"Ibu kenapa mok tok sey kecek dengan cha?"
"Ibu, esok kita pergi kubur mok. Cha nok oyak, mok, mok, ni Ammar dan Cha mari. Mok bangunlah kita balik rumah naik kereta."
;(
Bonda mertua tersayang Allahyarhamah Che Shawiah Che Mat telah dijemput Illahi, jam 7.40 malam bersamaan Isnin, 30. November 2015.
Semoga arwah ma bersemadi dengan tenang, dilimpahi rahmat, diampuni dosa dan berada di kalangan beriman.
Al Fatihah.
Ayahanda mertua masih kritikal di ICU. Mohon doa teman agar dipermudahkan urusan.
Kami redha atas ketentuan Illahi.
Saya memang tidak sempat berkhidmat untuk arwah mek, hanya sempat memandikan, mengafankan dan menemani hingga jenazah ke liang lahad.
Lima tahun selepas pulang berhijrah, kami sepenuhnya menjaga arwah ma.
Arwah seorang penghidap buah pinggang kronik selama 11 tahun.
Tiga kali seminggu perlu rawatan dialisis.
Dari jam 9 pagi pulang jam 3 petang. Keesokannya akan rebah dan demam.
Namun kekuatan dan semangatnya itulah membuatkan beliau umur panjang.
"Sampai bilo keno cuci ni ma."
"Sampai habis nyawa."
Ayat ini saya ingat dan selalu bermain di kotak fikiran. Ma tidak makan ikan. Lauknya hanya ikan bilis, telur. daging. Jika mahu masak ayam perlu dimasukkan asam jawa.
Juga kerabu perut dan gulai daging yang dimasukkan terung. Nasi kerabu daging bakar paling digemarinya.
Setiap pagi saya bertanya dahulu.
"Ma nok makan apa hari ini?
Itulah rutin.
Dua tahun kebelakangan ini kesihatan semakin kurang konsisten. Ma tidak lagi memasak.
Juga pasar pagi setiap Jumaat sejak tiga tahun sudah tidak lagi menjadi rutin ma.
Jam 3 pagi. Ma ke bilik air sebelum rebah dia sempat menyebut Allah, Allah, Allah,
Saya sempat sambut dan ma rebah di pangkuan.
Peluh menitik di dahi, ma sudah kebiruan.
...
Khidmat akhir saya memandikan dan mengafankan ma bersama kakak ipar dan biras yang lain.
Ciuman di pipi ma, kain putih menutup wajah ma yang tersenyum manis sebagai ucapan selamat tinggal.
Keranda diusung keluar dan air mata ini tidak menahan dari terus mengalir. Ma sudah pergi meninggalkan kami.
Terima kasih ma, kerana memberi peluang untuk saya berkhidmat.
Ma, mertua idola tidak ada galang ganti. Kuat semangat dan tidak pernah berputus asa.
1 comment:
innalillahi wainna ilaihi roojiuunn
Post a Comment