Wednesday, May 27, 2009
Balik kampung
Teks: Masayu Ahmad
Foto:www.samuibeachvillage.com
Cuti sekolah akan bermula tidak lama lagi. Kenduri kendara juga akan bermula. Kami akan bertolak balik ke kampung pada hari Jumaat. Pakaian masih belum dikemas dek kerana kerja yang masih belum selesai.
Apa yang pasti kali ini saya akan meluangkan masa pada dinihari selepas subuh untuk berlari-lari di tepi pantai. Rupanya selama ini barulah saya sedar betapa bertuahnya saya dilahirkan di kampung yang mempunyai pantai yang cantik lagi bersih.
Jika dulu pada masa bujang apabila balik ke kampung saya dengan bangganya membawa rakan-rakan untuk menikmati indahnya waktu petang, damainya melihat matahari naik pada subuh hari dan betapa bersyukurnya dapat menikmati keindahan ciptaan tuhan.
Biasanya sejak beranak pinak ini, saya akan bawa kanak-kanak riang ini ke pantai sambil makan lekor dan bermain-main pasir memutih.
Saya sebenarnya sangat jarang untuk mandi laut. Saya lebih gemar mandi air terjun. Itulah peliknya apabila ada kemudahan di depan mata, air terjun pula yang dicari. Manakala rumah mertua pula dikelilingi pokok-pokok buah-buahan. Jika musim berbuah, akan bergayutan rambutan yang masak ranum di depan rumah. Inilah kelebihan mempunyai kampung.
Budaya balik kampung dan membawa anak-anak pulang berjumpa dengan nenek dan atuk adalah saat yang paling menyeronokkan untuk anak-anak. Mungkin Hakim dan Arif sudah merasai suasana ini. Aiman belum lagi rasanya. Tidak ketinggalan juga untuk berjumpa dengan anak saudara baru yang bernama Rafiq. Tambah meriahlah kali ini rumah Tok Ayah.
Labels:
Percutian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment