Sumber artikel ini saya ambil dari http://majalahsains.com
Sama-sama kita memanfaatkan ilmu dan info ini.
Pada tahun 2005, seorang remaja lelaki di Wisconsin membantu iparnya menguruskan rumah penyembelihan babi. Beberapa minggu kemudian, keluarga remaja berusia 17 tahun itu membeli seekor anak ayam dan memeliharanya di rumah. Tidak lama selepas itu, remaja tadi mendapat selsema yang berlarutan sehingga tiga hari. (Newsweek, May 11-18 2009)
Remaja tadi memiliki virus influenza H1N1 di dalam tubuhnya, namun tiada sesiapapun yang mengambil peduli. Sehingga empat tahun kemudian, virus itu mengejutkan seluruh dunia dan mematikan beratus-ratus lagi mangsa.
Kita hidup di dalam dunia global yang penuh dengan mikrob yang dikongsi sesama penghuni di dunia. Kemajuan pengangkutan, dan modenisasi boleh membawa penyakit yang berada di Amerika ke Malaysia dalam beberapa jam sahaja. Dengan mengira setiap detik virus itu menular melalui salur pernafasan, di dalam kapal terbang, di lapangan terbang, di jalanan atau di mana sahaja tempat yang pernah dilalui oleh individu yang sudah terjangkit, tiada seorang pun mendapat jaminan bahawa ia akan terselamat daripada virus itu.
Sehingga sekarang, akhbar telah melaporkan bahawa babi telah disahkan sebagai agen utama virus influenza jenis A (H1N1) yang menyebabkan selsema babi. Walaupun selesema ini biasa menyerang babi dan merebak di kalangan mereka, amat jarang virus ini berjangkit kepada manusia. Itupun apabila virus itu sudah termutasi dan menghasilkan ‘strain’ baru. Tetapi apa yang peliknya, selesema ini sudah mengganas dan boleh menular di kalangan manusia melalui sistem pernafasan.
Sejarah influenza dunia mencatatkan babi telah membunuh lebih 20 juta manusia di seluruh dunia pada tahun 1918. Virus influenza ini dipercayai berpunca daripada babi-babi di Amerika dan menjangkiti tentera-tentera pada Perang Dunia Pertama. Kemudiannya virus ini tersebar ke negara-negara lain menyebabkan berlakunya bencana epidemik.
Buat masa sekarang sudah lebih 1500 jiwa telah menjadi korban akibat selsema babi. Negara-negara yang terjejas ialah Mexico, AS, Kanada, EU, New Zealand dan yang terkini di Malaysia. Kebanyakan kes selesema babi yang disebabkan virus H1N1 - yang menggabungkan genetik babi, burung dan manusia, berlaku di kalangan golongan yang berumur 45 tahun ke bawah.
Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa dunia ini telah hampir akhir zaman bahkan Baginda mengumpamakan seperti seorang yang terlalu bongkok. Tentang fenomena alam yang terjadi dan penyakit-penyakit ganjil (seperti Coxsackie, JE, SARS, Selsema Burung dan kini Selsema Babi pula) disebutkan oleh Rasulullah SAW sebagai tanda-tanda qiamat. Dari Ibnu Umar Rasulullah SAW bersabda;
“Bagaimana keadaan kamu ketika lima perkara berlaku di kalangan kamu, dan aku berlindung dengan Allah dari terjadinya perkara itu kepada kamu atau kamu sempat menempuhnya. Tidak timbul kemungkaran di kalangan satu-satu bangsa melainkan mereka melakukannya secara terang-terang, akan timbul penyakit taun dan penyakit-penyakit yang tidak pernah ada terhadap orang-orang sebelum mereka (penyakit ganjil).”
(HR: Ibnu Majah)
Babi; Rumah Rehat Virus
Penyakit yang dihadapi oleh babi begitu banyak berbanding dengan lembu dan biri-biri. Ini disebabkan Tuhan telah menciptakan tubuh babi mempunyai kondisi yang amat sesuai untuk pembiakan pelbagai jenis virus. Maka babi dianggap sebagai ‘kilang’ pembiakan virus-virus jenis bahaya dan sederhana.
Babi mempunyai tabiat makan yang kotor. Apabila virus memasuki badan babi melalui pengambilan makanan, virus-virus membiak di dalam sel-sel badan babi dengan jumlah yang begitu besar.
Di sesetengah keadaan, virus ini mampu bercampur dengan virus-virus daripada jenis lain. Mereka membiak dan menghasilkan strain baru yang mewarisi ciri-ciri induknya dan kadangkala ia lebih berbahaya.
Kebiasaannya, virus-virus babi menjangkiti manusia yang mempunyai tugas secara langsung dengannya. Golongan penternak, pekerja, penyembelih dan doktor-doktor babi adalah golongan yang paling berisiko mendapat penyakit daripada babi.
Kadang-kadang, jangkitan penyakit timbul akibat memakan daging, lemak dan bahagian-bahagian lain dari haiwan tersebut. Terdapat juga beberapa kes jangkitan yang berlaku melalui perburuan ke atas babi hutan, pencemaran air minuman, bahan kumuh babi dan serangga perantara yang menggigit babi dan kemudiannya memindahkan virus daripada babi kepada manusia, seperti penyakit maut Japanese Ecephalitis (JE).
Akhbar online Newser bertarikh 17 April 2009 telah melaporkan, pekerja-pekerja industri penyembelihan babi telah mendapat penyakit saraf jenis baru akibat kerja-kerja memenggal kepala-kepala babi. Seramai 24 orang, kebanyakannya daripada Minnesota mengalami masalah saraf, lemah, keletihan melampau, kebas dan rasa nyilu serta mencucuk. ” Setakat pemerhatian kami, ia adalah simptom kepada penyakit baru,” kata seorang doktor yang merawat pesakit di Minnesota.
Mengapa Babi Lebih Bahaya Kepada Manusia?
Kerana kuman yang biasa, apabila masuk ke dalam babi akan berubah menjadi lebih berbahaya. Ini dibuktikan oleh laman web rasmi Centers of Disease Control and Prevention (America) mengesahkan babi mampu mengubah kuman-kuman virus yang menyerangnya menjadi lebih berbahaya dari semasa ke semasa.
Masalah utama adalah kita tidak boleh membuang retrovirus ini daripada babi kerana retrovirus ini dibawa oleh genetiknya. Dengan kata lain, babi dan virus sudah mendarah daging dan tidak dapat pisahkan, apatah lagi, ia mewariskan genetik bervirus dan mengakibatkan bahaya jika diguna oleh manusia.
Babi adalah takungan virus yang sangat baik. Ia mampu mengubah virus yang yang masuk ke dalam badannya. Pakar Mikrobiologi di Universiti Hong Kong, Profesor Malik Peiris berkata, ”Jika anda mengambil virus manusia lalu memasukkannya ke dalam burung atau ayam, ia tidak akan membiak. Begitu juga jika anda mengambil virus daripada haiwan tersebut dan membasukkannya ke dalam manusia, ia juga tidak membiak. Sebaliknya, satu penemuan yang mengejutkan diperolehi bilamana virus manusia dan virus burung di masukkan ke dalam badan babi, kedua-dua bahan genetik virus ini bergabung lalu menghasilkan satu virus baru yang lebih merbahaya dan ia membiak dengan mudah sekali. Hal ini telah dilaporkan di dalam The Sunday Morning Herald pada 31 Julai 2004 di bawah tajuk Pigs May Help Spread Bird Flu Among Humans.
Sehingga ke hari ini, telah banyak virus baru yang ditemui adalah keluaran babi dan menjangkiti manusia. Antaranya adalah Porcine Torivirus, Porcine Rotavirus, Porcine Reproductive Syndrome Virus dan H3N2 Swine Flu Virus yang dilaporkan dalam Campaign for Responsible Transplantation – Press Releases pada 21 Oktober 1998.
Di dalam Journal of Virology 1997 pula, sekumpulan saintis di bawah Dr. Yoshihiro Kawaoka dari Universiti Wisconsin mendakwa pada kerongkong babi terdapat sel-sel tertentu yang mampu mengubah pelbagai kuman virus kepada bentuk-bentuk yang lebih berbahaya. ‘Babi telah menjadi takungan yang nyaman kepada virus’, begitulah anggapan mereka. Dan kajian mereka mendapati virus binatang yang biasanya tidak dapat menjangkiti manusia tiba-tiba bertukar menjadi kuman berbahaya yang mampu menjangkiti manusia setelah keluar dari badan babi.
Beberapa tahun yang lalu Malaysia digemparkan dengan lebih seratus kematian akibat penyakit Japanese Encephalitis yang dibawa oleh nyamuk. Nyamuk Culex betina yang menghisap darah babi, membawa bersamanya virus maut ini kepada manusia apabila ia menggigit manusia pula.
Akibatnya, virus ini menyelinap ke saluran di otak tanpa disedari oleh mangsa. Berlaku keradangan di sel-sel otak dan membran sekelilingnya. Sel-sel darah putih sedaya upaya mempertahankan tisu dari serangan virus ini tetapi gagal. Tisu-tisu otak seterusnya membengkak. Kemusnahan sel-sel saraf dan otak memburukkan lagi keadaan. Akhirnya otak turut musnah, dan mangsa tidak dapat diselamatkan.
Di seluruh Asia, hampir 500 000 kes JE dilaporkan, di mana 10 000 daripadanya telah mengakibatkan kematian pada kanak-kanak.
Akibatnya, banyak babi dibunuh oleh pihak penguasa. Tetapi usaha penghapusan babi hanya sementara dan manusia kembali menternak haiwan tersebut. Menurut Jumhur ulamak, babi boleh dibunuh kerana ia bukan harta bernilai, bahkan termasuk dalam harta yang diharamkan oleh syara’ mengambil manfaat daripadanya, kerana mengandungi kemudaratan yang amat besar kepada manusia.
Seharusnya negara mencari penternakan alternatif bagi menggantikan babi. Amerika dan negara barat lain mempunyai ladang penternakan babi yang sistematik. Tetapi penyakitnya masih menular kepada masyarakat, bahkan kos perubatan yang terpaksa disediakan untuk merawat penyakit yang berpunca dari babi ini lebih besar dari keuntungan penternakan itu sendiri.
Babi Membawa Parasit
Terdapat banyak parasit seperti bakteria, virus dan cacing yang hidup di dalam babi di mana apabila manusia memakan dagingnya, penyakit-penyakit itu akan berpindah kepada manusia.
Terdapat dua spesies cacing yang utama iaitu cacing Taenia. Spesies Taenia saginata dan Taenia solium. Taenia saginata berada di badan lembu manakala T. Solium mengerumuni babi. Jika manusia termakan T. saginata, ia akan menyerang usus manusia bagi menyempurnakan kitaran hidupnya iaitu daripada peringkat telur hingga ke peringkat cacing dewasa. Penggunaan ubat-ubat akan dapat membunuh cacing-cacing tersebut yang akan dikeluarkan melalui najis. Berbeza dengan T. solium atau cacing pita babi, spesies ini tidak boleh menyempurnakan kitaran hidupnya di dalam usus sahaja dan oleh itu ia perlu keluar melalui dinding-dinding usus bagi memasuki aliran darah ke seluruh bahagian badan manusia.
Mereka akan bergerak menuju ke organ-organ utama seperti otak, mata, jantung, paru-paru, otot dan hati. Bagi menyempurnakan kitar hidup mereka, babi membentuk sista dengan bentuk dan saiz sebesar kacang pis atau lebih besar daripada itu. Sista yang menyerang sistem saraf pusat akan menyebabkan masalah neurologi yang teruk seperti epilepsi dan boleh menyebabkan kematian. Sista-sista juga menyebabkan kejang urat, hlang tumpuan, histeria atau gila. Jika sista ini sampai ke jantung mereka boleh mengakibatkan tekanan darah tinggi dan serangan jantung. Agak sukar menghancurkan dinding-dinding sista ini dengan ubat-ubatan setelah mereka terbentuk di dalam badan.
Selain itu, penyakit yang dibawa oleh babi terlalu banyak. Kajian oleh Alix Fano, Murry J Cohen, Marjovie Cramer, Roy Greek dan Stephen R. Kaufman mendapati di antara penyakit bawaan babi, ada yang boleh membawa maut seperti leptospirosis yang boleh menyebabkan kerosakan hati dan buah pinggang.
Pada November 1997, Dr. Robin Weiss dari Chester Beatty Laboratory, London mengesahkan kewujudan virus PERV di dalam badan babi. (Porcine endogenous retrivirus) ini ditemui di kebanyakan mamalia. Ia berintegrasi dengan kromosom DNAdan boleh dipindahkan secara genetik (Vanderpool, 1999). Oleh sebab berlakunya mutasi dari semasa ke semasa, virus ini mampu menjangkiti spesies lain, bukan spesis perumahnya (Taylor, 2007). Penemuan ini menyebabkan kerajaan British telah mengharamkan semua aktiviti pembedahan pemindahan organ babi kepada manusia.
Menggunakan organ atau tisu babi bagi menggantikan organ manusia yang telah rosak atau disebabkan penyakit-penyakit kronik seperti diabetes memberikan harapan baru kepada pesakit. Babi menjadi antara penyumbang organ terpenting di negara-negara bukan Islam melalui proses xenotransplan iaitu pemindahan organ daripada berlainan spesies. Namun pemindahan organ ini turut memindah masuk penyakit dan bahaya daripada babi ke tubuh manusia sehingga pakar-pakar virologi mengakui kajian terperinci mengenai virus-virus bawaan babi belum dilaksanakan. Virus yang tidak memberi kesan kepada babi menjadi bugar apabila masuk ke tubuh manusia dan meyerang tuannya.
Daging babi boleh diinfestasi oleh cacing bulat daripada spesies Trichinella spiralis. Cacing Nematode jenis ini selalu terdapat pada tikus, babi, manusia dan menyebabkan penyakit trikinosis. Larvanya selalu berada pada daging babi. Apabila manusia termakannya, sista akan menetas di dalam perut manusia dan kemudia ia berpindah ke bahagian usus untuk memulakan kehidupan. Pemindahan dan infestasi spesies ini ke bahgaian-bahagian lain badan boleh menyebabkan sakit kepala, demam dan mungkin kematian akibat kesukaannya memakan tisu segar perumah.
Memakan daging babi yang mentah bahkan sudah dimasak membawa penyakit Trikinosis. dianggarkan lebih banyak babi tercemar oleh trikinella di USA berbanding Eropah. (Ensiklopedia Americana 1993, vol 22). Trikinella adalah penyebab utama penyakit trikinosis, yang tersebar di kebanyakan bahagian di dunia. Dianggarkan 20, 000, 000 orang di USA sudah dijangkiti penyakit ini. Tiada rawatan yang efektif ataupun pencegahan yang berkesan boleh menghalang tersebarnya penyakit ini apabila memakan daging babi. (Collier’s Encyclopedia, bil. 22, m.s 468).
Penyelidik di University of Ottawa pula menghubungkan tabiat memakan daging babi dengan penyakit sirosis hati. Dalam kajian yang melibatkan 16 bangsa yang melibatkan statistik penggunaan daging babi, daging lembu, lemak dan alkohol ini, Dr Amin Nanji dan Dr Samuel French telah menemui satu hubungkait di antara memakan daging babi dengan penyakit sirosis, dan bilangannya semakin meningkat jika disertakan dengan penggunaan alkohol. Sebaliknya, mereka mendapati memakan daging lembu tiada kaitan dengan penyakit tersebut yang mengakibatkan kegagalan fungsi hati dan menyebabkan pesakitnya menderita.
Mengenai penyakit-penyakit bawaan babi juga, Rizvi, berkata, “ Secara ringkas, babi membawa kuman dan menjadi penyebab kepada banyak penyakit maut, di antaranya trikinosis, disenteri, cacing pita, cacing gelang, cacing kerawit, jaundis, pneumonia lemas, sekatan usus, pankreatis, pembesaran hati, cirit-birit, kurus, demam kuat, perkembangan terbantut, demam kepialu, tempang, masalah jantung, keguguran, mandul dan kematian mengejut.
1 comment:
terima kasih atas info
Post a Comment