Saturday, May 9, 2009
Kasihnya Ibu
Al-Fatihah (Mohon sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah ibu saya, Rakiah Daud)
Arwah cukup dikenali dengan seorang yang penyabar dan seorang ibu yang penuh dengan nilai kasih sayang. Saya akan mengagumi dan mencontohinya untuk menjadi seorang ibu yang cukup sempurna di mata anak-anak.
Air tangan ibu, tiada siapa akan menyangkal. Apabila pulang sahaja ke kampung halaman, minda sudah terbayang betapa enaknya masakan ibu. Walaupun hanya ikan singgang atau gulai ikan. Selera akan bertambah-tambah dan jika boleh tidak mahu melepaskan peluang makan sedikit walau sudah kenyang supaya tidak kempunan.
Arwah di zaman mudanya banyak menghabiskan usianya membantu arwah nenek menjaga anak-anak saudara. Memandangkan dua saudara perempuan meninggal dunia pada usia yang muda, maka nenek bertekad mahu membesarkan cucu-cucunya (anak yatim yang tidak beribu)
Arwah ibu saya merupakan anak bongsu daripada lima beradik. Arwah pernah mendapat tawaran untuk mendapat pendidikan UPSI kerana arwah antara pelajar cemerlang ketika belajar. Setiap tahun arwah akan melangkau kelas, sehinggalah sama sekelas dengan abangnya sendiri. Saya masih teringat cerita arwah dan masih segar kukuh.
“Kalau mek terima belajar di UPSI, sudah tentu sekarang ni jadi Ustazah” sambil tergelak halus.(Maktab Pendidikan Tanjung Malim kini dikenali UPSI).
Saya faham azamnya yang tidak kesampaian. Jika dulu dapat masuk belajar UPSI seolah-olah dapat menyambung belajar ke Jepun atau Amerika ketika zaman ini.
Namun arwah tidak pernah menyesal, kerana tanggungjawab membantu emaknya adalah menjadi keutamaan.
“Kalau dah jadi ustazah gak, tok jupo lah jodoh dengan ayoh” arwah gelak apabila saya cuba mengusiknya.
Itu semua adalah percaturan maha kuasa yang sudah ditetapkan dan kita hanya mampu merancang kerana Dia yang menentukan. Arwah berkahwin seawal usia 18 tahun, mungkin juga 16 tahun. Saya sudah lupa sebenarnya.
Arwah menerima seadanya calon yang dipertemukan keluarga.
Setiap kali saya bersalin, arwah berada di sisi untuk menemani. Banya disiplin ketat yang dikenakan semasa saya berpantang. Tetapi disebabkan saya ini agak nakal, terlangar juga disiplin yang arwah sudah tetapkan. Disebabkan kenakalan, saya mencuri lauk yang saya kempunan. Sungguh bersalah rasanya, tetapi arwah senyum sahaja. Anaknya ini belum matang walaupun sudah bergelar ibu.
Berpantang anak kedua, saya mampu berdisplin sebagaimana yang dinasihati arwah. Agaknya kali ini saya sudah tidak nakal lagi, baru matang selepas dapat anak dua orang. Nasi tidak boleh makan banyak sebab nanti badan mudah kembang. 40 hari tidak boleh ambil santan, berminyak dan berlemak.
Setiap kali anak bangun menangis, arwah lebih dahulu akan sedar sebelum saya.
Setiap kali datang ke Kuala Lumpur akan ditinggalkan anak-ank murid di kampung. Setiap kali itulah arwah akan berasa bersalah dan serba salah.
“Lamo sungguh mek mari sini, sie ko budok-budok tokleh ngaji”
(Lama sudah mek datang ke sini, kasihan budak-budak yang belajar mengaji Al-Quran tak dapat belajar).
Sesudah arwah kembali ke rahmatullah, bertempiaranlah anak-anak murid berjumlah 40 orang itu mencari guru mengaji yang baru.
Dua minggu sebelum meninggal.
"Nanti kalau mok cik tak do sapo nok ajar anok mu?" Tanya arwah kepada sepupu yang tinggal sebelah rumah.
"Mok cik nok gi mano? Ngaji ngan mok cik lah"
"Yo lah, nanti aku tak dok gak sie lah budok-budok sapo nok ajar ngaji"
Itu semua hanya tinggal kenangan.
Al-Fatihah
Ya Allah ya Tuhan ku, yang maha pemurah lagi maha penyayang
Ampunilah segala dosa ku dan dosa kedua ibubapaku
Engkau tempatkanlah arwah ibuku dikalangan orang-orang yang beriman
Cucurilah rahmat ke atas rohnya
Semadikan ibuku dalam keadaan tenang
Sampaikan doaku terus kepadanya
Ya, Allah ya Tuhanku
Maha Agung lagi Maha mengasihani
Jadikan aku anak solehah
Sentiasa mendoakan kesejahteraan orang tua ku
Kuatkan aku agar terus istiqamah menjaga kebajikan orang tua ku
Ya Allah ya Tuhanku
Jauhkanlan aku daripada sifat-sifat yang membelakangi ibu bapa
Jadikan aku sebagai anak yang berbudi
Al-Fatihah
Sejarah UPSI
Sumber:http://web.upsi.edu.my
LATAR BELAKANG
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merupakan sebuah institusi pengajian tinggi yang penting dalam sejarah pendidikan negara. Institusi ini berkembang secara bertahap dari sebuah kolej kepada sebuah universiti. Agak menarik meneliti tahap perkembangan institusi ini, kerana ia meniti satu landasan sejarah yang sama, mendukung falsafah penubuhan yang sama dan mekar dalam taman yang sama.
Secara kronologi, perkembangan UPSI telah melalui tiga era, iaitu era SITC (29 November 1922 -1957), era MPSI (1957 - 1987), dan era IPSI (21 Februari 1987 – April 1997). Tiga era ini juga memperlihat wadah generasi pendidik yang dilahirkan oleh institusi ini dalam tempoh 75 tahun.
Tanggal 1 Mei 1997 bermulalah lembaran barunya sebagai sebuah universiti, apabila universiti ini diperbadankan di bawah Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Perbadanan) 1997 dan Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Kampus) 1997 menerusi Warta Kerajaan P.U (A) 132 & 133 yang bertarikh 24 Februari 1997.
Peranan R.O Winstedt tercatat dalam sejarah SITC sebagai tokoh terawal yang mengilhamkan cadangan agar ditubuhkan sebuah maktab atau pusat bagi latihan guru dan bagi meluaskan skop pendidikan pada ketika itu. Ilham ini timbul setelah kepulangan beliau dari lawatan ke Tanah Jawa dan Filipina. Cadangan ini dibawa ke persidangan Residen-Residen pada 10 Mei 1917.
Beliau juga turut menyarankan supaya tapak tempat maktab yang bakal didirikan itu mestilah mempunyai tanah yang subur, bagi menampung keperluan kurikulum yang banyak dan berteraskan kemahiran dalam bidang pertanian. Tempat yang dipilih juga seharusnya berdekatan dengan rangkaian kereta api, jalan raya dan berhampiran dengan sungai. Satu lagi aspek yang difikirkan adalah komposisi penduduknya haruslah sederhana ramai.
Dalam proses mencari tempat yang sesuai itu, Tanjong Malim dilihat sebagai satu-satunya tempat yang paling menepati ciri-ciri lokasi dan faktor geografi sebagaimana yang dihasratkan oleh Winstedt. Pada 26 Mei 1917, Tanjong Malim secara rasmi dipilih sebagai tempat pembinaan maktab. Pada tarikh yang sama juga cadangan untuk memberikan nama maktab ini sebagai Sultan Idris Training College (SITC) telah dimaklumkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Abdul Jalil Shah. Cadangan ini diperkenankan Baginda.
Nama Almarhum Sultan Idris Shah diabadikan pada nama maktab ini sebagai mengenang jasa dan sumbangan besar Almarhum dalam bidang pendidikan. Almarhum DYMM Paduka Seri Sultan Idris Mursidul Adzam Shah ialah Sultan Perak yang ke-28 yang memerintah negeri Perak antara tahun 1889 – 1916.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
teringat kow mek..huhu..Al-Fatihah.
aku pun shahdu jugok hari ini
Sori, sayo baco sekerat jah.. sebok takleh baco..
munkyG
jasa ibu tiada nilai dan tiada tandingannya
Post a Comment