Sunday, November 20, 2011

Apa cerita?

Teks: www.masayuahmad.com

Jam sudah ke angka sepuluh malam, hujan sudah menderu-deru menyimbah tanah. Terasa aura sejuk sudah menyelubungi. Bulan sudah menginjak ke hujung tahun, bagi kami di Pantai Timur musim tengkujuh sudah tiba. Kain-kain di jemuran sukar untuk kering. Jika hujan berlarutan dua tiga hari, makanya kain mula menimbun. Apabila satu hari matahari menyerlahkan diri, maka surirumah lah orang paling sibuk. Ulang alik menjemur pakaian, agar satu hari yang panas dimanfaatkan sepenuhnya.

Lama saya tidak bicara di sini, apabila melihat laporan trafik di email, angka yang datang ke sini paling mencecah juga ratusan pelawat. Rasa kurang senang pula melihat blog kaku tanpa entri baru. Terima kasih yang sentiasa sudi menjengah di sini. Saya di sini alhamdulillah hampir selesai menyudahkan sebuah buku dan sebuah ebook.

Esok sudah mahu menghantar manuskrip yang saya rendam, karang dan gigih menyusun semula. Manuskrip buku sudah 98% dan ebook juga 98%, hanya sedikit lagi sentuhan sebelum hanyat ke penerbit.

Bulan depan, 7.12 Arissa genap sudah 1 tahun, 20.10 yang lepas juga genap saya 32 tahun. Jika umur saya sampai 60 tahun, hanya berbaki tidak sampai 30 hayat. Itupun jika masih panjang usia, sedangkan ilmu dan amal masih compang camping sana sini.

Ada matlamat yang sudah tercapai, ada juga beberapa yang masih belum. Saya panjangkan ia ke 2012, namun masa yang berbaki akan saya saya kerjakan juga dengan gigih. Sebagai isteri, ibu dan anak, pekerja (kepada Allah dan bekerja sendiri), banyaknya yang menuntut kiri dan kanan. Saya perlu perbetulkan semula niat, walaupun kadang kala bisikan halus suka menerjah cuping telinga. Apabila kepenatan mula berganda, cepat-cepat saya istigfar dan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Namapun manusia, tidak lari dari sebarang kekurangan. Mahu anak perempuan, Allah bagi, comel, sihat dan tidak meragam pula, bersyukurlah saya. Mahu pulang ke kampung halaman, Allah izinkan jua, maka gunakan lah nikmat masa bersama tiga warga emas ini, sebaiknya, Alhamdulillah, terima kasih ya Allah.

Terpejam mata sebentar melihat jadual tahun hadapan yang agak padat dan semakin padat. Juga saya menambah 1 amanah baru, untuk mempercepatkan saya sampai ke destinasi Y. Doakan agar saya sukses. Hakim sudah lena tidur, Arif dan Aiman masih bermain-main di belakang. Arissa sudah nyenyak dalam buai didodoikan mok.

Selamat datang 2012 yang penuh harapan, semoga saya dapat sempurnakan tugasan 2011, dengan berbaki tidak lebih dua bulan lagi.
Terima kasih pembeli ebook www.janawangdirumah.com, bagi yang mahu buat persediaan bekerja dari rumah tidak kira sepenuh masa, atau sambilan bolehlah mendapatkan ebook ini. Insya-Allah ebook ke dua adalah kesinambungan untuk informasi bekerja dari rumah seterusnya.

Salam kasih sayang

Thursday, November 10, 2011

musim hujan sudah bermula

Teks: www.masayuahmad.com

Musim hujan sudah bermula sejak beberapa minggu sudah. Tetapi pada Hari Raya Aidil Adha, cuaca sangat elok, hingga ke hari ini. Jadi kain di jemuran sudah banyak yang kering.


Alhamdulillah kemeriahan AidilAdha di sini seperti biasa, ia masih meriah walau semakin kurang taringnya. Pada raya pertama, usai solat raya Hakim dan Arif berbonceng motorsikal bersama en.suami ke tempat korban.

Sangat seronok dua beradik ini dapat melihat suasana atau acara mengorbankan lembu, juga dapat bermain tepi air tali air, yang sungguh segar lintah yang meliuk-liuk di dalam air. Tetapi apa Hakim kisah, seronok dapat lihat lembu, seronok bermain dan selepas pulang ke rumah usai mandi, dua-duanya tertidur keletihan.

Saya, usai solat subuh, ketang ketung di dapur menyiapkan menu nasi ayam. Semalam sudah siap beldo santan atau agar-agar santan. Sudah kering idea mahu buat apa dan pada masa yang sama sudah bercampur 'mood malas memasak' hehe, bertuah punya menantu.

Petang usai sudah menyiapkan dan membersihkan daging korban, berkemas-kemas untuk balik ke rumah tok ayah. Disebabkan hujan lebat, kami bertolak lambat. Sudah magrib dan malam sudah menjelma barulah sampai ke pintu rumah.

Esoknya saya menyiapkan sup tulang lembut, daging goreng kunyit. Dalam minggu ini dalam peti ais masih banyak stok daging. Inilah seronoknya berada di Kelantan. Teringat tahun lepas, saya sungguh kempunan kerana meraikan di Kuala Lumpur, secebis daging pun tidak merasa. Kerana terlalu mahu makan, jadi beli sahaja di tepi jalan.
There was an error in this gadget

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin