Friday, December 5, 2014

Kita mahu pengakhiran yang bagaimana?

Teks: Masayu Ahmad

Baca dahulu naskah wajib ini www.janawangdirumah.com sebagai persediaan awal bekerja dari rumah.


Salam pagi Sabtu penuh keceriaan dan ketenangan. Lopak hujan sudah makin mengering. Kicau burung mula kedengaran berirama riang. Barangkali sudah mula berterabaran keluar dari sarang. Pagi indah alhamdulillah.

Selesai pagi ini dari jam 8 hingga 9 pagi saya bersilat di dapur. Nasi putih, gulai ikan aya Kelantan juga masak lemak pucuk niding dan ubi stelo. Telur juga diracik dengan ikan budu. Roti goreng untuk kanak-kanak riang. Semua selesai pakej sarapan, tengahari dan malam.

Tinggal lagi biasanya malam saya akan bakar ikan untuk tambah lauk. Atau kadangkala anak-anak saya yang akan gorengkan nasi sahaja.

Tidak ada kata yang nikmat dan paling indah atas kurniaan Allah, memberi rezeki sekian luas, memberi masa yang bermanfaat.

Saya rasa sangat bertenaga pagi ini, selepas kurang sihat dan seminggu peninggalan suami. Segala urusan dilakukan dan insya-Allah saya memang lakukan dan selesaikan.

Beberapa hari lepas badan agak penat dan fikiran mula menerawang jauh, saya segera istigfar Betul. Kadangkala apabila kita penat segeralah ambil wuduk dan baca kisah-kisah yang boleh mengembalikan semangat dan tidak dibolak balikkan hati dan perasaan kita. Al-quran juga terapi paling mujarab.

Begitu juga saya manusia biasa.

"Selagi orang tua hidup jaga sampai puas hati. Kalau mati, kita tidak ada rasa bersalah."

Kata-kata ini tersemat kukuh. Ia nasihat dari ayahanda yang sudah banyak makan garam. Orang tua itulah tempat sandaran kita untuk mendapat nasihat. Orang tua sudah mendahului kita dalam banyak perkara.

"Jika mahu hidang, tengok macam arwah mek. Masak yang terbaik dan sediakan yang terbaik."

Kata-kata di atas saya terjemahkan semula dari bahasa Kelantan. Ingatan ini menyedarkan saya, apabila memasak, masak yang terbaik. Masak dengan penuh kasih sayang. Berulang kali apabila saya kepenatan saya cepat-cepat istigfar. Kerana apabila kita penat dan rasa tidak bertenaga, aliran itu akan membawa sama kepada aura makanan.

Kita masak dengan ceria dan kasih sayang, menjadikan masakan itu juga sedap dan menyelerakan. Itu sebab, kebanyakan orang mengatakan masakan ibu adalah terbaik siapapun tak boleh banding.

Disebabkan kesibukan demi kesibukan, saya mula menyeimbangkan semula untuk 2015 untuk fokus kepada anak-anak. Jika tidak ada kepentingan urusan luar maka saya utamakan keluarga.

Melihat juga keuzuran mertua yang tidak boleh lagi lasak dan saya insya-Allah dengan senang hati mengambil peranan ini. Bukanlah maknanya saya ini terbaik, menantu terbaik. Mungkin ini juga salah satu asbab kepada banyak perkara dalam urusan saya dipermudahkan. Juga asbab Allah menggugurkan dosa-dosa saya yang lalu dan akan datang.

Insya-Allah
Reda Allah apabila ibu bapa reda.

Masayu Ahmad
www.janawangdirumah.com

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin