Thursday, November 10, 2011

musim hujan sudah bermula

Teks: www.masayuahmad.com

Musim hujan sudah bermula sejak beberapa minggu sudah. Tetapi pada Hari Raya Aidil Adha, cuaca sangat elok, hingga ke hari ini. Jadi kain di jemuran sudah banyak yang kering.


Alhamdulillah kemeriahan AidilAdha di sini seperti biasa, ia masih meriah walau semakin kurang taringnya. Pada raya pertama, usai solat raya Hakim dan Arif berbonceng motorsikal bersama en.suami ke tempat korban.

Sangat seronok dua beradik ini dapat melihat suasana atau acara mengorbankan lembu, juga dapat bermain tepi air tali air, yang sungguh segar lintah yang meliuk-liuk di dalam air. Tetapi apa Hakim kisah, seronok dapat lihat lembu, seronok bermain dan selepas pulang ke rumah usai mandi, dua-duanya tertidur keletihan.

Saya, usai solat subuh, ketang ketung di dapur menyiapkan menu nasi ayam. Semalam sudah siap beldo santan atau agar-agar santan. Sudah kering idea mahu buat apa dan pada masa yang sama sudah bercampur 'mood malas memasak' hehe, bertuah punya menantu.

Petang usai sudah menyiapkan dan membersihkan daging korban, berkemas-kemas untuk balik ke rumah tok ayah. Disebabkan hujan lebat, kami bertolak lambat. Sudah magrib dan malam sudah menjelma barulah sampai ke pintu rumah.

Esoknya saya menyiapkan sup tulang lembut, daging goreng kunyit. Dalam minggu ini dalam peti ais masih banyak stok daging. Inilah seronoknya berada di Kelantan. Teringat tahun lepas, saya sungguh kempunan kerana meraikan di Kuala Lumpur, secebis daging pun tidak merasa. Kerana terlalu mahu makan, jadi beli sahaja di tepi jalan.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin