Monday, February 23, 2009

Teruna air mata














Daripada mereka bertiga, Ariflah paling suka menangsi. Kalau ala-ala nak merajuk nak suruh dukung atau nak susu, lambat sikit ambil, Arif akan terus rebah dan jatuh pengsan. Dia akan buat badan lembik dan taknak bangun sampailah kena angkat. Kalau saya buat-buat tak tahu atau cuba sembunyikan diri. Arif segera bangun dari pengsannya, dan akan pengsan pula di depan saya. Rasa nak marah jadi nak tergelak pun ada bila melayan kerenah anak teruna air mata ni.

Jika dia kata nak susu, melalaklah nak susu sehingga dapat. Kalau Hakim lebih mudah sikit untuk dipujuk, sekejap Hakim ibu sibuk ni. Hakim akan terus diam. Bagi Arif tiada alasan C, D atau F dia akan tetap nak A juga. Kalau tak Arif akan terus mengeluarkan air mata sehinggalah keinginannya dipenuhi.

Tuesday, February 10, 2009

Hakim satu, Arif satu, Iman satu

Hakim satu, Arif satu, Iman (Aiman) satu, itulah ayat apabila Hakim mengagih-agih makanan untuk mereka bertiga. Biasanya Hakim sifatnya agak kedekut. Saya cuba membiasakan apabila memberi makanan menyebut ketiga-tiganya sekali. Arif juga sudah biasa dengan keadaan ini. Sejuk hati apabila setiap kali saya menyuakan makanan atau minuman si abang Hakim dan Arif akan mendahulukan Iman.

Ini Iman punye, Arif punya dan Hakim punya, watak abangnya cukup terserlah. Melayan kerenah budak bertiga ini membuatkan tak kering gusi dibuatnya. Jika waktu tidur, Hakim sebelah kanan, Arif sebelah kiri, Aiman akan datang merangkak menyelinap di celah-celah abangnya.

Jika ayah pulang membawa banyak plastik, Arif dan Hakim gesa-gesa berebut mahu mengangkat barang-barang ke dapur. Jika tak dapat merajuklah salah seorang.
Hakim biasanya, kalau nampak ibu bawa barang berat. Selalu bertanya,"berat ibu?, Hmm berat.

Sejak pulang dari kelantan, banyak pula loghat Kelantan yang digunakan. Busuk banga (sangat busuk). Saya tergelak ajelah, manalah si Hakim ni dapat ayat itu, tak pernah sekalipun saya menyebutnya.

"Bakpo tu gak? (Kenapa tu)" ayat Hakim selalunya jika Arif menangis. Aiseh, macam orang tua bertanya.

Monday, December 15, 2008

Sayur masak lemak, pengat ubi

Saya kini bersiaran dari bumi Kelantan. Ku sangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari. Belum pun sempat kain di jemuran kering, hujan rintik-rintik mula turun. Hujan-hujan begini acara paling menarik adalah makan, makan, makan.

Kalau balik ke kampung ada- ada sahaja menu yang menarik perhatian. Tengahari masak lemak sayur, ikan gelama kering dan daging goreng kunyit. Ditambah pula sambal belacan dan budu. Ish, macam mana badan tak naik.

Hujan rintik-rintik hingga ke petang, masih ada banyak ubi yang tergolek-golek dalam besen. Daun pandan dipetik sahaja dari belakang rumah. Haruman pengat berbau daun pandan sungguh mengasyikan. Teringat pula arwah emak, memang ada sahaja menu petang-petang begini. Jika tidak cekodok pisang, pengat pisang atau apa sahaja kuih untuk anak-anak mengalas perut. Paling saya gemarkan lepat pisang, saya sudah mencuba membuat sendiri. Masih belum setanding lepat pisang arwah. Saya perlu mencuba lagi.Semasa belajar di universiti dahulu, apabila pulang sahaja bercuti pasti arwah membuatnya untuk saya.

Pagi tadi sambil menjemur kain, sekilas terpandang taman sayuran dan herba di belakang dapur. Itulah orang kampung suka berbudi pada tanah. Serai hidup subur, banyak rumpun juga, daun pandan begitu tersusun-susun daunnya, percikan air hujan masih kelihatan pada daun. Nampak begitu segar bugar. Halia, lengkuas, serai wangi dan macam-macam. Semua ada di belakang dapur. Masa saya berpantang serai wangi dicampur daun pandan direbus hingga mendidih, disediakan untuk mandi. Setiap pagi mandi sunguh segar dan harum.

Hakim dan Arif rutin setiap pagi dan petang bersama Tok Ayah keliling kampung naik motor. Kelakarnya Arif, dia takut memijak pasir pantai. Apabila dipijak seolah-olah kakinya jerlus dalam pasir putih pantai. Lalu Arif berdingkit-dingkit. Takut kakinya tenggelam.

Wednesday, November 19, 2008

Bonda Tersayang Kembali Ke Rahmatullah

Al-Fatihah.

Jam 3.00 pagi bersamaan 12/11/2008 bonda kesayangan menghembuskan nafas terakhir. Hanya iringan doa dan ayat-ayat suci buat pengubat rindu untuk bonda tersayang.
Terasa masa begitu singkat, rupanya syawal lalu, adalah yang terakhir kami sekeluarga beraya bersama arwah. Moga-moga arwah aman bersemadi di sana. Rasanya belum puas lagi memberi khidmat bakti kepada arwah.

Tiada lagi tempat mengadu, tiada lagi tempat bermanja, tempat mencurah segala masalah.
Saya akan rindukan pelukan dan kasih sayang arwah. Saya masih terkenangkan arwah apatah lagi apabila melihat setiap sudut rumah dan tempat arwah berehat. Saya redha atas pemergiannya. Moga-moga roh arwah dicucuri rahmat.

Al-Fatihah

Tuesday, November 4, 2008

Mak Cik Nasi Kerabu

Jika mood malas memasak untuk sarapan, saya biasanya gemar ke gerai Mak Cik nasi kerabu. Itulah pengubat rindu bagi masakan Pantai Timur. Bukan sahaj nasi kerabu, masakan lain seperti nasi dagang, nasi berlauk dan nasi lemak pun ada.

Sambil menunggu Mak Cik membungkus, kami berborak. Katanya, setiap hari dia akan membuat persediaan seawal jam 2 pagi hinggalah jam 12 malam. Hanya dua jam sahaja masa tidurnya untuk berehat. Kagum saya dengan kerajinannya. Bukan hanya 4 jenis nasi sahaja, lauk-pauk lain seperti daging goreng, ayam masak merah, paru goreng dan macam-macam lagi, semuanya dibuat seorang diri. Alahai Mak Cik. Kagum saya dibuatnya.

Monday, October 27, 2008

Terima Kasih Sudi Bertandang

Alhamdulillah, saat-saat akhir penghujung syawal, sempat juga saya mengadakan rumah terbuka, tidaklah ramai hanya kenalan terdekat dan jiran-jiran di sekitar taman sahaja. Hanya lebih kurang 100 jemputan sahaja yang berkunjung.

Hmm memang puas hati menyajikan hidangan hasil air tangan sendiri. Bermula jam 1 tengahari dan tamu terakhir lewat 12 malam.
Masih ramai rakan-rakan yang tidak sempat saya jemput. Insya-Allah jika dimurahkan rezeki tahun depan berjumpa lagi.

Friday, September 12, 2008

Kak Yan pulang bercuti

Raya kali ini, kali pertama pembantu rumah saya pulang ke kampungnya, nun di Selatan Thai, Narathiwat. Saya juga sudah lama tidak ke sana, terakhir melawat sanak saudara di Thai ketika umur 12 tahun.

Saya bukan orang Thailand, ya! Cuma semasa zaman Jepun dahulu ramai yang sanak saudara sebelah ayah berhijrah ke sana. Apabila ada kenduri mereka akan ke sini atau kami akan ke sana.

Seronoknya, banyak masakan dan murah-murah pula. Teringat ketika saya di sana, bihun supnya hanya 20 sen, macam-macam lauk ada. Aneka kuih pula tidak terkiralah. Amat kreatif. Paling saya suka pulut santan dan buah mangga kuning. Sungguh sedap. Roti canai yang digulung padat dan didalamnya ada susu. Lemak dan sedap juga. Apabila digigit terasa keenakan dan kelembutan padu.

Tidak tahu hendak menjengah ke rumah mana dahulu, begitulah ramahnya jiran tetangga di sana. Sarapan di rumah ini, makan tengahari di rumah sana dan makan malam di ruma sinun pula. Saya sangat suka suasana sebegitu.

Nampakya, Aiman, Arif dan Hakim perlu tinggal di rumah jiran sebelah sementara Kakak pulang ke kampung. Semoga urusan dipermudahkan, mungkin saya agak letih sedikit dari biasa, kerana perlu menguruskan semua sekali.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin