Monday, August 8, 2011

Ramadhan 7 dan 8

Teks; http://www.masayuahmad.com/

Alhamdulillah hari ini sudah masuk hari ke 9 kita berpuasa bersamaan 9 Ogos 2011. Alhamdulillah juga puasa kali ini rasanya lebih baik berbanding tahun lepas. Puasa tahun lepas saya dalam keadaan mabuk-mabuk, kerja rumah banyak terbengkalai, kali ini alhamdulillah walaupun menyusu badan masih kekal cergas, juga berat badan semakin turun.

Menu berbuka Ramadhan 7 saya masak sup tulang, kerabu sare, ikan siakap goreng, ada akok, air kelapa muda. Menu berbuka semalam iaitu Ramadhan 8, saya masak sekali lagi ikan patin tempoyak, daging goreng kunyit campur brokoli dan carrot, tembikai, ada juga buah tanjung, tapai pinang, teh o panas tidak lupa kurma. Pagi tadi sahur udang goreng kunyit, tembikai, patin masak tempoyak, saya hanya makan nasi dan udang sahaja, itu sudah mencukupi. Pagi ini goreng nasi udang untuk kanak-kanak riang.

Eh, nampak macam catatan saya di atas seperti banyak lauk pula kan. Nampak memang banyak, tetapi ia citarasa berbeza setiap orang, contoh orang A hanya makan lauk A, orang B makan lauk B, jadi jika kumpul jadilah banyak.

Tip memasak semasa bulan puasa

1. Bersihkan bahan mentah terlebih dahulu dan simpan siap-siap di dalam peti sejuk. Jadi ketika hendak masak semua sudah ada, tinggal lagi hanya kupas bawang iaitu bahan asas sahaja.

3. Kisar bahan-bahan seperti cili kering dalam stok untuk satu minggu. Jika ada masakan jenis goreng-goreng hanya guna sahaja.

4. Pastikan kedudukan makanan di dalam peti tersusun, makanan yang lama dibuang, bekas biar bersih, jadi ia menjadi satu terapi apabila memasak semua bahan sudah ada dan tidak ada stok lama yang bersumbat-sumbat di dalam peti ais.

5. Jika ada satu menu utama memasak, masak awal, contohnya antara jam 3.30 hingg saya sudah siapkan dahulu jenis menu utama contohnya sup tulang, patin tempoyak, tom yam. Menu tambahan saya mula jam 6, berselang seli dengan kerja rumah yang lain, masak nasi, goreng ikan.

6. Sambil memasak terus basuh peralatan seperti periuk, mangkuk, bekas dan segala perkakas yang berkaitan. Apabila semua sudah tersejat air, simpan terus dan susun, Jadi bekas tempat letak pinggang mangkuk yang sudah dibasuh kosong. Apabila selesai berbuka, tinggal lagi pinggan kotor sahaja, jika anak-anak sudah besar, jadi mereka boleh basuh sendiir dan susun.

7. Amalkan berbuka dengan kurma, buah dan air suam. Tunaikan solat dan kemudian barulah makan makanan berat. Ini sangat membantu suri kekal bertenaga untuk menguruskan kerja rumah dan badan juga lebih sihat. Selalunya kita terus menyumbat dan melantak pelbagai makanan sehingga penuh perut dan badan sudah letih untuk meneruskan aktiviti ibadah.

Selamat berpuasa

http://www.janawangdirumah.com/

Sunday, August 7, 2011

Dapur ialah ibu bagi seisi rumah

Sumber: http://bm.harakahdaily.net/index.php/letter/4575-dapur-ialah-ibu-bagi-seisi-rumah
Makanan memainkan peranan penting dalam kehidupan. Salah satu perkara yang menyenangkan hati suami apabila pulang ke rumah ialah menikmati hidangan yang dimasak sendiri oleh isterinya. Begitu juga dengan anak-anak. Tidak ada perkara yang lebih membahagiakan daripada menikmati hidangan hasil air tangan ibu mereka. Malah makan bersama merapatkan lagi hubungan antara seisi keluarga.


Tetapi kini keadaannya sudah jauh berubah. Memasak makanan di rumah dan kemudian makan bersama sudah tidak menjadi amalan keluarga zaman sekarang. Memandangkan semakin ramai wanita bekerja di luar rumah, memasak untuk keluarga sudah jarang dilakukan.
Malaysia mempunyai pelbagai jenis makanan yang murah dan mudah diperolehi. Terdapat makanan dijual di pasar malam, gerai penjaja dan restoran makanan segera, sementara tempat-tempat makan yang dibuka 24 jam yang menjual capati dan teh halia boleh dinikmati oleh sesiapa saja yang lapar selepas tengah malam.

Sebenarnya, hidangan yang dikomersialkan ini mendedahkan ancaman kesihatan yang serius kepada pengguna. Misalnya makanan seumpamanya mengandungi terlalu banyak lemak, gula dan garam, malah kadangkala disediakan dalam keadaan yang tidak bersih

Penduduk Malaysia sepatutnya berusaha mengurangkan lemak dan gula dalam makanan tempatan kerana Malaysia mempunyai jumlah penghidap diabetes, strok dan penyakit jantung antara yang tertinggi di Asia Tenggara. Pada tahun 2000, 7.6% atau 1.82 juta penduduk Malaysia yang melebihi usia 20 tahun adalah penghidap diabetes dalam negara yang mempunyai sekitar 24 juta penduduk, demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).


Pakar-pakar menyalahkan kemewahan, gaya hidup yang santai dan trend semasa di mana semakin ramai ibu bekerja menyumbang kepada masalah kesihatan yang semakin meningkat. Pada amnya penduduk Malaysia semakin banyak mengambil makanan yang tinggi kalorinya.

Menurut perangkaan kerajaan, lebih dua pertiga daripada penduduk yang berusia 18 tahun ke atas tidak bersenam. Kira-kira 54% penduduk dewasa pula sama ada obes atau mempunyai berat badan yang berlebihan, berbanding cuma 24.1% dalam tempoh 10 tahun lalu. Akibatnya, tujuh daripada 10 orang dewasa di Malaysia menghidap penyakit-penyakit yang kronik.

Diabetes dan kegagalan ginjal tahap akhir merupakan masalah kesihatan yang serius di Malaysia. Adalah dianggarkan terdapat 13,000 pesakit buah pinggang yang menjalani dialisis dan setiap tahun terdapat 2,500 pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang tahap akhir.

Satu lagi hal yang membimbangkan ialah 4 dari 5 penghidap diabetes akan mati akibat penyakit jantung (pembunuh utama di negara ini). Enam kes baru strok pula berlaku setiap sejam di Malaysia.

Tinjauan mendapati bagi setiap penghidap diabetes yang dikenal pasti, terdapat sekurang-kurangnya seorang lagi yang tidak mengetahui dirinya menghidap penyakit ini (oleh itu tidak mendapatkan rawatan yang sewajarnya) sehinggalah berlaku komplikasi yang sukar diubati. Lebih buruk lagi, diabetes Jenis 2 bukan sekadar membabitkan golongan usia pertengahan atau tua, malah kanak-kanak semuda 10 tahun yang menderitai diabetes (Jenis 1 dan Jenis 2) sudah menjadi satu kelaziman di sini.

Doktor mendapati kanak-kanak penghidap diabetes biasanya obes, yang berpunca daripada memakan terlalu banyak makanan yang tidak sihat dan menjalani gaya hidup santai. Menurut tinjauan tersebut, diabetes Jenis 2 lebih ketara di kalangan mereka yang berusia di antara 18-29 tahun, namun terdapat juga kanak-kanak yang menghidapnya.

Menurut seorang perunding kanan kanak kanak, “Amalan makan kanak-kanak yang buruk seperti suka memakan burger, naget, ayam goreng, kentang goreng dan minuman berkarbonat merupakan faktor-faktor yang menyumbang kepada obesiti. Melakukan kerja sekolah di rumah berjam-jam lamanya, menonton TV dan bermain permainan komputer memburukkan lagi keadaan.”

Pengambilan gula yang tinggi (yang juga menyebabkan obesiti) di kalangan penduduk turut menjadi salah satu penyebab diabetes. Kita mengambil 26 sudu teh gula sehari dan merupakan pengguna gula kelapan tertinggi di dunia.

Di sebalik kempen-kempen yang dijalankan oleh kerajaan untuk mendidik orang ramai supaya mengamalkan gaya hidup sihat, taraf kesihatan penduduk negara ini semakin merosot sejak kebelakangan ini. Bilangan penghidap bukan penyakit-penyakit berjangkit seperti diabetes terus meningkat di kalangan penduduk.

Sudah tiba masanya kita mencari pendekatan yang bersifat kerohanian untuk menyelesaikan masalah tersebut dan jawapannya terletak kepada dapur dalam setiap rumah. Tidak ada makanan yang boleh menyaingi makanan yang dimasak sendiri di rumah, kerana seseorang itu berpeluang memilih ramuan yang menyihatkan.

Sehubungan dengan tahap kesihatan yang semakin merosot di Malaysia, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pendidikan supaya memperkenalkan kelas memasak di sekolah-sekolah tanpa mengira jantina. Pelajar perlu diajar cara memasak agar mereka mempunyai kebolehan memasak hidangan yang menyihatkan untuk keluarga mereka.

Mereka yang jarang memasak mungkin akan merasakan ia satu tugas yang berat. Bagaimanapun terdapat beberapa panduan untuk memudahkan kerja memasak dan lebih enak untuk dijamah.

Rancang Hidangan – adalah penting untuk merancang menu terlebih dahulu. Ia mungkin cuma mengambil masa beberapa hari atau seminggu dua lebih awal. Ketahuilah apa yang akan dimasak pada keesokan hari. Pastikan masakan anda mudah disediakan serta menggunakan bahan-bahan yang mudah diperolehi.

Sediakan Senarai Barang Belian – sesudah anda merancang hidangan mudah menggunakan bahan ramuan yang mudah diperolehi, anda boleh memenuhkan kabinet di dapur dengan bahan-bahan ini. Simpanlah senarai barangan ini dan periksalah berapa yang masih tinggal. Cuba beli barang keperluan ini ketika jualan murah tetapi perhatikan juga tarikh tamat tempoh penggunaannya.

Sediakan Senarai Belian Runcit – sungguhpun pada mulanya ia akan memakan masa namun ia menjimatkan masa pada masa depan. Buat senarai barangan yang biasa dibeli secara mingguan atau bulanan. Apabila tiba masa untuk berbelanja, catatkan senarai barangan yang hendak dibeli.

Simpan senarai harga – ketahui apa yang dibelanjakan ke atas barang makanan. Gunakan buku nota kecil untuk mencatatkan harga ketika membeli dan simpan senarai itu di dalam komputer. Ini penting untuk mengetahui bajet anda.

Gunakan petak penyejuk beku – Ketika memasak, cubalah agihkannya kepada dua bahagian. Simpanlah satu bahagian dalam petak penyejuk beku untuk dimakan apabila anda kesuntukan waktu untuk memasak. Ini boleh menghalang anda dari berkejar ke tempat makan atau restoran makanan segera.

Jaga Kebersihan Dapur – Memasak dalam dapur yang bersih dan tersusun rapi lebih menyeronokkan daripada memasak dalam keadaan dapur yang berselerak. Biasakan membersih dapur sambil anda memasak.



S. M. Mohamed Idris

Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Saturday, August 6, 2011

Catatan Ramadhan 4, 5, 6

Teks: www.masayuahmad.com


Saya tertinggal dua catatan iaitu Ramadhan ke 4 dan 5. Semalam sudah yang ke 6. Alhamdulillah semalam tiada apa-apa yang menarik. Cuma pada hari puasa ke 5, berbuka beramai-ramai. Anak-anak saudaran dari Besut pulang berbuka dengan mok dan atuk mereka. Jadi berbuka beramai-ramai.

Puasa ke 5 dan 6 semalam saya berjaya ubah suai semula cara berbuka, tidak terus makan berat tetapi seperti saranan Rasulullah, makan buah tamar, minum air dan menunaikan solar Magrib kemudian barulah menjamah makanan berat. Rasanya badan lebih ringan dan bertenaga. Puasa kali ini juga saya merasakan badan lebih sihat dan bersemangat.

Juga memastikan Arissa mendapat susu secukupnya. Saya memastikan malam hari makan 7 buah tamar dan lapan gelas air. Alhamdulillah atas rezeki bekalan susu buat Arissa masih cukup dan saya masih kekal bertenaga.

Sahur pagi tadi bersahur gaya ‘candle light dinner’ apakan tidak, sejak jam 2 pagi terputus bekalan elektrik. Jadinya jam 4 pagi saya sudah mula masak. Masak nasi menggunakan dapur lebih pantas. Panaskan kuah untuk nasi kerabu dan goreng pedas ikan siakap. Itu sahaja. Juga air teh o panas dan air suam, ini sudah minuman wajib. Jam 4.30 semua sudah siap semuanya. Kanak-kanak riang juga bangun kerana kepanasan dan nyamuk.

Jadi semua orang bersahur.

Alhamdulillah juga latihan untuk Hakim sahur semakin ok, dia marah jika tidak dikejutkan sahur. Hari ini puasa sehingga separuh hari.

Ok, saya mahu menyambung kerja menulis seperti biasa.

Dapatkan!

www.janawangdirumah.com

Wednesday, August 3, 2011

Catatan 3 Ramadhan

Teks: http://www.masayuhmad.com/

Alhamdulillah semalam saya agak lemau, hari ini sudah kembali bertenaga dan rasa semakin sihat.
Untuk hari ke 3 berpuasa Hakim belum berjaya lagi berpuasa.

"Ibu Hakim sorang je makan, Zain puasa ibu," Hakim memberitahu.

"Dah tu bila abang mahu puas," tanya saya.

Hakim tidak menjawab sebaliknya tukar topik pula. Saya meneruskan usaha saya.

"Kalau abang puasa Allah sayang abang, ibu pun sayang abang, semua orang sayang abang," pujuk saya lagi.

" Dahlah ibu, Hakim penat ni," cuba untuk mematikan topik tentang puasa.

Malam tadi, saya sekali lagi berusaha memujuk.

"Siapa nak sahur,"

"Nak, nak, nak," jawab Arif dan Aiman beriya-iya, memang semangat tapi masa kejutkan sahur, semua tak boleh buka mata.


Hakim sudah mamai, dalam keadaan minda separuh sedar. Matanya hampir lelap.

"Abang nak sahurkan esok,"

Angguk.

"Abang nak puasakan esok, kalau abang puasa ibu bagi duit raya banyak-banyak,"

Angguk lagi dua kali.

Dinihari lebih kurang jam lima pagi saya kejutkan Hakim.

"Bang-bang bangun, nak sahur dan puasakan hari ino,"

Angguk.

"Ya lah bu,"

Badan dengan mata masih tertutup, bergerak kiri dan kanan. Saya tarik perlahan. Hakim bangun.

"Mahu kencing dahulu ibu,"

Saya menamkan Hakim, kemudian berpimpin tangan ke dapur. Atuk, Mok dan ayah sudah ada di meja makan.

"Hakim nak nasi?"

Geleng

"Nak supu?"

"Nak milo je," jawapnya ringkas.

Saya membancuh milo kosong suam. Dia minu,. selesai terus ke bilik tidur sambung semula lena.

Pagi ini ketika bersiap ke sekolah,

"Abang puasa kan,"

" Ya lah bu, Hakim nak banyak-banyak duit raya macam Zain,"

Apa-apalah janji Hakim dapat mula berlatih puasa, setengah hari sudah cukup sebagai permulaan.

Lega hati saya sebagai ibu, apabila Hakim sudah makan pujukan. Jika tidak dia akan menangis, menarik muka dan membentak jika saya mula buka tajuk 'sahur' dan 'puasa'. Alhamdulillah.

Sahur hari ke -4 ringkas sahaja, tomyam campur dan ikan terubuk goreng.

Menu berbuka hari ke-3 agak banyak pula, ikan terubuk goreng, ikan bakar cicah air asam, ikan patin masak tempoyak. Ada manis taik itik dan buah tanjung. Ini lah kali pertama dalam hidup saya makan kuih taik itik, ia diperbuat daripada putih telur, gandum dan daun pandan.

Tuesday, August 2, 2011

Catatan ramadhan hari ke 2

Teks: www.masayuahmad.com


Hari ini agak lemau tetapi saya perlu selesaikan perkara berikut;

1. Bab 3 buku bulan Ogos

2. Editing manuskrip-hantar pada editor

3. Bungkus buku dan pos

Tiga di atas adalah tugas perlu selesai hari ini juga, walau apa cara sekalipun. Oh, ya saya mahu kongsi catatan Ramadhan semalam iaitu bersamaan 2 Ogos 2011. Menu sahur daging goreng, kerabu, manakala menu berbuka ikan patin masak tempoyak, kerabu timun ala kelate, ikan siakap goreng, teh o, nasi putih ada buah melaka dan akok. Sederhana sahaja. Nampak macam banyak kan, tetapi tak adalah banyak, ikan tempoyak untuk bapa mertua, kerabu untuk emak mertua, kami makan apa yang ada ikut selera orang tua.

Menu itu juga untuk sahur Ramadhan ke 3 pagi tadi lauk yang sama cuma mertua tambah daging goreng.

Catatan dan aktiviti untuk bulan puasa, alhamdulillah masuk trek, cumanya hari ini saya agak lemau jam 10 pagi hingga 11 pagi. Untuk memusnahkan rasa malas itu, saya teruskan menulis entri.

Salam kasih sayang

http://www.janawangdirumah.com/

Monday, August 1, 2011

Cipta rutin menyeronokkan- Tip SOHO

Teks: http://www.masayuahmad.com/


Cipta rutin yang menyeronokkan, Jana RM Dari Rumah muka surat 121



Pada minggu pertama memulakan usaha bekerja dari rumah, anda begitu bersemangat dan gembira dengan perubahan baru. Namun selepas beberapa bulan anda kembali rindu dengan rutin bekerja di luar rumah (perkejaan sebelum ini).
Mari kita gerakkan kembali rutin bekerja. Ada yang menggangap bekerja dari rumah cepat bosan, tiada kawan dan nanti terperuk seperti katak di bawah tempurung. Jadi di sini kita perlu kreatif bagaimana untuk memaksimakan masa yang ada untuk menghasilkan ouput yang cemerlang. Tidaklah anda bekerja atau mengusahakan bisnes.

Bulan khusus

Bulan puasa adalah satu bulan yang memberi peluang kepada suri yang bekerja di rumah untuk lebih dapat bekerja lebih masa. Gunakan masa awal di waktu pagi iaitu bangun jam 4 pagi sebagai satu disiplin untuk konsisten pada bulan-bulan seterusnya. Inilah masanya untuk melatih diri untuk bekerja tanpa gangguan. Pada masa ini anak-anak masih nyenyak tidur. Beberapa pilihan berikut masih boleh digunakan.

- Hadkan masa memasak untuk sahur 30 minit, pilih menu mudah, panaskan lauk, masak nasi, goreng atau kukus ikan.
-Pilih senarai kerja utama yang mahu diselesaikan sebelum subu jam 4,5.6
- Masa ini adalah masa yang begitu produktif untuk bekerja, fokus dan tanpa gangguan
- Anda boleh gunakan masa ini untuk bekerja sebelum hari raya menjelang
-Biasakan menyiapkan kerja rumah seperti, mengemas, menguruskan pakaian kotor pada malam hari, kerana badan sudah bertenanga. Siang hari boleh fokus menyiapkan kerja yang mudah.

 http://www.janawangdirumah.com/

Cerita 1 Ramadhan

Teks: http://www.masayuahmad.com/

Ini adalah catatan seorang WAHM, kadangkala bertukar sebagai SAHM. Apa itu WAHM, dan apa pula itu SAHM. Secara rinngkasnya WAHM, wanita bekerja dari rumah, SAHM, suri rumah sepenuh.

Ok, saya mahu kongsikan pengalaman 1 Ramadhan bersamaan 1 Ogos 2011, sebagai rujukan dan catatan pengalaman saya bekerja dari rumah. Sudah tentu pengalaman ini juga sangat bermakna, dan ia boleh mengambil manfaat jika dilihat dari perspektif positif.

Alhamdulllah tahun ini adalah tahun ke tiga saya bekerja dari rumah, tahun dan fasa penting. Jika tahun lepas saya hamilkan Arissa dan dua minggu pertama bula Ramadhan kami berada di Pulau Pinang, kali ini dan tahun ini dapat berpuasa dengan penuh bahagia di tempat kelahiran sendiri.

Libatkan anak-anak tentang puasa

Anak-anak saya masih di bawah umur, iaitu 6, 4, 3 dan lapan bulan. Masih hijau dan rebun. Maka sebab mereka masih rebunlah saya perlu mengasuh dan mendidik dari awal tentang puasa. Pun begitu saya bukanlag ibu yang sempurna, saya lebih suka dengan kaedah biarkan mereka bersedia, tahu dan faham. Tiada paksaan untuk berpuasa penuh.

Abang Hakim masih belum bersedia berpuasa penuh, jadi pada malam pertama saya ada memujuknya.

"Esok puasa bang, esok abang bangun sahur ya,"

Hakim diam dan menarik muka.

"Ibu ni, nanti Hakim lapar, tak boleh makan tak boleh minum,"

"Tak apalah, separuh hari sahaja,"

Hakim memasamkan muka.

"Ibu, ibu Arif nak bangun sahur," Arif lebih bersemangat berbanding abang.

"Ok, Arif tidur nanti ibu kejut bangun sahur,"

"Yalah, yalah, terus tarik selimut dan mahu tidur,"

"Iman pun nak sahur ibu, macam upin dan ipin," Aiman menyampuk.

"Yalah, yalah, nanti man bangun ya,"

Menjelang sahur, sampai ke sudah seorang pun tak bangun. ;D

Esoknya, Hakim bangun untuk ke sekolah.

"Abang nak puasa tak,"

Hakim diam.

"Minum milo je," pintanya.

Hakim minum milo sahaja, tak mahu sarapan.

Ketika saya menjemputnya pulang. Saya bertanyakan gurunya. Dia tak mahu makan, hanya makan ketika jam 12 tengahari. Walaupun masam mencuka sebelah malamnya, dia tetap ingat akan pesanan saya.

"Tak mahu puasa penuh tak apa, separuh hari pun cuku," nampaknya ia melekat.

Kalau Arif dan Aiman saya suka ulang dan ulang soalan ini.

"Puasa tu, kita tak boleh makan, tak boleh minum, dari pagi sampai petang," Aiman atau Arif akan menjawab sebijik macam gaya upin dan ipin.

Sahur pertama, air tangan mertua, udang goreng kunyit dan ikan terubuk goreng. Menu ringkas tapi memang sedap. Bersalahnya saya kerana terbangun jam 5 pagi. Itu pun dikejutkan suami.

Berbuka, saya yang masak, adillahkan berbahagi tugas. Menunya asam pedas ikan terubuk yang diletak kesum, tomato dan bendi, ikan siakap goreng, timun cina, juga 30 minit sebelum berbuka saya buat kerabu nangka. En.suami balik ada pula akok kedut dan pulut serikaya. Minum tentunya teh o panas.

Sahur ke dua tadi, saya lebih beringat, saya mahu bangun dan kali ini biar giliran saya pula. Oh, mertua lebih cekap, jam 3.30 sudah memasak, jam 4 sudah siap. Aduhai, saya bangun.

"Dah siap ma?" Saya tak mahu jadi menantu hantu.

"Tak apalah mudah jah ni, sudoh doh," Aduhai, saya sudah rasa serba salah. Tapi jawapan ma, menyedapkan hati. Nampaknya sahur dia masak, berbuka saya pula. Itu macam perjanjian melalui talian udara sahaja. Menyampaikan naluri melalui minda separuh sedah. Ma setuju, saya setuju. Arissa menangis, sambung menyusu, mandi  dan jam 5 saya pula yang menyiapkan apa yang patut.

Alhamdulillah, ramadhan kali ini saya rasa lebih tenang dan rasa lebih bermakna. Semoga puasa saya bukanlah puasa berlapar dan dahaga.

http://www.janawangdirumah.com/

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin