Monday, June 29, 2009

Air tangan isteri



Teks: Masayu Ahmad
Foto:http://www.pacamat.com

Sebagai isteri sudah tentunya teruja untuk menunjukkan kehebatan memasak di dapur. Apatah lagi jika hidangan pertama untuk santapan suami. Selalunya bagi isteri perasaan membuak-membuak untuk mendapat pujian suami, tetapi sebaliknya pula krtikan yang diterima

Isteri: Sedap tak nasi goreng saya?
Suami: Sedap, tapi emak saya masak lagi sedap.

Jika anda hadapi keadaan ini, usahlah berkeluh kesah. Mana mungkin kita mampu menandingi air tangan emak yang sudah mengasuh dan memasak untuk si anak sejak dilahirkan sehinggalah bujang. Mungkin usia si anak sudah 24 atau 27 tahun, maka selama itulah si suami sudah biasa dengan masakan dan air tangan emak.

Tidak akan sama dengan masakah isteri yang baru sehari dua memasak untuk suami. Ditambah pula apabila kembali bekerja dan kesibukan dijadikan alasan. Mungkin hujung minggu sahajalah masa terluang untuk memasak untuk suami dan anak-anak.

Jika anda berkahwin sudah 5 atau 10 tahun, masih kedengaran lagi kah ayat, emak saya buat begini, awak buat begitu, nanti belajar dengan emak saya, saya teringin makan gulai kari ayam emak.

Anda perlu mula berjinak-jinak dan pastikan apabila berada di rumah digunakan kesempatan untuk memasak buat suami dan anak-anak

Sebagai isteri saya mahukan, asalan seperti ini:

Suami:Nasi lemak isteri saya sedap, mee goreng dibuat pagi-pagi memang terangkat.

Alasan anak: Ibu, nak makan nasi goreng ayam.
Ibu ayam goreng berempah semalam tak cukup dua ketul, buat lagi yer hari ini

Ia membuatkan hidup si ibu kembang kuncup, hasil air tangan yang sudah sebati dalam diri suami dan anak-anak.

Sunday, June 28, 2009

Inilah jalan yang dipilih



Teks: Masayu Ahmad
http://www.womensfreedom.us

Ketika masih menuntut di universiti, pernah teman bertanya, agaknya bila sudah habis belajar apa kerjaya idaman?

Saya menjawab, sangat teringin menjawat karier suri rumah berijazah sepenuh masa. Ia ibarat doa yang dimakbulkan. Bukan kepalang rasanya niat dihati untuk berstatus penyeri rumah tangga. Mungkin jawapannya agak pelik bagi yang sudah berpenat lelah belajar dan mahu karier yang stabil dengan pendapatan lumayan.

Menjadi chef di ruang dapur yang penuh dekorasi. Tutor profesional untuk anak-anak mengulangkaji. Menjadi teman berbicara dan meluah rasa buat suami. Malah dengan senang hati melakukan aktiviti idaman hati. Itulah perkiraan yang seringkali bermain-main di kotak fikiran.

Sejak menjawat jawatan sebagai wartawan, saya sudah menerokai kehidupan melalui pengalaman menerumah sumber. Kaya, miskin, kenamaan, bergaya, bermotivasi seolah pelengkap kepada rencah kehidupan ketika usia muda di alam pekerjaan.

Saya gunakan sepenuhnya kebebasan yang masih terbatas oleh syariat, untuk belajar dari pengalaman di dunia kerjaya. Apabila melihat teman-teman yang sudah berkahwin kemudiannya hamil. Timbul lagi persoalan, jika aku masih di sini, bagaimana pula mengendong perut yang memboyot keluar untuk tugasan. Saya sudah mula terfikir, rasanya perlu bersedia sebelum masa itu tiba.



Sehingga bertemu dengan pilihan hati dan meletakkan titik nokhtah sebagai gadis pingitan dan bergelar suri rumah tangga. Setiap tahun pula rezeki dari Nya melahirkan Hakim dan Arif kemudiannya Aiman. Saya mula membuat persediaan untuk bergelar isteri bekerjaya di rumah.

Hakim seringkali diserang asma dan hospital bagaikan rumah kedua. Ini menguatkan lagi perasaan saya untuk berada di rumah menguruskan sendiri anak-anak. Mana mungkin saya meletakkan seratus peratus harapan pada orang gaji yang mungkin pemikiran dan cara yang berbeza.

Sedangkan kemahuan hati mahu mengajar sendiri anak-anak membaca al-quran dan pengisian moral untuk membentuk muslim sejati. Mahu juga memasak dengan penuh kasih sayang agar anak-anak sentiasa dilimpahi rasa kasih sayang ibu sendiri.

Doa dan matlamat yang digambar di dalam fikiran seolah mendapat restu Nya. Segala kejadian adalah sebab dan musabab dan hikmahnya kini saya sudah bergelar suri penyeri buat si suami dan putera-putera gagah perkasa Hakim, Arif dan Aiman.

Friday, June 26, 2009

Aktiviti hujung minggu





Teks: Masayu Ahmad
Foto:www.eatingwell.com

Selamat berhujung minggu. Apa pula resipi sarapan sekeluarga untuk hari ini? Dalam terfikir-fikir menu yang sesuai, masih ada udang di dalam peti ais. Nasi goreng udang untuk sarapan hari ini. Memandangkan tengahari mahu keluar kerana ada sedikit urusan, jadi perut anak-anak perlu dialas dengan makanan yang agak berat. Kenyang hingga ke tengahari.



Jika ada kesempatan hari ini mahu bawa Hakim, Arif dan Aiman bermain-main di taman tasik atau taman permainan. Selalunya waktu petanglah, meluangkan masa dengan mereka.

Budak-budak ini apa lagi sangat seronok, lepas bebas, berlari di padang yang luas, melompat sakan. Waktu malam keletihan, jadinya akan tidur awal. Ibu pula dengan senang hati boleh meneruskan aktiviti sendiri.

Kempunan refleksologi lagi



Teks:Masayu Ahmad
Foto: www.susannahmoorereflexology.co.u

Jika keletihan memang seronok jika diurut pada bahagian kaki. Satu tempat yang cukup melekat di hati saya, urutan refleksologi Thai di Ampang Point. Terapi urutnya kebanyakannya orang-orang Thai.

Jika mahu sentuhan bertenaga yang menyegarkan lakukan di awal pagi, memandangkan tenaga tukang urut masih lagi di tahap maksima. Saya pernah beberapa kali ke situ, memandangkan ada ruangan khusus untuk wanita. Loghat tukang urut pula masih pekat berbahasa Thai. Hanya tahu beberapa perkataan seperti sakit dan geli.

Urutan dari tapak kaki, celahan jari, anak-anak jari, juga tekanan perlahan, lembut tetapi mengesankan sehingga ke paha. Memang mengasyikkan dan membuatkan saya cukup kempunan untuk singgah lagi.

Milo panas, mai secawan!




Teks:Masayu Ahmad

Petang-petang begini jika pekena secawan teh atau kopi panas amatlah menyegarkan. Ditambah pula goreng pisang atau lekor panas. Aduhai memang asyik. Tak ada kopi, milo panas pun boleh tahan juga.

Kononnya dodoikan Aiman, dengan ibu sekali terlena. Segar semula rasanya. Dua beradik Hakim dan Arif masih aktif. Budak berdua ni tak mahu tidur pula hari ini. Aktif sungguh, mata segar bugar. Disebabkan letih tidr lewat malam tadi, gangguan macam mana pun saya tetap lena di sisi Aiman.

Thursday, June 25, 2009

Nikmati warna warni kehidupan



Salji memutih.

Ibarat lakaran pilihan kehidupan yang mahu dicorak. Putih hitam adalah pilihan yang perlu kita tentukan. Jika putih yang kita mahukan putihlah coraknya.Begitulah sebaliknya, ambil jalan mudah dengan apa yang boleh memberi kebahagian dan ketenangan laluan yang dipilih.



Pohon-pohon menghijau.

Ibarat alam yang redup mata memandang. Setenang itulah warna kehidupan yang ingin kita gapai. Jangan jadikan hidup ini sebagai suatu yang terlalu sukar, sebaliknya jadikan segala ujian dan cabaran yang perlu diterima sebagai hikmah terselindung. Memanjat kesyukuran dengan nikmat yang ada pastinya ketenangan terus bermukim dalam diri.



Awan di langit biru.

Kicaun burung dan desiran hembusan angin ibarat lagu alam yang perlu dinikmati. Tidak usah pergi jauh, nikmati seadaanya anugerah ciptaan Tuhan yang kadangkala kita lupa dalam kesibukan mengejar urusan dunia. Berhenti sejenak dan rasai setiap penjuru alam yang sungguh indah dan tidak terucap dengan kata-kata.

Nota: Bermadah pujangga pula mood hari ini.

Wednesday, June 24, 2009

Mabuk buku





Teks: Masayu Ahmad

Saya perlu segera menyiapkan tugasan. Sekejap merujuk, sekejap tekun, sekejap ambil nafas. Harapnya tenaga segar sehingga ke petang. Mahu saya selesaikan tugasan ini hari ini juga, tinggal sedikit sahaja lagi. Hanyut dalam lautan ilmu, saya tidak tersedar anak-anak sedang ralit dengan permainan mereka. Nasib baik semua sudah kenyang dan mood mengacau ibu tidak ada. Sangat membantu.

Tuesday, June 23, 2009

Rutin saya sejak bergelar WAHM

Teks: Masayu Ahmad



Sejak bergelar isteri bekerja di rumah (WAHM) saya mula melakukan rutin yang saya minat sahaja. Jadual kerja dan mengurus anak-anak saya selaras mengikut kesibukan.

Pagi-pagi saya akan berlari-lari di sekitar taman, mengikut jalan berbukit di hadapan rumah. Kesempatan ini digunakan untuk menikmati udara segar di pagi hari.



Memasak adalah rutin pagi, menemani suami bersarapan sebelum ke tempat kerja. Jika penyakit M melanda, suami membelikan kuih dan nasi kerabu kegemaran saya. Waktu inilah digunakan untuk bersembang dan bercerita tentang anak-anak.

Juga kaunselor atau pakar motivasi (itulah ayat suami jika saya memberi pandangan) apabila si dia bercerita konflik di tempat kerja. Selaunya saya mengusik pakar motivasi ini perlu ditambah elaun setiap bulan, he,he. Elaun sedia ada sudah cukup bersyukur sebenarnya, tetapi jika mahu beri lebih saya menerima dengan senyuman manis menawan hati.



Mengasuh anak-anak sudah tentunya menjadi aktiviti wajib. Aktiviti selepas itu memandikan kanak-kanak riang dan menyuapkan mereka sehingga kenyang.Kerja-kerja rumah saya dahulukan sebelum kanak-kanak riang ini bangun.





Saya akan mula rutin menulis, seawal jam 8 pagi atau 9, mengikut rentak anak-anak. Jika mereka asyik bermain dan menonton, maka boleh meneruskan aktiviti menulis tanpa gangguan. Masa ini digunakan untuk menelaah dan membaca buku-buku yang belum habis dikhatam.



Jika gangguan sudah mula berlaku. Maka saya meneruskan rutin melipat kain, kanak-kanak riang ini akan kusyuk sebentar di hadapan komputer. Jika tidakpun sambil menelaah saya memantau aktiviti mereka. Mengajar apa yang patut dan mengikut kerajinan saya.

Apa yang dimakan membentuk perlakuan diri



Teks: Masayu Ahmad
Foto:http://www.bbcgoodfood.com

Kita adalah apa yang kita makan. Sesekali apabila mengunjungi pasaraya dan singgah sebentar untuk minum-minum. Mata akan melilau ke sana sini. Tengok tingkah laku manusia yang banyak ragam dan menarik.

Mungkin hanya perbincangan suami isteri yang kelihatan jakun, kuno dan rasa sungguh kecewa. Kecewa kerana kedai makan yang memangnya sahih di depan mata milik bukan muslim, tetapi pelanggan dengan lahapnya makan hidangan dengan sungguh berselera. Serba salah kerana saya masih belum berani menegur padahal sebagai saudara Islam sudah menjadi tanggungjawab saya. Tetapi mata dan hati hanya membiarkan sahaja.

Fikiran saya biasanya akan menerawang jauh dan mula berfikir yang bukan-bukan. Kuali yang digunakan itu mungkin sudah digunakan di rumah. Kalau di rumah digoreng atau direbus daging haram yang tidak boleh dimakan oleh saudara Islam saya, bagaimana?

Dibawa pula kuali itu ke kedai, lalu dimasakkan pula masakan pelanggan. Aduhai, saya tidak mampu berkata-kata lagi. Selalulah menjadi perbincangan kami, suami isteri.

Selalunya pemilik kwok yik yang itu akan menggunakan pekerja-pekerja yang memakai tudung di hadapan kaunter. Menerima pesanan dan tugas-tugas di kaunter bayaran.

Persoalannya, siapa pula yang memasak. Alahai seorang lelaki bukan muslim dan berambut tegak-tegak bermata sepet. Mata saya akan menerobos untuk melihat siapa yang memasak, bukannya siapa yang mengambil pesanan. Sudah tentulah saya nampak, sebabnya hanya ditabirkan cermin telus mata memandang. Kecewa saya tak sudah-sudah bermukim di hati.

Halal haram dalam makanan yang diambil perlu jelas, walaupun kadang-kala kita rasa was-was. Jika was-was tidak perlu terus mengambilnya. Kerana halal haram juga yang akan menjadi darah daging. Seterusnya membentuk perlakukan diri.

Panas baran, mudah stress, penyakit hati kesan daripada makanan yang diambil yang tidak diketahui sumbernya, bersihnya. Kita adalah apa yang kita makan, ada benarnya. Usahakanlah untuk memberi yang suci lagi halal untuk anak-anak dan keluarga. Juga sumber rezeki yang berkat dan bersih.

Jom santai dan relaks

Berehat di sini.

Foto:kolkata.regency.hyatt.com

Berendam.

Foto:jakuziwww.jakarta.grand.hyatt.com

Sangat seronok diurut begini

Foto:SpaTreatment+z.about.com

Santai begini.

Foto:www.gaylordhotels.com

Teks: Masayu Ahmad

Saya sudah tidak sabar untuk memulakan projek X yang akan datang. Projek apa? Tunggu! Kita akan menjelajah dan menerokai kenikmatan, keseronokan untuk santai dan relaks.Pulihkan tenaga, kembalikan kecergasan. Saya sangat teruja. Sila angkat tangan sesiapa yang mahu sertai saya dalam misi ini!

Nadia & Zakry Hilang- tolong sebarkan berita ini

Zakry dan kawannya




Nadia Natasha


Nadia



Nadia & Zakry Hilang- tolong sebarkan


Mohon Bantuan Mencari Kanak-kanak Hilang. Help us to find the missing kids to Puan Miza that I knew through yahoogroup Rnet; She is missing her two kids.
Pls help to spread the message and LET'S PRAY for the SAFETY AND WELL BEING of Nadia and Zakry.

Nadia Natasha 8 tahun dan Ahmad Zakry 10 tahun, telah hilang dari rumah
di Sri Putramas, Jalan Kuching, KL pada 22 Jun 2009.
Kali terakhir dilihat pada jam 7malam 22 Jun.
Sebarang info sila hubungi Puan Miza di 013-345 5661. Terima kasih.

Nadia Natasha 8 yrs and Ahmad Zakry 10 yrs were missing since 22nd June 2009,
last seen at Sri Putramas, Jalan Kuching, KL at 7pm.
Please call Puan Miza at 013-345 5661 if you have any information.

'Ya Allah, selamatkan kedua2 anak ini dari sebarang kejahatan dan kemungkaran. kembalikanlah kedua2nya dalam keadaan selamat kepada ibubapanya.. Amin..

Terima kasih.

Monday, June 22, 2009

Minta maaf ibu



Teks & Foto: Masayu Ahmad

Kata-kata Hakim yang membuatkan saya terkedu. Biasanya sudah penat bermain kejar mengejar suruh pakai baju, membuatkan saya naik angin sekejap. Jadi saya biarkan saja budak seorang ini yang suka sangat tidak mahu pakai baju.

Hakim lebih suka tidak berbaju. Apa tidaknya, aktif sana ke mari, lari sana sini. Mahu tidak berpeluh badannya. Hakim suka mengusik, jika dia tahu ibu tidak suka.

Jadinya saya buat tidak tahu sahaja kalau tak mahu marahkan anak. Saya diam-diam depan komputer buat kerja. Hakim datang.

"Minta maaf ibu." Ambil tangan saya salam dan cium.

Sejuk hati saya. Mana entah dia dapat ayat itu. Biasa akan terikut mana-mana rancangan tv yang dia tengok. Itulah penangan tv yang saya rasa bagus untuk Hakim. Satu contoh yang saya tidak suka, dia suka buat gaya Hagemaru jelir lidah. Jadinya sudah terikut-ikut. Saya buat aksi mahu potong lidah jika dia ulang lagi aksi sebegitu. Saya perlu cari alternatif agar Hakim tidak terikut gaya Hagemaru itu.

Sunday, June 21, 2009

Memotivasikan diri bekerja di rumah


Teks: Masayu Ahmad
Foto:http://inspireinspire.typepad.com

Pendapatan usaha sendiri

Gaji pertama daripada usaha sendiri membuatkan rasa menghargai segala penat lelah yang dilakukan selama ini. Ini memberi dorongan berterusan agar anda terus mengejar matlamat yang dicita-citakan.

Persekitaran yang memberangsangkan

Ruang kerja yang kemas, teratur, bersih dan mengujakan membuatkan anda sentiasa leka bekerja. Ianya boleh memupuk motivasi dalaman untuk anda selesa bekerja di rumah sendiri.

Persediaan kewangan

Sebelum memutuskan untuk bekerja di rumah atau dari rumah anda sudah bersiap sedia dengan kewangan yang sepatutnya. Simpanan selama anda bekerja 10 tahun, lima tahun terdahulu adalah salah satu langkah selamat sebelum bermula sebagai isteri bekerjaya di rumah. Zero hutang adalah sesuatu yang sukar dilakukan.

Jika disiplin itu sudah lama anda amalkan, ianya memudahkan anda dalam pengurusan kewangan. Anda tidak takut untuk melunaskan bil-bil bulanan. Kereta anda sudahpun habis dibayar dan anda sudah buang jauh-jauh untuk menukar kereta baru.

Anda juga sudah konsisten membuat bayaran pinjaman belajar. Simpanan boleh membantu untuk meneruskan bayaran sebelum anda berada pada landasan semula menggunakan wang hasil pendapatan di rumah.

Meransang minat anak belajar


Teks: Masayu Ahmad
Foto:http://wallhangingguide.com

Bagi isteri bekerja di rumah, tempat anak-anak belajar juga adalah salah satu stesen kerja yang perlu difikirkan. Ianya terpulang pada cara anda untuk menyesuaikannya.
Juga berdasarkan bajet, minat dan mahu meransang anak-anak seronok berada di rumah sendiri.

Jika di rumah sudah ada kelengkapan, sudah tidak ada alasan lagi untuk anda menghabiskan masa diluar. Kunci rumahku syurgaku, membuatkan anda dan anak-anak gemar menghabiskan masa di rumah sendiri.

Bukan sahaja anda mempunyai stesen kerja, malah anak-anak juga akan suka untuk belajar dalam suasana yang menarik.

Hari ini sudah boleh tersenyum


Teks: Masayu Ahmad
Foto:http://baby.more4kids.info

Arif sudah berselera makan. Aiman sudah berlari-lari riang, tidak lagi berkepit dan merengek sepanjang masa. Mereka sudah asyik bermain dan main, menonton hagemaru, bermain komputer.

Hati sudah lega, kembali kepada rutin kerja yang masih menunggu untuk diselesaikan. Alhamdulillah.

Dalam fikiran sedang mencari hari untuk mencari beberap pusat tahfiz untuk Hakim. Semalam sudah terpandang dua lokasi yang mengambil anak-anak seawal usia 3 tahun. Hakim sudah berehat panjang selama enam bulan bagi tahun ini. Rasanya sudah masanya menghantar ke kelas Al-quran. Memandangka Hakim sudah bosan bermain dan asyik mengusik adik-adik yang lain. Dalam masa terdekat ini jika ada kelapangan untuk melihat sendiri isi kandungan pembelajaran di Tahfiz tersebut.

Ummu Waraqah dianiaya orang



Foto:http://khairilhafidz.files.wordpress.com
ARKIB : 16/06/2009, Utusan Malaysia

Ummu Waraqah dianiaya orang

UMMU Waraqah adalah puteri Abdullah bin al-Haris. Beliau merupakan golongan wanita awal dari kaum Ansar memeluk agama Islam.

Dia terkenal sebagai seorang yang istiqamah dalam membaca dan memahami isi kandungan al-Quran, menghafalnya dan mengumpulnya pada zaman nabi Muhammad. Malah, dia selalu mengabdikan dirinya untuk beribadah, taat dan mencari keredaan Allah pada setiap masa.

"Ibu harap kamu akan memiliki sifat peribadi mulia Ummu Waraqah apabila dewasa nanti," kata jiran Ummu Waraqah kepada anak perempuannya.

"Mengapa ibu berkata begitu?" soal anaknya yang masih tidak faham maksud ibunya.

"Kamu lihat sahaja kehidupan Ummu Waraqah pada setiap hari. Dia tidak pernah leka dari membaca al-Quran dan beribadah tidak kira waktu siang atau malam.

Malah, dia selalu menjaga solat dan ibadat puasanya. Alangkah mulianya hidup Ummu Waraqah yang menghafal al-Quran dan memahami isi kandungannya," jelas ibunya agar anaknya memahami apa yang sebenar yang ingin disampaikan kepadanya.

"Insya-Allah ibu. Semoga masin kata-kata ibu itu." balas anaknya lalu berjalan menuju ke pintu rumahnya.

"Kamu hendak ke mana?" ibunya hairan melihat kelakuan anaknya.

"Saya mahu belajar mengaji dan menghafal al-Quran daripada Ummu Waraqah," jawab anaknya lalu membuka pintu dan keluar rumah.

Nabi Muhammad menghormati Ummu Waraqah kerana dia menjaga ibadahnya, bertakwa dan mencari keredaan Allah, mengumpul, menghafal dan membaca al-Quran. Nabi Muhammad selalu mengunjungi Ummu Waraqah bertanyakan khabar beritanya.

Dia seorang wanita yang memiliki semangat tinggi terhadap agama Islam dan bercita-cita untuk mati syahid untuk menentang pihak musuh Islam dalam peperangan.

Pada suatu hari, nabi menyampaikan berita gembira kepada Ummu Waraqah bahawa dia merupakan seorang wanita syahid. Semenjak hari itu, nabi memanggilnya dengan gelaran as-syahidah dan akhirnya masyarakat sekeliling beliau mengenalnya dengan gelaran itu.

Pada suatu ketika nabi Muhammad singgah di rumah Ummu Waraqah untuk bertanyakan khabar. Ummu Waraqah menjemput masuk nabi Muhammad masuk ke dalam rumahnya. Nabi Muhammad memuji Ummu Waraqah kerana kecintaan yang mendalam dalam membaca, menghafal dan mengumpul al-Quran sehingga menjadi seorang yang hafaz al-Quran.

"Wahai Ummu Waraqah! Kamu boleh menjadi imam bagi kaum wanita di kawasan tempat tinggal kamu." perintah Nabi Muhammad.

"Ya Rasulullah. Kalau begitu berikan seorang tukang laung azan (muazin) di rumah saya," mohon Ummu Waraqah.

"Baiklah. Nanti saya hantarkan seseorang untuk menjadi muazin di rumah kamu," balas Nabi Muhammad.

Nabi Muhammad menghantar seorang lelaki tua untuk menjadi muazin di rumah Ummu Waraqah. Maka rumah Ummu Waraqah menjadi tempat solat lima waktu bagi kaum wanita di kawasan tempat tinggalnya dan Ummu Waraqah sendiri menjadi imamnya.

Ini adalah penghormatan yang diberikan oleh Nabi Muhammad kepada Ummu Waraqah kerana dia merupakan seorang yang pakar dalam membaca al-Quran.

Ummu Waraqah seorang wanita yang mahu berjuang di medan perang dan mati syahid seperti sahabat nabi yang lain.

Dia bercita-cita untuk berjihad bersama kaum Muslimin dan mendapatkan pahala mujahidin. Apabila mendengar seruan untuk keluar berjihad dalam Perang Badar, Ummu Waraqah bergegas datang dari tempat tinggalnya yang di luar kota Madinah untuk berjumpa Nabi Muhammad.

"Ya Rasulullah, izinkanlah saya pergi bersama kamu. Saya boleh mengubati orang-orang yang terluka dalam peperangan dan merawat orang sakit. Semoga Allah mengurniakan pahala orang mati syahid kepada saya," pohon Ummu Waraqah kepada nabi Muhammad yang bersiap sedia untuk keluar bersama pasukan tentera Islam.

mati syahid

"Sesungguhnya Allah akan mengurniakan pahala orang yang mati syahid pada kamu. Pulanglah dan tinggal di rumah kamu kerana sesungguhnya kamu adalah orang yang akan mati syahid," jawab nabi Muhammad.

Ummu Waraqah tidak menentang kata-kata nabi itu. Dia pulang ke rumahnya dan tinggal di rumahnya mengikut arahan nabi. Ummu Waraqah selalu berdoa kepada Allah agar dia mendapat syahadah di jalan Allah sambil menanti hari-hari yang dikatakan oleh nabi itu. Sesungguhnya nabi tidak berkata-kata mengikut sesuka hatinya melainkan ucapannya adalah wahyu.

Ummu Waraqah hidup sehingga zaman khalifah Umar al-Khatab. Pada masa itu, Ummu Waraqah memiliki dua orang hamba iaitu seorang lelaki dan seorang wanita. Hamba inilah yang menjaga kehidupan Ummu Waraqah pada usia tuanya. Ummu Waraqah berjanji akan membebaskan mereka berdua apabila dia meninggal dunia.

"Bagaimana kita bunuh sahaja perempuan tua itu supaya kita bebas dengan cepat?" cadang hamba lelaki kepada hamba wanita yang sedang memasak di dapur.

"Saya sebenarnya tak sabar lagi ingin mengecap hidup sebagai seorang yang bebas," sambung hamba lelaki itu memancing perhatian hamba wanita yang hanya mendiamkan diri.

"Saya takutlah......" jawab hamba wanita dengan nada ketar.

"Kita bunuh dia pada waktu malam semasa semua orang sedang tidur. Kemudian kita larikan diri jauh dari sini. Awak jangan takut. Kita akan selamat..." hamba lelaki itu mendedahkan rancangan jahatnya.

"Seandainya begitu, saya setuju...."

Pada suatu malam, mereka berdua bangun dan memasuki bilik Ummu Waraqah. Ummu Waraqah sedang tidur nyenyak dan tidak menyedari ada orang memasuki biliknya.

Hamba lelaki itu menangkap tubuh Ummu Waraqah lalu hamba wanita itu menyerkapnya dengan guni. Hamba lelaki itu mengikat guni itu dengan sekuat hatinya sehingga Ummu Waraqah lemas lalu meninggal dunia. Kemudian kedua hamba itu melarikan diri keluar dari kota Madinah.

"Demi Allah, saya tidak mendengar suara bacaan al-Quran dari ibu saudara saya, Ummu Waraqah malam tadi. Saya mesti pergi ke rumahnya untuk menjenguknya kerana takut ada sesuatu yang tidak baik berlaku pada dirinya," kata khalifah Umar al-Khatab pada keesokan pagi.

Apabila khalifah Umar al-Khatab sampai di rumah Ummu Waraqah, tiada siapa yang kelihatan di rumahnya. Kemudian beliau memasuki bilik tidur Ummu Waraqah dan mendapati Ummu Waraqah terbungkus dalam guni di atas katilnya. Beliau memanggil semua orang ke rumah Ummu Waraqah untuk memberitahu tentang berita kematiannya.

Ummu Waraqah berjaya mendapatkan apa yang dicita-citakan dalam hidupnya iaitu mati syahid. Allah membuktikan apa yang Rasulullah sampaikan daripada perkara yang akan berlaku.

Petikan daripada buku Srikandi Perisai Nabi terbitan PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd.

Terapi minda: solat



Foto: meenkadir.wordpress.com

Terapi minda



Foto:http://www.homedesignsense.com



Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS
ARKIB : 30/04/2009, Utusan Malaysia

Membudayakan amalan membaca

MINGGU lalu berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra. Alhamdulillah penulis berpeluang mengunjunginya dan mendapati bahawa sambutan orang ramai terhadap pesta buku tersebut menggalakkan.

Kelihatan ramai ibu bapa membawa bersama anak-anak mereka untuk sama-sama meneroka lautan buku yang masih segar di pasaran, lalu menyuburkan minat membaca seisi keluarga.

Buku sebagai hadiah

Ketika berucap pada majlis pelancaran pesta buku tersebut, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom menyarankan agar amalan pemberian hadiah mahal sempena hari jadi anak diubah kepada pemberian hadiah buku sebagai pendorong untuk mereka menggemari buku sejak kecil.

Sememangnya saranan tersebut merupakan satu idea yang bernas dalam usaha membajai minat membaca di kalangan masyarakat.

Amalan pemberian hadiah buku boleh terus diperluas untuk tujuan hadiah pertandingan, perkahwinan atau bersempena mana-mana peristiwa.

Malahan amalan sedemikian mampu menyemarakkan lagi industri buku di negara kita kerana ia dapat membantu meningkatkan penjualan buku-buku di pasaran. Hal ini seterusnya menggalakkan lagi penghasilan karya-karya bermutu dan kreatif daripada segenap lapisan penulis tempatan.

Pemilihan buku sebagai hadiah mungkin boleh disesuaikan dengan situasi semasa si penerima hadiah. Sebagai contoh, kita boleh menghadiahkan buku berkenaan panduan kebahagiaan rumah tangga kepada pengantin baru untuk kegunaan pasangan mempelai tersebut.

Begitu juga bersempena hari anugerah pelajar cemerlang akhir tahun, buku bertemakan motivasi berpotensi menjana motivasi untuk pelajar menjadi lebih cemerlang pada masa akan datang. Atau tajuk buku yang dipilih mungkin boleh disesuaikan dengan minat atau hobi si penerima umpamanya berkenaan masakan, sukan atau sebagainya.

Persoalan sama ada si penerima bakal menelaah buku yang dihadiahkan itu adalah perkara kedua. Yang penting ialah usaha kita untuk menyebarkan ilmu pengetahuan bermanfaat kepada insan lain.

Jika buku yang dihadiahkan itu bersesuaian dan mampu menarik minat si penerima untuk menatapnya, insya-Allah buku tersebut akan dibacanya dan sedikit sebanyak manfaat pembacaan dapat diperoleh.

Kelazatan membaca buku


Bagi mereka yang minat membaca, pengalaman membaca buku itu sendiri adalah satu nikmat. Apatah lagi apabila hadir di pesta buku, kedai buku atau perpustakaan, perasaan keseronokan dikelilingi oleh buku-buku itu sendiri tidak tergambar oleh kata-kata.

Kadang kala terasa ralat apabila tidak dapat menatap secara menyeluruh pelbagai santapan minda yang terhidang di depan mata. Begitu juga terasa ralatnya apabila melihat buku-buku dimiliki hanya tersusun rapi di rumah tanpa sempat dihabiskan pembacaannya.

Pesta buku pula diharapkan dapat berlangsung sepanjang tahun, dan masa lapang untuk mengunjungi pesta buku, kedai buku, perpustakaan pula harapnya tiada sempadan. Begitulah fantasi seorang peminat buku yang penuh obsesi.

Kemudian apabila buku yang dibelek sepintas lalu mewujudkan rasa ingin tahu lebih lanjut, maka akan wujud rasa cinta kepada buku tersebut serta keinginan untuk memilikinya dan membacanya.

Jika si pembaca terus dengan pembacaannya, ia akan terus hanyut dalam keasyikan membaca lalu seolah-olah berada di alam lain, iaitu seperti mana yang digambarkan dalam buku tersebut.

Pada permulaan pengembaraan tersebut, pelbagai persoalan timbul pada kotak fikiran pembaca mengharapkan untuk dirungkaikan.

Apabila menemui penamatnya, segala persoalan mungkin telah terungkai, atau mungkin tidak. Apa yang jelas si pembaca berhasil menemui kepuasan kerana berjaya menghabiskan pembacaan keseluruhan buku.

Manfaat pembacaan berkualiti

Dalam memastikan kita memperoleh manfaat hasil aktiviti pembacaan, amalan membaca itu perlu mempunyai kualiti. Pembacaan berkualiti merujuk kepada proses pembacaan bahan yang bernilai keilmuan yang disertai pemikiran selektif dan kritis.

Bahan bacaan yang bernilai keilmuan itu membantu memberi makna kehidupan dan nilai-nilai murni untuk dicontohi. Beserta pemikiran kritis, bahan tersebut ditelaah bersama proses perbandingan terhadap kefahaman yang sedia ada untuk membuahkan kesimpulan yang lebih jitu dan hakiki.

Bersikap selektif menuntut pembaca menyaring bahan bacaan yang tersedia sama ada relevan untuk dibaca atau tidak, bermanfaat atau tidak.

Sebagai contoh, adakah sesebuah buku itu berkepentingan untuk mula dibaca, dan jika pembacaan sedang berlaku adakah semua atau sekadar beberapa bab sahaja yang bernilai untuk dibaca?

Salah satu isu yang sering timbul ialah berkenaan nilai pembacaan bahan hiburan. Sememangnya tidak salah memilih bahan bacaan berunsur hiburan, kerana membaca itu merupakan satu kaedah untuk berhibur, untuk menggembirakan diri dan untuk melepaskan tekanan.

Tetapi pada masa yang sama harus difikirkan adakah bahan hiburan tersebut selari dengan nilai dan pegangan hidup kita sebagai Muslim?

Juga sejauh mana bahan hiburan tersebut membantu dalam membentuk minda yang cemerlang? Pembacaan yang selektif dan kritis mengupayakan kita dalam memilih bahan bacaan terbaik untuk dinikmati.

Membaca itu sendiri dapat memenuhi masa lapang yang dimiliki, justeru mampu menjadi anekdot buat menghadapi isu kecairan sahsiah remaja hari ini.

Remaja dengan tabiat membaca bahan berpengisian mampu untuk menilai pengaruh positif dan negatif dalam persekitarannya lalu memilih jalan terbaik untuk kecemerlangan masa depannya.

Membaca itu merupakan satu kaedah pendidikan seumur hidup yang termudah untuk dilaksanakan dengan hanya berlandaskan komitmen diri yang bersifat dinamik. Tidak kira peringkat usia, kita berkeupayaan menikmati makanan minda yang bersesuaian dengan tahap kefahaman kita dengan membaca.

Kini bahan bacaan bukan sekadar wujud secara jasadi tetapi juga dalam bentuk elektronik, umpamanya e-book dan juga sumber maklumat dari Internet.

Keterbukaan maklumat dalam Internet memerlukan daya saring yang teguh dengan dukungan iman dan ilmu agar tidak terjebak dengan pelbagai perangkap fitnah dan maksiat yang wujud.

Al-Quran kitab teragung

Sebagai Muslim, kita seharusnya amat bersyukur kerana dikurniakan mukjizat al-Quran yang sentiasa terpelihara keasliannya sepanjang zaman. Al-Quran dan sunah merupakan sumber utama dalam memandu kita menjalani kehidupan di dunia ini dengan cara yang diredai dan berkat.

Justeru kita perlu sentiasa berusaha untuk mendalami serta menghayati isi kandungan al-Quran untuk diterapkan ke dalam kehidupan seharian. Dengan membaca dan menghayati al-Quran insya-Allah kita mendapat ketenangan, motivasi dan petunjuk untuk kita mencapai kecemerlangan duniawi dan ukhrawi.

Akhir Kata

Buku-buku merupakan jendela pengetahuan yang menanti untuk dibuka. Apabila jendela pengetahuan dibuka, maka akan terpancar sinaran keilmuan yang mampu menerangi kediaman minda kita. Minda yang diterangi ilmu yang bermanfaat bakal menyerlahkan pemikiran yang pintar dan manifestasi amal yang baik lagi murni.

Warna warni kehidupan


Teks: Masayu Ahmad
Foto:http://www.chefscatalog.com

Tiga perkara yang sentiasa menjiwai kehidupan saya bermula daripada huruf M.Menulis, memasak dan melancong.

Memasak selain dijadikan satu terapi untuk mengeratkan hubungan kasih sayang, saya akan berpuas hati apabila melihat hasil makanan habis licin apabila dihidangka.
Bukan sahaja dari segi hidangan, persembahan masakan juga memainkan peranan untuk menggoda makanan agar dilihat lazat.

Set pinggang mangkuk juga adalah salah satu terapi untuk saya seronok berada di dapur.

Kos ambil amah atasi projek mega



Oleh:Oleh AMMAR JAZLAN MD. LELA dan MAZLINA ABDUL MAJID
berita@kosmo.com.my
Foto:http://bestmaidcleaningservice.com
Petikan: Kosmo

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM8 bilion setahun untuk perkhidmatan pembantu rumah dengan kos keseluruhannya mengatasi peruntukan sesetengah projek mega.

Jumlah itu dikira berdasarkan gaji minimum dan kos lain setahun sebanyak RM18,000. Jumlah pembantu rumah di negara ini dianggarkan 450,000 orang.

Semakan Kosmo! Ahad dengan dua majikan iaitu Normarhaini Razak dan Tan Mei Ling (kedua-duanya bukan nama sebenar) mendapati mereka membelanjakan antara RM17,140 dan RM18,110 setahun bagi kos pembantu rumah.

Bayaran itu termasuk bayaran proses kemasukan, levi, gaji bulanan, bonus, tambang balik kampung, insurans dan bayaran perubatan Agensi Pemantauan Pemeriksaan Kesihatan Pekerja Asing (Fomema), kos makanan dan penginapan sebelum dicampur dengan bayaran tambahan lain.

Cadangan pemerintah Indonesia kelmarin untuk menghentikan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia sepatutnya membuka mata rakyat bahawa perlu ada alternatif mengurangkan kebergantungan mereka kepada tenaga kerja asing itu.

Pandangan saya: Wang untuk membiayai pembantu rumah sebagai modal untuk mula WAHM

Tekanan ibu bekerja



Susunan DIYANA ROSE KAMALLUDEEN
Petikan: Utusan Malaysia
Foto:http://www.storesonline.com

CUTI bersalin memberi peluang kepada golongan ibu untuk merasai pengalaman tinggal di rumah dan melihat anak-anak membesar.

Meskipun untuk tempoh masa yang agak singkat tetapi ia memberi sedikit ruang kepada kaum wanita untuk menikmati keselesaan dan kemudahan itu.

Namun lama-kelamaan tempoh 'percutian' itu tamat dan anda terpaksa kembali ke tempat kerja walaupun perasaan terlalu berat untuk meninggalkan bayi yang baru dilahirkan.

Ia membuatkan anda berfikir, alangkah baiknya jika lebih ramai ibu dan bapa bekerja di rumah serta meluangkan masa berkualiti setiap masa untuk anak-anak mereka.

Bagaimanapun realitinya, salah seorang ibu bapa perlu mempunyai pekerjaan tetap untuk menyara keluarga dan menjamin masa depan lebih cerah untuk anak-anak.

Kembali bekerja

Berbalik kepada ibu yang terpaksa bersusah payah kembali ke pejabat setelah berbulan-bulan berehat dan melayani kerenah suami dan anak-anak di rumah.

Kembali bekerja dan memulakan tugas yang ditinggalkan lama dahulu selepas puas bercuti panjang cukup menimbulkan tekanan buat kaum ibu.

Ini kerana, fikiran akan sentiasa terfikir bayi di rumah, tidak dapat melihat dan memegangnya sepanjang masa, bimbang mengenai penjagaan anak serta banyak lagi.

Berikut adalah contoh beberapa isu yang memberi tekanan kepada kaum ibu apabila kembali bekerja dari cuti bersalin;

Isu I

Ibu akan rasa bersalah apabila meninggalkan anak yang masih kecil bersama orang lain. Ini kerana, ramai ibu atau bapa tunggal juga pasangan suami isteri sibuk menggunakan khidmat penjaga.

Beberapa cara untuk mengurangkan tekanan akibat perkara ini adalah dengan meminta bantuan ahli keluarga atau kenalan rapat untuk menjaga anak apabila anda keluar bekerja.

Ia membolehkan anda membiasakan diri tanpa anak ketika waktu bekerja dan membantu anak agar berani serta selesa di bawah jagaan orang lain.

Isu II

Kurangnya penghasilan susu badan juga boleh menyebabkan seorang wanita berasa tidak lengkap sebagai seorang ibu.

Kembali ke tempat kerja pastinya menyumbang kepada kurangnya bekalan susu ibu kerana anda tidak lagi boleh menyusukan bayi pada bila-bila masa seperti di rumah. Ia juga boleh mengakibatkan lebihan penghasilan susu sehingga anda mengalami 'kebocoran' disebabkan perubahan jadual menyusu.

Apa yang penting pada ketika ini ibu perlu bertenang kerana tekanan boleh menghalang pengeluaran susu secara normal. Antara cadangan adalah membeli pam dwi elektrik yang berkualiti bagi membantu menguruskan bekalan susu badan untuk bayi.

Isu III

Kebanyakan wanita bekerja mengalami masalah yang sama apabila mendapati mereka hanya mempunyai kira-kira empat hingga lima jam untuk menguruskan semua kerja-kerja rumah seperti membasuh pakaian, memasak dan mengemas.

Antara kaedah untuk mengatasi situasi ini adalah mengagihkan tugas kepada semua ahli keluarga termasuk suami dan anak-anak. Sebahagian wanita mewujudkan jadual malam atau rutin dengan anak agar mereka tahu masa yang sesuai untuk mengendalikan kerja rumah.

Juga, hidangan yang boleh disediakan dalam 30 minit dapat mengurangkan masa dan tenaga terbuang. Dengan merancang hidangan sepanjang minggu, anda tahu barangan yang diperlukan apabila membeli-belah.

Satu lagi cara adalah memasak hidangan pelbagai dan banyak (mencukupi untuk seminggu). Ini membolehkan makanan tersebut dipanaskan apabila pulang dari kerja untuk dinikmati bersama keluarga.

Isu IV

Sesetengah wanita kadang kala terlupa menjaga diri sendiri dalam kesibukan mengimbangkan kerjaya dan rumah tangga.

Ada jalan untuk memastikan anda meluangkan masa untuk diri sendiri tanpa mengabaikan keperluan ahli keluarga lain.

Selain mengagihkan tugas kepada suami dan anak-anak, wanita juga boleh menggunakan kesempatan setiap waktu bersendirian sama ada ketika memandu atau menaiki pengangkutan awam.

Juga, cuba 'lari' dari orang di sekeliling anda dengan membaca buku atau mendengar muzik sambil mandi air pancuran atau tab sebagai spa persendirian di rumah untuk mendapatkan rehat diperlukan. Ada golongan ibu yang bangkit lebih awal untuk bersenam, melayari internet, menulis blog atau sengaja menikmati secawan kopi panas tanpa gangguan.

Isu V

Mempunyai bayi yang baru lahir lazimnya membuatkan ibu terbawa-bawa sehingga melupakan tanggung jawab terhadap pasangan.

Justeru ibu bapa perlu sentiasa meluangkan masa kualiti bersama untuk mengeratkan lagi kasih sayang suami isteri serta tiada pasangan yang merasa diabaikan dalam kesibukan itu.

Terdapat sesetengah ibu bapa menyuruh anak-anak tidur seawal 8.30 malam agar mereka mendapat rehat yang cukup dan juga membolehkan ibu dan bapa meluangkan masa romantik bersama-sama.

Anda dan pasangan boleh menonton filem atau sekadar berbual-bual kosong serta menghiburkan satu sama lain dengan usikan dan gelak tawa. Cuba aturkan 'malam temu janji' bersama suami sekurangkurangnya dua kali sebulan untuk mengekalkan kehangatan hubungan intim.

Satu lagi cara ialah dengan memberi kejutan istimewa kepada pasangan dengan mencuri ciuman ketika si dia sedang memasak atau membasuh baju juga mencubit punggungnya apabila berselisih.

Selain itu, tinggalkan nota cinta menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) atau emel mengatakan anda cinta dan rindu pada pasangan itu.

ARKIB : 06/02/2009

Saturday, June 20, 2009

Nasi lemak anak dara



Teks: Masayu Ahmad
Foto:nasilemak2009.wordpress.com

Apa menu anda pagi ini? Sudah lama tidak memasak nasi lemak, jadi saya memutuskan hidangan nasi lemak untuk pagi Ahad. Daun pandan tidak ada jadinya untuk nasi hanya gunakan halia dan santan sahaja. Aroma halia sudah cukup untuk memberi haruman herba pada nasi.

Saya pernah berjualan nasi lemak pada zaman muda-muda. Ianya tercetus apabila kami berpindah ke bangunan baru di Shah Alam. Masa itu saya masih bekerja di Karangkraf. Jadinya kafe belum buka, kami berjualan membantu teman-teman yang sukar mendapatkan sarapan diwaktu pagu. Beberapa hari sebelum jualan bermula saya mengambil pesanan dahulu.

Saya sepakat dengan Lina (Wartawan majalah RASA) teman serumah. Makanya pada malam hari kami membuat sambal dan pada pagi hari seawal jam 4 kami sudah bangun untuk memasak nasi,merebus telur, memanaskan sambal.

Seawal jam 7 pagi kami sudah sampai di pejabat. Hanya 10 minit sahaja habis semua nasi lemak. Kami berdua sangat teruja. Begitulah setiap hari, jam 7 pagi hingga 7.15 kami berjualan sebelum memulakan tugasan. Jika ada permintaan saya buatkan juga nasi berlauk.

Riuh rendah suasana waktu pagi, kami susun-susun nasi lemak yang siap dibungkus. Sekejap sahaja pelanggan tetap dan pelanggan baru datang berkerumun. Ada pula belum meletakkan beg, dari jauh sudah memesan.

"Ayu, aku nak nasi lemak spesial yang aku pesan semalam."

"Ya, ya ada."

Betapa gembiranya, nasi lemak kami berdua mendapat sambutan. Kami hanya bermodalkan RM100 sahaja. Setiap bulan kami berjaya mengumpul RM200 setiap orang untung bersih.

Bisnes suka-suka terpaksa saya hentikan selepas Lina menamatkan zaman bujang. Tidak larat saya untuk meneruskan seorang diri. Saya buat juga jika rajin. Itulah dia kenangan zaman anak dara.

Tarikh akhir





Saya mahu menaip selaju yang boleh. Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi saya perlu menyiapkan tugasan ini. Moga-moga dapat diselesaikan mengikut tarikh yang ditetapkan.

Stesen kerja idaman hati



Teks: Masayu Ahmad
Foto:www.moltons.com

Saya menerjah cik google mencari beberapa jenis dekorasi. Saja untuk memberi inspirasi kepada diri sendiri.

Meliahat gambar-gambar begini membuatkan diri kembali segar dan bertenaga. Rasa tidak sabar pula ingin mendapatkan dekorasi bilik kerja milik sendiri sebegini.

Friday, June 19, 2009

Ketenangan hujung minggu



Teks: Masayu Ahmad
Foto:http://www.casadoforno.net

Alhamdullilah, anak-anak sudah kembali sihat. Saya boleh menguruskan tugasan yang masih belum siap dengan senang hati. Malam tadi tidur awal, memandangkan malam yang sudah berjaga menjaga anak yang kurang sihat.

Bangun pagi, suami sudahpun membeli sarapan sebelum meninggalkan kami. Sarapan nasi kerabu lagi hari ini ditambah dengan cekodok pisang.

Saya tidak kemana hujung minggu ini, menghabiskan masa di rumah sahaja di rumah. Tidak tahu pulalah jika ada rancangan saat akhir.

Angin sejuk persekitaran pagi sungguh mendamaikan. Hujan turun dengan rintik-rintik halus. Tidak lebat. Awan mendung sejak pagi amat memberikan udara segar. Rasanya masih jerebu di luar sana.

Malam tadi ada sesi aerobik, saya terlepas pula. Esok masih ada. Tiga hari lepas saya terlupa udara berjerebu. Kononnya ingin berlari-lari menuruni bukit dan sedut udara segar, kesannya saya pula selsema dan sakit tekak. Nasib baik cepat sembuh.

Hari ini rasa cukup bertenaga untuk meneruskan rutin seperti biasa. Moga-moga tugasan untuk hari ini dapat disiapkan mengikut jadual. Insya-Allah.

Thursday, June 18, 2009

Mahalnya harga kesihatan



Teks: Masayu Ahmad
Foto:http://www.theclinicard.com

Minggu ini ada tiga tugasan penting yang perlu saya selesaikan sebelum menjengah hari Isnin berikutnya. Memandangkan suami akan berkursus di hujung minggu, maka saya seperti biasa akan bersama anak-anak tanpa ayah di sisi.

Insya-Allah pada minggu hadapan akan tiba pula giliran saya untuk hadir di majlis ilmu yang akan berlangsung selama dua hari satu malam. Lokasinya hanyalah si salah sebuah hotel sekitar Ampang sahaja. Saya akan berkongsi maklumat dan informasi dari masa ke semasa di dalam blog ini dan di dalam penulisan yang lain.

Peluang ini dapatlah saya melepaskan lelah seketika. Namun naluri ibu akan tetap ada di mana-mana. Saya mungkin akan kerinduan dengan keletah kanak-kanak riang tiga beradik ini.

Arif sudah pulih daripada demam dan kini beralih pula kepada Aiman. Selama dua hari Arif muntah. Apa sahaja yang ditelan dan diminum lima minit kemudian akan keluar semula. Kasihan sungguh melihat Arif.

Hari ini saya menyediakan menu nasi kerabu untuk sarapan pagi dan karipap. Arif sudah sihat sepenuhnya, sudah ralit bersama Hakim menonton rancangan kegemaran.

Aiman pula demam tak demam. Sekejap panas sekejap tidak. Merengek hanya mahu berdukung sahaja. Sekarang ini sedang lena tidur. Mudah-mudahan demam Aiman akan kebah menjelang petang.

Nasib baik saya dan suami masih keadaan segar bugar. Jadinya rutin berjalan seperti biasa, cumanya saya agak kalut sedikit semalam memandangkan dua beradik yang kurang sihat ini mahu berada dipangkuan sepanjang masa. Jadinya masa mereka tidur sahajalah saya perlu menyegerakan urusan lain. Apabila semua sudah celik mata, sesi rengekan akan bermula lagi.

Selepas Arif sihat saya memberikan madu untuk memulihkan tenaga. Bagi kanak-kanak satu sudu kecil madu sudah cukup untuk keperluannya. Semalam juga saya memberikan makanan untuk memberikan tenaga dan mengembalikan kehilangan zat dalam badannya. Nasi goreng yang dimasukkan, ikan bilis untuk sumber zat besi, telur untuk protein dan nasi sebagi sumber tenaga dan karbohidrat.

Hari ini, Arif bangun dengan keadaan teruja untuk bermain. Selera makan yang sudah mula pulih sepenuhnya. Alhamdulillah. Saya lebih kerap memeluk Arif dan membelai-belai badannya dengan lembut. Supaya dapat meransang dirinya agar segera pulih. Pelukan kasih sayang dan masakan adalah salah satu elemen penting dalam tumbesaran kanak-kanak.

Kerja di rumah, pilihan karier wanita moden



Teks: Masayu Ahmad
Foto:http://www.cel.sfsu.edu

Masa yang boleh diurus

Mudah untuk anda menguruskan keluarga terutama ketika anak jatuh sakit. Tidak perlu lagi berdepan dengan bos yang kurang gemar apabila ada kakitangan mengambil cuti kecemasan. Anda juga lebih selesa mempunyai ruang waktu untuk mengambil berat perihal kerja sekolah anak-anak.

Rutin yang sudah berubah

Jika dulu anda perlu cepat menyiapkan diri dan ahli keluarga yang lain. Kini tidak perlu tergesa-gesa memanaskan enjin kereta. Berebut dengan masa agar anda tidak kelewatan untuk sampai di tempat kerja.

Pilihan bersama anak-anak

Waktu-waktu penting semasa pembesaran anak-anak berlaku di depan mata. Ketika anak sedih, sakit, gembira, ketawa anda sentiasa ada bersama. Menyediakan sarapan pagi, tengahari dan malam. Menyuapkan sendiri ke mulut anak-anak. Hati terasa puas apabila melihat mereka kekenyangan. Hati cukup senang melihat aksi mereka bermain dan meneroka kehidupan seharian dengan penyeliaan anda sendiri.

Masa yang sibuk akan bermula

Saya perlu bersedia apabila Hakim mula menjejaki alam persekolahan. Maksudnya tahun berikutnya akan menyusul pula Arif dan selang tahun kemudian Aiman. Jika Hakim berada di tahun 3, Arif tahun 2 dan Aiman di tadika. Dimanakah saya pada masa tersebut?

Jika Hakim mula memasuki darjah 6. Tahun selepas itu menyusul Arif dan kemudiannya Aiman. Mereka akan mula sibuk ke kelas agama, tuisyen, kerja-kerja sekolah. Kepada siapakah yang boleh saya harapkan untuk membantu kerja sekolah mereka jika bukan saya sendiri. Bagaiman pula dengan anda, sudahkah anda bersedia sepertimana apa yang sudah saya fikirkan?

Mungkin rasanya masa masih jauh. Tetapi setahun melangkah ke setahun begitu cepat. Minggu ini sudahpun ingin menuju ke penghujungnya, padahal baru sahaja menikmati hujung minggu. Semalam baru sahaja merasai kontraksi kesakitan melahirkan Hakim, hari ini anak bujang saya ini sudah mendekati usia 4 tahun, cukup pantas masa berlalu.

Bermula pada bila-bila masa


Jangan kecewa jika anda masih belum memenuhi impian bekerja di rumah atau dari rumah. Anda sudah sematkan dalam hati suatu masa kelak anda pasti akan bersama anak-anak, memenuhi rutin harian mereka. Masih ada beberapa perkara penting yang anda pertimbangkan sebelum bekerja di rumah. Mulakan membuat senarai perkara yang perlu anda selesai sebelum menghantar notis meletak jawatan. Senaraikan dahulu kepakaran anda yang boleh digunakan untuk memulakan karier sendiri di rumah. Boleh mulakan sedikit demi sedikit usaha tersebut sehingga anda benar-benar sudah nekad mahu berhenti dengan perasaan tidak berbelah bahagi.

Apa kepakaran anda?

Tumpukan kepada minat yang membuatkan anda leka melakukannya. Jika minat menjahit lakukan bersungguh-sungguh sehingga sudah boleh menerima tempahan membuat baju kurung. Sepasang baju kurung sekarang sudah mencecah RM50 sepasang. Satu hari anda sudah dapat menyiapkan satu pasang. Maknanya 30 hari sudah 30 pasang. RM1500 sudah terkumpul dalam sebulan. Itu jika anda buat secara sampingan dan mensasarkan hanya 1 pasang sahaja sehari.

Dengan wang RM1500 anda sudah boleh membeli peralatan menjahit dan juga mesin jahitan. Apa yang penting anda perlu fokus hanya menjahit baju kurung sahaja hingga anda mahir dan sudah tidak ada cacat cela lagi. Sediakan bilik khas, agar tidak diganggu anak-anak. Laci plastik sebagai tempat menyimpan peralatan menjahit. Buku pelanggan, kedai alatan menjahit sudah ada dalam senarai kemas kini. Gudang tempat membeli kain secara borong dan murah. Hanya anda sahaja yang tahu apa minat dan kemahiran yang ingin digilap sehingga memancar-mancar. Lakukan sehingga puas hati dan sebaik mungkin.

Wednesday, June 17, 2009

Stesen kerja inspirasi untuk WAHM



Teks: Masayu Ahmad
Foto:http://images.crateandbarrel.com

Saya mengidamkan sebuah bilik kerja yang penuh berinspirasi dengan dekorasi menarik sebagai stesen kerja saya di rumah.

Gabungan putih merah sebagai warna dinding dan kabinet buku. Hitam warna perabut, mungkin juga putih. Keluasannya perlu selesa untuk saya bekerja, membuat penyelidikan dan bersantai mencari inspirasi.

Jika minda kepenatan, pandangan akan dilontarkan ke luar dinding kaca yang ditabir taman hijau yang redup.

Bunyi air mengalir dan bunyian irama alam tentunya memberikan mood segar kepada otak untuk aktif berkerja. Taman redup menghijau dan pancuran air sebagai satu elemen alam semulajadi untuk memulihkan minda.

Di situ juga terdapat sebuah meja dan kerusi untuk saya melepaskan lelah menghirup teh panas agar tubuh kembali segar dan bertenaga.

Matlamat ini mungkin juga cepat atau lambat, sasarannya adalah berdasarkan produktiviti kerja saya untuk tahun ini. Ini juga sebagai ganjaran kepada diri sendiri atau motivasi untuk meningkatkan usaha untuk mencapai matlamat yang disasarkan. Insya-Allah.

Friday, June 12, 2009

Tap, tap, tap air hujan jatuh ke bumbung



Teks: Masayu Ahmad
Foto:http://myryani.wordpress.com

Guruh berdentang dentum, menandakan hujan akan turun sekejap lagi. Hakim dan Aiman memeluk erat, ketakutan dan mahu dilindungi. Air hujan mula jatuh ke atas bumbung, mula-mula setitis, kemudian semakin laju. Turun mencurah-curah.

Detik ini juga saya mula mengimbau kembali zaman lampau. Usia kanak-kanak yang dibesarkan dalam suasana kampung yang penuh keindahan.

Kalau di pantai pada waktu ini pastinya ombak besar dan menghempas kuat ke pantai. Biasanya tebing tepi pantai berpasir akan meninggi. Semakin dihempas ombak, pasir pantai akan mula menghakis dan membina tebing yang tinggi.

Saya dan kakak bersama kawan-kawan pernah juga terlepas ke pantai pada waktu begini. Jika tahu dek Ayah, memang nahaslah kami. Kanak-kanak seperti kami tidak tahu erti bahaya, hanya tahu seronok saja.

Jika bawa payung, kami akan kembangkan dan menghala ke laut. Melawan arus udara pantai yang keras. Kami berbondong-bondong melawan angin pantai dengan bertabirkan payung. Memang mengujakan.

Jika hujan sudah surut, tepi pantai sedikit kotor kerana ombak membawa pelbagai sampah. Macam-macam ada.

Mainan, pinggang mangkuk dan serpihan sampan atau boat yang karam juga akan mendarat di kawasan pantai. Biasanya kami akan mengutip pelbagai mainan yang masih elok. Biji congkak biasanya sangat banyak. Bawa balik ke rumah dan mula mengorek lubang pada tanah pasir untuk bermain congkak.

Aktiviti biasa musim hujan adalah menjala ikan dan berakit. Saya masih kecil, jadinya tidak boleh menyertai orang dewasa.

Biasanya saya ke rumah Hasni untuk bermain pondok-pondok yang dibina atas laluan air. Air yang melimpah pada jalan raya membentuk alur sungai kecil yang panjang dan akhirnya ke sungai.

Ianya lebih selamat untuk kanak-kanak seperti kami. Kami menyusun rapat-rapat papan untuk dijadikan rumah rakit. Sangat seronok. Apabila penat dan lapar saya pulang ke rumah.

Menu biasa jika musim hujan emak akan merebus ubi kayu yang akan dicicah kelapa parut yang dicampur sedikit garam. Pergh! Sangat enak sekali.

Saya juga akan bersama kakak ke kawasan baruh di depan rumah, mengutip pucuk niding untuk dibuat sayur lemak.

Nasi panas mengeluarkan kepulan asap kecil, sepiring budu diperah asam limau dan cili padi. Sayur lemak dicampur dengan ubi keledek. Ada juga ikan kering pelata digoreng. Kami adik beradik keliling dengan hidangan emak. Sangat sedap dan menyelerakan.

Waktu petang pula jika lapar lagi dengan berpayung akan mencari gerai kecil tepi jalan raya yang menjual putu ubi kayu. Saiznya lebih besar daripada putung piring, boleh dimakan lima orang. Ditengahnya ada gula nise (gula Melaka). Ditambah pula dengan teh o panas memang terangkat

Thursday, June 11, 2009

Meransang anak minat membaca



Foto:http://cruciality.wordpress.com/category/reading
Kredit:http://intangemilang.blogspot.com

Saya terjah ke blog Kak Wardia.k.a Mak Ngah yang mempunyai tadika
sendiri.


Berkesempatan mengenali beliau dalam satu seminar di Quality Hotel baru-baru ini. Kami hanya sempat berkenalan dan bersembang-sembang pada sesi makan sahaja. Saya masih kempunan untuk bertanya banyak perkara berkenaan pendidikan awal kanak-kanak. Apa pun mari kita kongsi artikel yang saya petik dari blog beliau.

Ransang minat anak


Ibu bapa profesional sentiasa merangsang minat membaca. Sewaktu tiga tahun pertama usia anak, otak berkembang dengan pesat dan mampu menyerap dengan mudah apa sahaja rangsangan yang diterima.

Peluang ini harus digunakan dengan bijak oleh ibu bapa untuk merangsang otak anak dan mengajar mereka sebanyak mungkin kemahiran terutamanya kemahiran membaca.

Kebolehan membaca merupakan rangsangan yang amat bererti untuk meningkatkan tahap kecerdasan kanak-kanak.

Jangan biar anak bosan dan terbeban

Namun dalam ghairah merangsang intelektual anak-anak, ibu bapa harus peka kepada keinginan dan minat anak pada waktu itu. Paksaan dan rangsangan yang terlalu banyak mungkin akan membosankan dan membebankan anak.

Perkara pokok yang perlu dititikberatkan adalah menanamkan minat. Menanam minat membaca boleh dilakukan dengan pelbagai cara dan seharusnya dibuat dengan penuh kesabaran tanpa paksaan.

Antara cara menanam minat membaca ialah:

Sewaktu hamil, eloklah ibu membaca al-Qur’an atau berzikir dan diperdengarkan kepada janin.

Melapangkan sedikit masa untuk mengajar anak. Masa tersebut perlu diisi dengan aktiviti yang berkualiti. Contoh aktiviti: Tuliskan satu perkataan ringkas dengan besar dan berwarna. Bacakan dan eja dengan jelas dan penuh kasih sayang. Atau gunakan kad bergambar (flash card) dan diikuti dengan tulisan. Tunjukkan kepada anak gambar, kemudian eja perkataan atau maklumat berkenaan gambar tersebut.

Semasa di dalam kenderaan

Bacakan atau baca bersama-sama anak-anak nama-nama jalan, nombor plet kereta di hadapan, papan tanda iklan dan sebagainya.

Tunjukkan contoh teladan iaitu ibu bapa seharusnya menunjukkan minat membaca dengan cara selalu membaca di hadapan anak.
Semasa ibu atau ayah membaca, letakkan anak yang masih bayi di pangkuan dan bacalah dengan suara yang agak kuat.

Sentiasa membawa anak ke medan ilmu seperti ke pesta buku, pameran buku, ke kedai buku, ke perpustakaan dan seumpamanya.
Jika bercadang memberikan hadiah, belilah hadiah buku seperti buku cerita, ensaiklopedia, kamus, buku bergambar dan sebagainya.

Membiarkan anak bermain dan ‘bergaul’ dengan buku. Jangan membeli buku tetapi disimpan di dalam almari sahaja.

Sedia bahan bacaan

Menyediakan peruntukan kewangan atau tabung untuk membeli dan menyediakan bahan-bahan bacaan, termasuk langganan majalah kanak-kanak dan menyediakan perpustakaan di rumah.

Jangan memarahi anak kecil yang bermain dengan buku-buku anda. Sebaliknya buku-buku perlu diletakkan pada tempat yang mudah diambil oleh anak.


Membacakan buku cerita dan kisah-kisah nasihat kepada anak.

Contohnya sewaktu minum petang atau sebelum tidur. Aktiviti ini boleh dimulakan seawalnya apabila anak telah berusia 6 bulan.

Menyediakan tempat khas supaya anak boleh mengambil dan menyimpan sendiri buku. Boleh juga disediakan beg atau bakul khas supaya anak boleh membawa buku ke mana sahaja terutamanya semasa perjalanan jauh.

Membiasakan membeli buku jika anak meragam sebagai menggantikan mainan untuk mententeramkannya.

Sentiasa memberi pujian dan penghargaan kepada usaha-usaha dan pencapaian anak untuk membaca.

[Petikan daripada buku “Mendidik Anak Pintar Cerdas” tulisan Dr Hasan Hj Mohd Ali, terbitan Utusan Publications & Distributors] - Posted in Baca Anakku Baca by Najibah (bukuria-malaysia.com)

Bila isteri tidak cantik



Foto:http://johnteshblog.typepad.com

Saya tertarik dengan artikel ini, dan ingin berkongsi dengan pembaca di blog ini. Sama-samalah kita mengambil iktibar, menjaga penampilan diri. Doakan terus agar cabaran dalam rumah tangga sebagai asam garam kehidupan yang akan lenyap dengan doa dan muafakat suami isteri

Kredit:http://kuntumrina.blogspot.com

Untuk renungan dan perhatian isteri2 dan bakal isteri… Buat Iktibar kita semua dan para suami/lelaki, renung2 kanlah...Saya ingin berkongsi pengalaman ini dengan semua kerana saya ingin puan2 tahu apa sebenarnya tersirat di dalam benak sesetengah suami dan bagaimana dia melihat kita dari pandangan mata mereka. Walaupun mereka tidak pernah komplen tentang perawakan kita tetapi di sudut hati mereka mereka menilai secara diam2 dan membandingkan kita dengan perempuan lain. Barangkali suami puan2 tidak begitu, tapi ini boleh jadi panduan.

Saya seorang isteri baru berusia 29 tahun dan mempunyai 3 orang anak. Perawakan saya biasa sahaja, tidaklah hodoh, sedikit gempal setelah melahirkan 3 orang anak. Saya berkerja sebagai seorang eksekutif dan suami saya berkerja biasa saja.

Kebanyakan belanja rumah seperti ansuran rumah dan kereta, saya yang menbayarnya demi suami yang mempunyai gaji tidak seberapa. Suami saya bolehlah di katakan menarik jika dibandingkan saya, tinggi, putih dan menarik minat ramai perempuan semasa bujangnya.

Saya mengabdi diri seluruhnya untuk rumah tangga, pagi sebelum pergi kerja saya akan masak untuk anak2, sarapan unttk suami, saya memandu sendiri ke pejabat dan setelah balik ke rumah pada petangnya sayalah yang menyediakan segala keperluan rumahtangga.

Sepanjang perkahwinan suami tidak pernah komplen pasal perwatakan saya. Saya memakai tudung, dia nampak biasa saja, tetapi dia tidaklah sentiasa tertarik kepada saya semasa di rumah seperti cuba mencium saya, memeluk atau memegang saya.

Kami akan bersama bila waktu malam apabila dia perlukan saya. Baru2 ini saya mendapat tahu dia mempunyai kekasih di tempat kerja sendiri. Gadis tersebut bukanlah muda dari saya tetapi sudah berumur 30 tahun. Saya mendapat tahu juga yang suami saya sering ke rumah gadis tersebut semasa waktu kerja.

Hubungan yang terjalin nampaknya telah sampai ke tahap hubungan seks. Bila saya bersemuka dan bertanya kepadanya, pada mulanya dia menafikan, tetapi setelah dikemukakan bukti dan sebagainya, baru dia mengaku. Saya ingin tahu kenapa dia menjalin hubungan. Apa kurangnya saya?

Dia akhir berterus terang mengatakan memang tiada apa yang kurang dengan saya, saya menjaga makan minum, membantu kewangan, menguruskan rumahtangga dengan baik tetapi saya hanyalah setakat itu sahaja. Tiada rangsangan lagi bila melihat saya.

Baginya, dia kadangkala ingin bersama wanita yang di lihat cantik, menarik minat lelaki lain dan bila berjalan bersama dapat menimbulkan cemburu pada lelaki lain.Dia dengan berani memberitahu saya bahawa teman wanitanya mempunyai kuku yang cantik, perut yang nipis, bau yang sedap, fashion yang menarik.

Sedangkan saya menurutnya walaupun tidak hodoh tetapi hanyalah wanita yang sangat biasa saja. Kuku saya pendek dan kadang2 rosak kerana memasak, rambut pulak kadang2 berbau bila balik kerja kerana bertudung sepanjang hari. Perut saya pula tebal, tidak menarik di rumah bila hanya bert-shirt dan berkain batik.

Hari2 melihat saya dia merasa tiada apa yang dibanggakan tentang saya, bercakap di rumah pula hanyalah tertumpu pasal rumah, anak2.Tiada topik menarik separti teman wanitanya yang boleh bercakap pasal politik, carreer, mempunyai taste yang tinggi dan dapat membantu dia mengenali dunia yangbaru mengenai fashion dan korporat.

Jadi dia merasakan seperti lelaki yang berjaya bila bersama wanita tersebut. Memang saya akur tentang perawakan saya kerana pertama memang saya di lahirkan begini, kedua saya terlalu sibuk untuk membelek diri sendiri, ketiga saya tidak mempunyai cukup wang untuk berbelanja sepenuhnya untuk kecantikan.

Begitulah hati budi lelaki sebenarnya. Walau bagaimanapun kita menjaga dia tetapi dia masih mementingkan fizikal. Jauh di sudut hati ingin bersama wanita menarik yang boleh menbuat dia berasa bangga. Saya telah pun berpisah dengan suami sekarang tetapi saya tidaklah duduk meratap tetapi menghadiri slimming session dan membelanjakan duit untuk kecantikan bukan untuk lelaki tetapi untuk kepuasan sendiri.

Biarlah saya pendek dan sedikit tembam tetapi saya berazam untuk menjaga kebersihan dan kelihatan menarik. Penting di sini kita memahami erti perkahwinan. Perkahwinan bukan tempat kita untuk berseronok-seronok dan jangan bertindak zalim dengan perbuatan kita.

Perkahwinan adalah sebahagian cara untuk kita mencari keredhaan Allah. Dan perkahwinan itu sebahagian dari Iman. Dan perkahwinan juga tempat kita di uji. Maka, bersabarlah dan bertindak dengan bijak dengan penuh hikmah.

Bagi lelaki yang berfikir untuk bertindak seperti ini, fikirkanlah,betapa besarnya pengorbanan seorang isteri demi sebuah keluarga yang sempurna. Jadikanlah kebaikan seseorang isteri itu sebagai hiasan untuk anda, dan jadikanlah keburukan seseorang isteri itu sebagai tanggungjawab untuk anda memperbaikinya. …InsyaAllah. ……

Cara saya mendidik anak-anak


Keterangan gambar: Model Hakim dan Arif.
Teks & foto: Masayu Ahmad

Saya menggunakan pelbagai kaedah dengan rujukan buku, internet dan pakar untuk memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak riang di rumah ini. Kebiasaannya saya gunakan pendekatan yang pelbagai agar mereka dapat mencerap seberapa banyak yang mungkin. Setiap ibu bapa mempunyai cara tersendiri.

Gabungkan teknik dan pelbagaikan pembelajaran dalam suasana yang santai, relaks dan digemari anak-anak.

Saya menampal pelbagai huruf dan konsonan yang besar-besar di dinding bilik kanak-kanak riang ini. Biasanya saya tidak mulakan mengajar mereka agar membaca A,B,C dan seterusnya mengikut kelazimnya. Tetapi menyebut huruf dan nombor mengikut mereka suka. Hanya dengan nyanyian sahaja mengikut turutan huruf. Hasilnya Hakim dan Arif boleh mengenal apa sahaj huruf walaupun bukan mengikut turutan.

Begitu juga barang mainan saya tidak membelikan barangan yang mahal, tetapi laburkan dalam bentuk mainan berupa pendidikan. Contoh membeli bongkah yang besar yang mempunyai gambar, nombor dan huruf.

Wednesday, June 10, 2009

Arif ketika usia 3 bulan



Teks & foto:

Arif selepas habis pantang, jalan-jalan ke Johor Bharu jumpa Mak Long.

Hakim usia setahun



Teks & foto: Masayu Ahmad

Terjumpa satu folder gambar Hakim dan Arif sewaktu kecil. Hakim ketika usia setahun dan Arif 5 bulan rasanya.

Tangani tekanan dengan bijak



Teks: Masayu Ahmad (www.masayu-ahmad.com)
Foto:http://www.kf6nvr.net

Tidak ada hari yang membuatkan anda santai tanpa masalah. Setiap masalah ada punca dan sebab musabab untuk berlaku. Anda tidak boleh lari daripadanya tetapi anda perlu menanganinya secara bijak. Semakin tinggi kedudukan pangkat anda di pejabat semakin banyak tekanan yang perlu dihadapi. Semakin tinggi kesabaran anda pelbagai cabaran pula yang menghimpit. Tip berikut boleh membantu.

1.Tekanan kewangan

Semakin lama hutang piutang keliling pinggang semakin menghantu fikiran. Perbelanjaan semakin besar setiap bulan dan tahun. Mengenalpasti kemampuan kewangan dan perbelanjaan adalah punca pertama untuk menangani tekanan kewangan. Jika anda belum bersedia untuk berhutang dan sukar untuk melunaskan setiap bulan, usahakan tidak menggunakan kad kredit atau kad memudahkan anda berhutang. Beli apabila mampu atau kumpul berdikit-dikit sebelum memiliki barangan mahal yang menjadi idaman.

Baca seterusnya di www.masayuahmad.blogspot.com
There was an error in this gadget

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin