monday, August 15, 2011

Ikan bakar, kerabu mangga menu Ramadhan 15

Teks; http://www.masayuahmad.com/

Salam kasih sayang, sudah jam 3 petang, Arissa sudah lena di buai, Hakim baru sahaja saya jemput tadi. Apa menu kalia hari ini agaknya. Mak mertua sudah bagi isyarat dia mahu masak hari ini, jadi ada ruang sedikit untuk saya meneruskan 'kerja-kerja' saya, jika tidak jam 3 saya akan masak menu utama. Kemudian berselang seli selepas Asar. Katanya mahu masak ikan bakar dan kerabu mangga.

Kerabu ala kelantan

Alhamdulillah juga pilihan memasak untuk bulan puasa tidak berlemak, kebanyakan adalah bersup, berkuahkan air, tiada santan. Selang seli dengan pelbagai jenis kerabu, kerabu ala kelantan yang bahan asas perlu ada santan pekat, bawang merah (tumbuk), lada hitam (tumbuk), ikan rebus (tumbuk) kelapa goreng (tumbuk), dan asam limau dan daun kesum.

Untuk bahan utama kerabu, jika mahu kerabu timun batang, maka timun batang diracik halus dan campurlah dengan bahan asas yang saya senaraikan. Boleh tukar dengan tajuk kerabu lain, contohnya nangka muda, rebus dulu nangka muda dan hiris-hiris dan campur dengan bahan asas kerabu, maka jadilah kerabu nangka ala kelantan, boleh juga campuran timun batang dan kacang panjang. Jika mahu lagi usus lembu direbus dan dihiris halus, campurkan juga dengan bahan asas. Jadilah kerabu usus ala kelate.

Menu sihat

Menu sihat seperti sup tulang, sup sayur, tomyam, patin masak tempoyak, itulah antara lauk yang saya masak berselang seli.

Juga minuman panas teh o dan air suam, juga tamar. Itu sahaja. Untuk moreh selalu ada akok kedut, buah tanjung jala mas. Menu di Kelantan memang meriah dengan juadah lauk pauk pelbagai rupa. Alhamdulillah masak pun ala kadar dan tidak banyak, tiada lagi yang buang, semuanya cukup-cukup.

Saya terbau pulut yang ditanak mertua. Katanya tadi mahu masak nasi manis atau wajik. Alhamdulillah masih dapat merasa resipi kasih sayang mertua. Indahnya Ramadhan kali ini bukan sekadar menu makanan, saya dapat merasakan kali ini puasa saya lebih baik dari tahun sudah. Ada konsisten dalam penghayatan dan amal. Moganya saya lebih konsisten untuk 15 hari lagi.

Salam kasih sayang

http://www.janawangdirumah.com/

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin