Friday, April 3, 2009

Hakim kan abang



Hakim gemar membuat ibu ketawa, tetapi tidak kurang juga menaikkan darah ibu. Hakim boleh dikategorikan seorang anak yang aktif dan lasak. Saya perlu memastikan Hakim sentiasa ada aktiviti yang perlu dilakukan.

Untuk satu-satu aktiviti Hakim hanya boleh fokus 5 sehingga 10 minit sahaja kemudian dia sudah membuat aktiviti yang lain. Apabila ibu tengah asyik buat kerja Hakim sudah mula menyelongkar bilik stor mengeluarkan set badminton. Berdentang dentunglah reket badminton dijadikan ala-ala kayu golf. Arif adalah penurut paling setia, mengikut sahaja apa sahaja si abang lakukan.

Penat bermain badminton, dibasahkan lantai, acara berenang-renang di tepi pantai bermula. Jika boring lagi akan diangkut semua sofa dan dijadikan tempat terjunan. Jika masih boring pasukan bola sepak akan ditubuhkan.

Terkedek-kedek si Aiman menyertai abang-abang. Riuh rendahnya jadinya satu rumah dijadikan tempat bermain bola. Aiman yang baru pandai berjalan sudah pandai menyepak-nyepak bola walaupun keadaannya belum stabil. Selalunya jadi mangsa apabila bola sepakan Hakim terkena Aiman. Menangislah si adik. Aiman akan terkedek-kedek mencari ibu dan meluahkan rasa sedihnya. Selepas 2 minit Aiman kembali turun padang.

Wednesday, April 1, 2009

Makanan organik untuk bayi?



SOALAN: Adakah makanan organik penting di dalam diet bayi atau kanak-kanak?

Jawapan: Pertama sekali, marilah kami menjawab soalan: “Apakah sebenarnya organik?” Makanan organik adalah makanan yang ditanam tanpa menggunakan baja kimia atau racun perosak kimia. Satu kelebihan tanaman organik ialah pencemaran kimia dan racun perosak dapat dikurangkan hampir ke tahap kosong.

Sebagai contoh, seorang petani yang mengusahakan kebunnya secara tidak organik boleh mengalirkan racun perosak yang digunakannya dan mencemarkan sistem pengairan petani yang mengamalkan tanaman organik, meskipun kedua-dua kebun terletak berjauhan.
Sayuran organik mungkin lebih sihat kerana kurang atau tiada langsung bahan kimia/racun perosak. Akan tetapi, banyak kajian mengatakan adanya kemungkinan ia tidak meningkatkan kualiti pemakanan.

Membeli dan menyediakan makanan organik untuk bayi mungkin mempunyai beberapa kelebihan dari segi kesihatan. Tetapi jangan biarkan orang lain memberitahu anda yang anda membazir masa jika anda tidak menggunakan organik.

Pilihan ini adalah pilihan peribadi. Pilihan anda dibuat berdasarkan gaya hidup, lokasi, pengetahuan dan faktor perbezaan harga antara organik dan bukan organik.
Jangan biarkan ketidakmampuan membeli atau ketiadaan tanaman organik menjadi penghalang untuk menyediakan makanan yang segar dan berkhasiat untuk bayi.
Buah-buahan dan sayur-sayuran segar yang dicuci dengan sempurna serta bijian penuh yang bukan organik juga boleh digunakan.

Apa yang penting adalah anda memberikan bayi anda makanan segar dan membantu membina tabiat makan yang sihat dari awal-awal lagi.
Soalan dijawab oleh Prof. Madya Dr. Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan, Setiausaha Kehormat Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM)

S: Apakah yang akan terjadi jika seorang wanita hamil didapati mempunyai ketum-
buhan bergentian (fibroid) apabila menjalani pemeriksaan ultrabunyi semasa hamil?

J: Jika ketumbuhan tersebut dijumpai buat pertama kalinya apabila wanita tersebut sudah hamil, maka langkah yang terbaik ialah untuk memerhatikan sama ada saiz ketumbuhan semakin bertambah atau sebaliknya.

Sesetengah daripada ketumbuhan tersebut akan hilang semasa kehamilan bertambah besar kerana ia akan menjadi tegang akibat pengembangan otot rahim.
Jika ketumbuhan didapati kian membesar, ia akan dikawal secara konservatif iaitu tanpa melibatkan sebarang pembedahan.

Ketumbuhan jenis ini juga mungkin akan mendatangkan pelbagai masalah kehamilan seperti risiko keguguran yang tinggi, kelahiran belum cukup bulan dan sakit pada bahagian abdomen.
Wanita tersebut juga berkemungkinan terpaksa menjalani pembedahan Caesarean jika kedudukan bayi dalam rahim menjadi tidak normal akibat kehadiran ketumbuhan.
Soalan dijawab oleh Prof. Dr. Muhammad Abdul Jamil Mohd. Yassin, Pakar Runding Kanan Obstetrik & Ginekologi, Persatuan Obstetrik & Ginekologi Malaysia (OGSM)

S: Mengapakah bayi saya yang berusia tujuh bulan mengalami sembelit? Bagaimanakah cara untuk mengelakkan sembelit?

J: Pada kebiasaannya, bayi mengalami sembelit kerana dietnya kurang mengandungi serabut dan terlalu banyak hasil tenusu.

Lebihkan pemberian buah-buahan (seperti betik dan pisang yang dilecek) dan tambahkan sayur-sayuran (seperti bayam dan lobak merah yang dicincang) ke dalam bubur.
Berikan puri buah prun dan/atau jus prun. Proses memuri buah prun adalah amat mudah dan anda boleh juga mencampurkan puri ini ke dalam buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin yang si bayi makan.

Anda juga boleh menggunakan lebihan jus hasil daripada mengukus prun sebelum membuat puri. Campurkan jus ini bersama buah-buahan, sayuran dan bijirin.
Pastikan si bayi meminum air yang mencukupi. Memberi bayi minum banyak air dan jus buah-buahan tanpa gula juga dapat membantu bayi yang sembelit.
Ini boleh diperkenalkan kepada si bayi apabila dia berusia di sekitar 6-8 bulan. Walaupun jus buah-buahan dapat membantu mengatasi masalah sembelit, ia bukanlah bahagian penting dan perlu dalam diet bayi. Soalan dijawab oleh Prof. Madya Dr. Poh Bee Koon

S: Apakah makanan yang perlu saya elakkan sewaktu menyusukan bayi? Adakah selamat jika saya mengambil minuman beralkohol?

J: Dalam tempoh sebulan selepas melahirkan bayi, ramai wanita sama ada kaum Melayu, Cina atau India akan menjalani tempoh berpantang.

Dari pandangan perubatan tradisional, ini mungkin untuk memulihkan semula keseimbangan humoral atau keseimbangan ying dan yang ibu yang baru bersalin.
Amalan mengelakkan makanan tertentu boleh menyebabkan kekurangan zat dan kerumitan seperti sembelit jika ibu tidak mengambil buah-buahan dan sayuran.

Wanita Cina biasanya mengambil sedikit alkohol sewaktu berpantang untuk tujuan perubatan. Jika anda mengambil alkohol, cuba elakkan daripada menyusukan bayi untuk tempoh tiga hingga empat jam bagi membolehkan susu ibu bebas daripada alkohol.
Kesan alkohol terhadap bayi yang mengambil susu ibu berkait secara langsung dengan jumlah yang diambil oleh ibu.

Ingatlah bahawa bayi baru lahir mempunyai hati yang belum matang dan lebih mudah menimbulkan masalah berbanding bayi yang lebih dewasa. Justeru, cara yang paling selamat ialah mengelakkan pengambilan alkohol sepenuhnya.
Soalan dijawab oleh Prof. Madya Dr. Poh Bee Koon

S: Apakah pensampelan vilus korionik (CVS)? Adakah ia berbahaya kepada saya atau janin?

J: CVS adalah satu ujian perubatan di mana sedikit tisu plasenta diambil, sama ada menerusi abdomen atau faraj dengan menggunakan jarum.
Ia dilakukan pada awal kehamilan bagi menjalankan kajian genetik janin.
Diagnosis seperti sindrom Down atau kecacatan genetik yang lain boleh dilakukan sebelum bulan ketiga kehamilan.

Gangguan darah seperti talasemia juga boleh didiagnos. Oleh kerana CVS adalah ujian invasif yang melibatkan penggunaan jarum untuk mengambil sampel plasenta, terdapat risiko keguguran iaitu sekitar lima hingga tujuh peratus, manakala risiko kepada anda ialah kesakitan dan jangkitan. Soalan dijawab oleh Prof. Dr. Muhammad Abdul Jamil Mohd. Yassin

Hantar soalan anda yang berhubungan dengan kesihatan anak, pemakanan dan penjagaan kesihatan semasa hamil kepada Sekretariat Positive Parenting, c/o VersaComm Sdn. Bhd. 12-A, Jalan PJS 8/4, Mentari Plaza, Bandar Sunway, 46150 Petaling Jaya, Selangor atau e-mel info@mypositiveparenting.org.

Untuk menerima naskhah percuma majalah Positive Parenting, sila hubungi 03-56211408. Persatuan Pediatrik Malaysia tidak menyokong mana-mana jenama atau produk.
Positive Parenting adalah program pendidikan oleh Persatuan Pediatrik dengan usaha sama Persatuan Obstetrik & Ginekologi Malaysia dan Persatuan Pemakanan Malaysia. Positive Parenting disokong oleh geran pendidikan tanpa syarat dari Abbott Share and Care World.
Penafian: Kolum ini tidak boleh menggantikan nasihat perubatan. Persatuan Pediatrik Malaysia dan sekretariat Positive Parenting tidak akan bertanggungjawab sekiranya terdapat isu yang timbul daripada kolum ini.
Petikan Utusan Malaysia.

Friday, March 6, 2009

8 kali dalam setahun

Tahun 2006 Hakim mencatat rekod paling lama mendiami wad. 8 kali berturut-turut masuk hospital. Setiap tahun ibu menanam azam agar Hakim tidak akan masuk wad lagi. Tahun 2008 hanya dua kali, moga-moga tahun ini tidak langsung. Insya-Allah.

Tahun ini rasanya asma Hakim dalam keadaan terkawal. Walaupun demam, asma Hakim sudah semakin tidak meleret-leret hingga seminggu. Lega sungguh melihat perkembangan ini. Mudah-mudahan tahun ini tiada lagi rekod ditahan wad.

Kelahiran Arif


Selepas ketuban pecah, saya dibawa ke bilik bersalin. Terdengar juga dari bilik sebelah, seorang lagi wanita seperjuangan sedang bertarung melahirkan bayi sulung. Nasib kurang menyebelahi, dia terpaksa dibedah saat akhir kerana bayinya tidak berjaya dilahirkan normal. Saya terdengar antara kata-kata semangatnya menyebut-nyebut Allahuakbar, setiap kali meneran. Saya hanya terdengar dalam keadaan menunggu saat saya klimaks.
Selepas disuntik epidural, i jam kemudian barulah rasa bertenaga semula. Cubaan kali kedua dengan sekuat tenaga, Arif lahir selepas maghrib. Selama 24 jam menahan kontraksi yang begitu lama. Bunyi suara si kecil, air mata sata mengalir, berjaya juga akhirnya hingga ke titisan peluh terakhir. Kepenatan seolah-olah membayar wang sejuta. Lega sungguh.

Monday, February 23, 2009

Teruna air mata














Daripada mereka bertiga, Ariflah paling suka menangsi. Kalau ala-ala nak merajuk nak suruh dukung atau nak susu, lambat sikit ambil, Arif akan terus rebah dan jatuh pengsan. Dia akan buat badan lembik dan taknak bangun sampailah kena angkat. Kalau saya buat-buat tak tahu atau cuba sembunyikan diri. Arif segera bangun dari pengsannya, dan akan pengsan pula di depan saya. Rasa nak marah jadi nak tergelak pun ada bila melayan kerenah anak teruna air mata ni.

Jika dia kata nak susu, melalaklah nak susu sehingga dapat. Kalau Hakim lebih mudah sikit untuk dipujuk, sekejap Hakim ibu sibuk ni. Hakim akan terus diam. Bagi Arif tiada alasan C, D atau F dia akan tetap nak A juga. Kalau tak Arif akan terus mengeluarkan air mata sehinggalah keinginannya dipenuhi.

Tuesday, February 10, 2009

Hakim satu, Arif satu, Iman satu

Hakim satu, Arif satu, Iman (Aiman) satu, itulah ayat apabila Hakim mengagih-agih makanan untuk mereka bertiga. Biasanya Hakim sifatnya agak kedekut. Saya cuba membiasakan apabila memberi makanan menyebut ketiga-tiganya sekali. Arif juga sudah biasa dengan keadaan ini. Sejuk hati apabila setiap kali saya menyuakan makanan atau minuman si abang Hakim dan Arif akan mendahulukan Iman.

Ini Iman punye, Arif punya dan Hakim punya, watak abangnya cukup terserlah. Melayan kerenah budak bertiga ini membuatkan tak kering gusi dibuatnya. Jika waktu tidur, Hakim sebelah kanan, Arif sebelah kiri, Aiman akan datang merangkak menyelinap di celah-celah abangnya.

Jika ayah pulang membawa banyak plastik, Arif dan Hakim gesa-gesa berebut mahu mengangkat barang-barang ke dapur. Jika tak dapat merajuklah salah seorang.
Hakim biasanya, kalau nampak ibu bawa barang berat. Selalu bertanya,"berat ibu?, Hmm berat.

Sejak pulang dari kelantan, banyak pula loghat Kelantan yang digunakan. Busuk banga (sangat busuk). Saya tergelak ajelah, manalah si Hakim ni dapat ayat itu, tak pernah sekalipun saya menyebutnya.

"Bakpo tu gak? (Kenapa tu)" ayat Hakim selalunya jika Arif menangis. Aiseh, macam orang tua bertanya.

Monday, December 15, 2008

Sayur masak lemak, pengat ubi

Saya kini bersiaran dari bumi Kelantan. Ku sangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari. Belum pun sempat kain di jemuran kering, hujan rintik-rintik mula turun. Hujan-hujan begini acara paling menarik adalah makan, makan, makan.

Kalau balik ke kampung ada- ada sahaja menu yang menarik perhatian. Tengahari masak lemak sayur, ikan gelama kering dan daging goreng kunyit. Ditambah pula sambal belacan dan budu. Ish, macam mana badan tak naik.

Hujan rintik-rintik hingga ke petang, masih ada banyak ubi yang tergolek-golek dalam besen. Daun pandan dipetik sahaja dari belakang rumah. Haruman pengat berbau daun pandan sungguh mengasyikan. Teringat pula arwah emak, memang ada sahaja menu petang-petang begini. Jika tidak cekodok pisang, pengat pisang atau apa sahaja kuih untuk anak-anak mengalas perut. Paling saya gemarkan lepat pisang, saya sudah mencuba membuat sendiri. Masih belum setanding lepat pisang arwah. Saya perlu mencuba lagi.Semasa belajar di universiti dahulu, apabila pulang sahaja bercuti pasti arwah membuatnya untuk saya.

Pagi tadi sambil menjemur kain, sekilas terpandang taman sayuran dan herba di belakang dapur. Itulah orang kampung suka berbudi pada tanah. Serai hidup subur, banyak rumpun juga, daun pandan begitu tersusun-susun daunnya, percikan air hujan masih kelihatan pada daun. Nampak begitu segar bugar. Halia, lengkuas, serai wangi dan macam-macam. Semua ada di belakang dapur. Masa saya berpantang serai wangi dicampur daun pandan direbus hingga mendidih, disediakan untuk mandi. Setiap pagi mandi sunguh segar dan harum.

Hakim dan Arif rutin setiap pagi dan petang bersama Tok Ayah keliling kampung naik motor. Kelakarnya Arif, dia takut memijak pasir pantai. Apabila dipijak seolah-olah kakinya jerlus dalam pasir putih pantai. Lalu Arif berdingkit-dingkit. Takut kakinya tenggelam.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin