Thursday, May 22, 2008

Mengamit memori

Sebelum ini bukan tidak pernah berjumpa dengan mereka yang mempunyai anak yang istimewa. Bukan tidak pernah menyelami perasaan ibu yang mempunyai anak yang menghidapi penyakit. Malahan apabila membaca rencana berkenaan anak-anak yang terkena pelbagai kompilasi penyakit, hati mudah tersentuh.

Kali pertama menjejakkan kaki ke wad kecemasan membuatkan hati dipagut rasa tidak keruan, apatah lagi apabila melihat darah daging sendiri. Saya tidak terlalu mengikut perasaan. Tidak seperti mana ketika melalui detik-detik manis semasa ingin bersalin, kali ini lain pula rasanya.
Apabila melihat keletah manja dan riang bertukar dengan keadaan sedikit perubahan. Nafasnya tercungap-cungap menahan seolah-olah sukar untuk bernafas. Suaranya mengerang-ngerang tanda tidak selesa dengan persekitaran. Mendukung salah, meletaknya dalam buaian pun salah. Saya seboleh mungkin ingin membuatnya rasa selesa. Tangisannya sudah berhenti, namun sesak nafasnya belum kunjung reda. Saya cuba menepuk-nepuk memberi sedikit ruang agar dirinya selesa.

Kali pertama menghantarnya ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan, tidak banyak perubahan yang berlaku. Sehingga kali ketiga, doktor menyarankan agar dibawa ke hospital. Namun kami cuba juga memberi rawatan di rumah berpandukan arahan doktor dan ubat yang diberi.

Pada malam hari hingga ke dinihari, keadaannya sudah agak mencemaskan. Kami suami isteri bersegera ke klinik berdekatan, disebabkan hari minggu sukar untuk mencari klinik yang beroperasi 24 jam. Nasib memang menyebelahi kami, syukur alhamdulillah kami berjumpa dengan sebuah klinik yang dibuka 24 jam. Kami perlu menunggu beberapa ketika kerana doktor yang bertugas tiada. Sambil mendukung dan memeluk Naufal, saya cuba memujuknya agar jangan menangis. Itu sahaja yang terdaya. Pembantu klinik yang melihat keadaan Naufal yang begitu memerlukan rawatan segera, menyarankan kami masuk ke bilik doktor untuk mendapatkan bantuan pernafasan. Naufal diberi Nabulizer (sejenis gas untuk pesakit asma sebagai pelega pernafasan).

Seketika kemudian, doktor yang dinanti tiba, dia seperti rutinnya bertanya apa yang berlaku. Saya menerangkan keadaannya dan juga rawatan yang sudah diterima. Penjelasan dari doktor muda itu kami terima dengan hati terbuka. Perlu membuat rawatan susulan di hospital. Kali ini tidak berlengah lagi kami terus ke hospital. Selepas rawatan susulan, Naufal di x-ray dan ditempatkan di wad kanak-kanak.

Bau ubatan, keadaan keliling wad yang diselang seli dengan tangisan bayi yang menangis memberi satu suasana baru kepada saya. Kami ditempatkan di sebuah bilik yang berkongsi dengan tiga pesakit lain. Doktor mendapatkan maklumat apa yang berlaku dan apa rawatan yang sudah diberi. Sehingga hari keempat Naufal beransur pulih, tetapi keadaan yang semakin sihat, mencemaskan pula apabila suhu badannya meningkat sehingga 39 darjah celsius. Demam panas pula. Pakaian ditanggalkan, adakalanya pada satu ketika badannya mengigil-gigil, itu ada situasi yang tidak dapat dilupakan. Memandangkan ini anak pertama, saya tidak tahu apa yang perlu dibuat. Saya bersegera memanggil jururawat, pakaian Naufal ditanggalkan dan badan dilap dengan kain basah. Sehinggalah pada satu ketika dia kelihatan seakan kebiruan. Perasaan saya tidak tenteram, jururawat mencadangkan jangan terlalu banyak meletakkan air, badan terasa sejuk diluar tetapi panas di dalam. Buat beberapa ketika suasana semakin reda. Malam berikutnya kami suami isteri bergilir rehat, takut pula serangan demam panas akan menyerang lagi. Keadaannya sebegitu berulang beberapa kali pada waktu petang dan malam hari untuk dua hari berturut-turut.

Demam panas boleh menyebabkan sawan. Jadi kali ini walau sepenat manapun kami, saya tidak terlepas pandang melihat Naufal. Tidak mahu apa-apa yang mencemaskan berlaku lagi. Alhamdulillah genap seminggu kami dibenarkan pulang.

Kehidupan kami kembali normal, sehingga suatu petang akibat terkena sedikit tempias hujan, Naufal mula menunjukkan reaksi perubahan. Hidungnya berair dan badannya panas. Apabila malam berlabuh, tidurnya diganggu dengan nafas yang tercungap-cungap. Tanpa berlengah kami ke klinik berdekatan. Selepas menerima rawatan dia kembali sediakala. Namun keadaannya tidak habis disitu, apabila detik jam menginjak ke pagi hari pernafasannya kembali sesak, Naufal merengek-rengek tidak selesa.

Kami tidak berlengah lagi terus ke wad ke kecemasan, seperti biasa selepas diberi rawatan nebulizer, Naufal kelihatan selesa seketika. Namun dia perlu ditahan kerana keadaan masih belum berada pada tahap yang sepatutnya. Saya dan suami akur dengan keadaan. Sekali lagi Naufal ditempatkan di wad yang sama. Kali ini keadaanya berlanjutan sehingga tiga minggu. Sehingga untuk kali kelima pada awal Disember yang lalu Naufal ditahan di wad selama seminggu. Selepas seminggu menerima rawatan, Naufal masih lagi memerlukan rawatan susulan. Terima kasih kepada para doktor dan jururawat 8A, Hospital Selayang yang telah merawat Naufal Hakim, jasa kalian tidak akan kami, suami isteri lupakan.
There was an error in this gadget

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin