Hari ini genap dua minggu pemergian suami jiran saya, arwah Ismail. Sungguh cepat masa berlalu. Rumah beliau selang satu rumah dari kanan. Saya berkesempatan juga menjengok arwah pada saat-saat akhir kematian. Jam 6 petang saya dan suami berkesempatan untuk menziarah di Pusat Perubatan Pantai, Ampang, pada masa itu arwah sudah koma. Badannya tidak bergerak, terlantar di atas katil wad. Saya sebaik mungkin cuba menenangkan isteri arwah, yang kelihatan cukup tenang dalam situasi itu. Jam 9 malam, saya menjengah ke luar tingkap, kelihatan kenderaan jenazah. Saya bersegera ke rumah arwah. Arwah meninggal pada lewat petang, rupa-rupanya semasa ziarah saya itu, adalah saat-saat akhir dia bertarung nyawa. Cukup menginsafkan bahawa kematian akan berlaku pada bila-bila masa dan siapa sahaja.
Alhamdulillah, jiran-jiran semua berkumpul dan selama tiga hari majlis tahlil diadakan, semua jiran tetangga tidak lokek menghulur bantuan. Tidak kiralah kata-kata semangat mahupun sama-sama menyertai bacaan tahlil. Al-Fatihah.