Monday, September 19, 2011

Warga emas sunyi, adakah ibu bapa kita salah seorang daripada mereka?

Teks: www.masayuahmad.com

Salam kasih sayang, lama sudah saya tidak berkongsi apa-apa panduan kali ini. Ketika sebulan Ramadhan Allah telah memberi kelapangan masa untuk saya. Usai Ramadhan saya bertarung untuk menggunakan masa sebaiknya. Ada beberapa urus rumah tangga yang perlu saya selesaikan sebelum mengimbangi dengan kerja-kerja penulisan.

Ada entri sebelum ada beberapa perkara yang perlu anda tangani jika bekerja dari rumah, antaranya ialah urus rumah tangga, urus anak-anak, dan urus karier atau bisnes. Ok satu lagi perkara yang jarang saya kongsikan ialah bagaiman mengurus warga emas. Sangat penting apabila kita bekerja dari rumah, menjaga kebajikan orang tua adalah satu lagi isu penting yang perlu diambil perhatian.

Sudah tentu kalian ada terbaca di berita harian baru-baru ini, tentang berikut:

Sindrom ‘Empty Nest’ sedih berjauhan daripada anak meningkat

KUALA LUMPUR: Kira-kira 23 peratus atau 538,000 daripada 2.4 juta warga emas di negara ini mengalami sindrom ‘Empty Nest’ iaitu rasa kesunyian dan sedih akibat tinggal bersendirian di kawasan luar bandar dan berjauhan daripada anak-anak.
Perak mencatatkan jumlah kes sedemikian yang paling tinggi membabitkan 68,437 orang, diikuti Johor 68,087 dan Sarawak 62,804.
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr Anjli Doshi-Gandhi, berkata peningkatan kes sindrom ‘Empty Nest’ perlu diberi perhatian kerana ia juga dikenal pasti punca kepada masalah mental dan tekanan yang kebiasaannya melanda warga emas wanita.

“Sindrom ini terjadi apabila anak-anak berhijrah ke tempat yang lebih membangun sama ada untuk mencari pekerjaan selari dengan kepesatan ekonomi, melanjutkan pelajaran ataupun sudah berkahwin.

“Justeru, ibu bapa rasa kekosongan, rasa seperti tidak diperlukan sehingga mendorong mereka mengalami kesan sampingan seperti kemurungan dengan kajian menunjukkan 41.2 peratus daripada mereka mengalami gangguan kepada kesihatan fizikal dan mental,” katanya kepada Berita Harian.

Dr Anjli berkata, penemuan itu adalah berdasarkan hasil Kajian Penduduk Keluarga Malaysia (KPKM) kali ke-4 oleh LPPKN serta dipadankan dengan hasil Banci Penduduk dan Perumahan 2010.
Kajian itu membabitkan 18,875 rumah dengan menemubual 11,401 penghuni, termasuk 1,081 warga emas.

Bagi membendung sindrom ini, katanya, LPPKN menganjurkan pelbagai program nilai kekeluargaan di bawah Dasar Keluarga Negara (DKN) dan Pelan Tindakan DKN yang diluluskan kerajaan Disember tahun lalu.

“Ia termasuk dengan menambah Pusat Anjung Interaksi Rekreasi Intervensi dan Sokongan (AIRIS) sebagai tempat kaunseling, terapi dan sokongan psikososial kepada keluarga dan komuniti setempat di Bertam, Pulau Pinang, tahun ini,” katanya.

Pusat AIRIS pertama dibina di Selayang, Selangor dan Seremban 2, Negeri Sembilan bagi keluarga dan warga emas menghabiskan masa mereka dengan menyertai pelbagai program komuniti yang disediakan di situ.

“Melalui program itu, kita mengajar warga emas cara hidup yang aktif, amalkan pemikiran positif, memenuhi masa mereka dengan aktiviti kemasyarakatan, bercampur dengan jiran tetangga dan banyakkan beribadah.

“Kita juga memberi kaunseling kepada mereka bahawa kitaran hidup seperti ini di mana ibu bapa warga emas ditinggalkan sendiri kerana anak mempunyai kehidupan masing-masing adalah perkara biasa dan tidak perlu dirisaukan dan harus bersedia untuk menghadapinya,“ katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan anak-anak supaya tidak lepas tangan mengenai sindrom itu dengan turut memainkan peranan meluangkan masa untuk ibu bapa supaya mereka rasa lebih dihargai.

“Anak-anak seharusnya mengambil peluang dan masa selagi ibu bapa mereka masih hidup dengan menjaga ataupun pulang ke kampung untuk meluangkan masa bersama mereka,” katanya.

Kajian itu juga mendapati kira-kira 55 peratus daripada warga emas terbabit menyatakan rasa tidak kisah jika ditempatkan ke Pusat Jagaan Orang Tua untuk mengisi masa lapang mereka.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin