SOALAN: Adakah makanan organik penting di dalam diet bayi atau kanak-kanak?
Jawapan: Pertama sekali, marilah kami menjawab soalan: “Apakah sebenarnya organik?” Makanan organik adalah makanan yang ditanam tanpa menggunakan baja kimia atau racun perosak kimia. Satu kelebihan tanaman organik ialah pencemaran kimia dan racun perosak dapat dikurangkan hampir ke tahap kosong.
Sebagai contoh, seorang petani yang mengusahakan kebunnya secara tidak organik boleh mengalirkan racun perosak yang digunakannya dan mencemarkan sistem pengairan petani yang mengamalkan tanaman organik, meskipun kedua-dua kebun terletak berjauhan.
Sayuran organik mungkin lebih sihat kerana kurang atau tiada langsung bahan kimia/racun perosak. Akan tetapi, banyak kajian mengatakan adanya kemungkinan ia tidak meningkatkan kualiti pemakanan.
Membeli dan menyediakan makanan organik untuk bayi mungkin mempunyai beberapa kelebihan dari segi kesihatan. Tetapi jangan biarkan orang lain memberitahu anda yang anda membazir masa jika anda tidak menggunakan organik.
Pilihan ini adalah pilihan peribadi. Pilihan anda dibuat berdasarkan gaya hidup, lokasi, pengetahuan dan faktor perbezaan harga antara organik dan bukan organik.
Jangan biarkan ketidakmampuan membeli atau ketiadaan tanaman organik menjadi penghalang untuk menyediakan makanan yang segar dan berkhasiat untuk bayi.
Buah-buahan dan sayur-sayuran segar yang dicuci dengan sempurna serta bijian penuh yang bukan organik juga boleh digunakan.
Apa yang penting adalah anda memberikan bayi anda makanan segar dan membantu membina tabiat makan yang sihat dari awal-awal lagi.
Soalan dijawab oleh Prof. Madya Dr. Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan, Setiausaha Kehormat Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM)
S: Apakah yang akan terjadi jika seorang wanita hamil didapati mempunyai ketum-
buhan bergentian (fibroid) apabila menjalani pemeriksaan ultrabunyi semasa hamil?
J: Jika ketumbuhan tersebut dijumpai buat pertama kalinya apabila wanita tersebut sudah hamil, maka langkah yang terbaik ialah untuk memerhatikan sama ada saiz ketumbuhan semakin bertambah atau sebaliknya.
Sesetengah daripada ketumbuhan tersebut akan hilang semasa kehamilan bertambah besar kerana ia akan menjadi tegang akibat pengembangan otot rahim.
Jika ketumbuhan didapati kian membesar, ia akan dikawal secara konservatif iaitu tanpa melibatkan sebarang pembedahan.
Ketumbuhan jenis ini juga mungkin akan mendatangkan pelbagai masalah kehamilan seperti risiko keguguran yang tinggi, kelahiran belum cukup bulan dan sakit pada bahagian abdomen.
Wanita tersebut juga berkemungkinan terpaksa menjalani pembedahan Caesarean jika kedudukan bayi dalam rahim menjadi tidak normal akibat kehadiran ketumbuhan.
Soalan dijawab oleh Prof. Dr. Muhammad Abdul Jamil Mohd. Yassin, Pakar Runding Kanan Obstetrik & Ginekologi, Persatuan Obstetrik & Ginekologi Malaysia (OGSM)
S: Mengapakah bayi saya yang berusia tujuh bulan mengalami sembelit? Bagaimanakah cara untuk mengelakkan sembelit?
J: Pada kebiasaannya, bayi mengalami sembelit kerana dietnya kurang mengandungi serabut dan terlalu banyak hasil tenusu.
Lebihkan pemberian buah-buahan (seperti betik dan pisang yang dilecek) dan tambahkan sayur-sayuran (seperti bayam dan lobak merah yang dicincang) ke dalam bubur.
Berikan puri buah prun dan/atau jus prun. Proses memuri buah prun adalah amat mudah dan anda boleh juga mencampurkan puri ini ke dalam buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin yang si bayi makan.
Anda juga boleh menggunakan lebihan jus hasil daripada mengukus prun sebelum membuat puri. Campurkan jus ini bersama buah-buahan, sayuran dan bijirin.
Pastikan si bayi meminum air yang mencukupi. Memberi bayi minum banyak air dan jus buah-buahan tanpa gula juga dapat membantu bayi yang sembelit.
Ini boleh diperkenalkan kepada si bayi apabila dia berusia di sekitar 6-8 bulan. Walaupun jus buah-buahan dapat membantu mengatasi masalah sembelit, ia bukanlah bahagian penting dan perlu dalam diet bayi. Soalan dijawab oleh Prof. Madya Dr. Poh Bee Koon
S: Apakah makanan yang perlu saya elakkan sewaktu menyusukan bayi? Adakah selamat jika saya mengambil minuman beralkohol?
J: Dalam tempoh sebulan selepas melahirkan bayi, ramai wanita sama ada kaum Melayu, Cina atau India akan menjalani tempoh berpantang.
Dari pandangan perubatan tradisional, ini mungkin untuk memulihkan semula keseimbangan humoral atau keseimbangan ying dan yang ibu yang baru bersalin.
Amalan mengelakkan makanan tertentu boleh menyebabkan kekurangan zat dan kerumitan seperti sembelit jika ibu tidak mengambil buah-buahan dan sayuran.
Wanita Cina biasanya mengambil sedikit alkohol sewaktu berpantang untuk tujuan perubatan. Jika anda mengambil alkohol, cuba elakkan daripada menyusukan bayi untuk tempoh tiga hingga empat jam bagi membolehkan susu ibu bebas daripada alkohol.
Kesan alkohol terhadap bayi yang mengambil susu ibu berkait secara langsung dengan jumlah yang diambil oleh ibu.
Ingatlah bahawa bayi baru lahir mempunyai hati yang belum matang dan lebih mudah menimbulkan masalah berbanding bayi yang lebih dewasa. Justeru, cara yang paling selamat ialah mengelakkan pengambilan alkohol sepenuhnya.
Soalan dijawab oleh Prof. Madya Dr. Poh Bee Koon
S: Apakah pensampelan vilus korionik (CVS)? Adakah ia berbahaya kepada saya atau janin?
J: CVS adalah satu ujian perubatan di mana sedikit tisu plasenta diambil, sama ada menerusi abdomen atau faraj dengan menggunakan jarum.
Ia dilakukan pada awal kehamilan bagi menjalankan kajian genetik janin.
Diagnosis seperti sindrom Down atau kecacatan genetik yang lain boleh dilakukan sebelum bulan ketiga kehamilan.
Gangguan darah seperti talasemia juga boleh didiagnos. Oleh kerana CVS adalah ujian invasif yang melibatkan penggunaan jarum untuk mengambil sampel plasenta, terdapat risiko keguguran iaitu sekitar lima hingga tujuh peratus, manakala risiko kepada anda ialah kesakitan dan jangkitan. Soalan dijawab oleh Prof. Dr. Muhammad Abdul Jamil Mohd. Yassin
Hantar soalan anda yang berhubungan dengan kesihatan anak, pemakanan dan penjagaan kesihatan semasa hamil kepada Sekretariat Positive Parenting, c/o VersaComm Sdn. Bhd. 12-A, Jalan PJS 8/4, Mentari Plaza, Bandar Sunway, 46150 Petaling Jaya, Selangor atau e-mel info@mypositiveparenting.org.
Untuk menerima naskhah percuma majalah Positive Parenting, sila hubungi 03-56211408. Persatuan Pediatrik Malaysia tidak menyokong mana-mana jenama atau produk.
Positive Parenting adalah program pendidikan oleh Persatuan Pediatrik dengan usaha sama Persatuan Obstetrik & Ginekologi Malaysia dan Persatuan Pemakanan Malaysia. Positive Parenting disokong oleh geran pendidikan tanpa syarat dari Abbott Share and Care World.
Penafian: Kolum ini tidak boleh menggantikan nasihat perubatan. Persatuan Pediatrik Malaysia dan sekretariat Positive Parenting tidak akan bertanggungjawab sekiranya terdapat isu yang timbul daripada kolum ini.
Petikan Utusan Malaysia.
No comments:
Post a Comment