Monday, December 15, 2008

Sayur masak lemak, pengat ubi

Saya kini bersiaran dari bumi Kelantan. Ku sangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari. Belum pun sempat kain di jemuran kering, hujan rintik-rintik mula turun. Hujan-hujan begini acara paling menarik adalah makan, makan, makan.

Kalau balik ke kampung ada- ada sahaja menu yang menarik perhatian. Tengahari masak lemak sayur, ikan gelama kering dan daging goreng kunyit. Ditambah pula sambal belacan dan budu. Ish, macam mana badan tak naik.

Hujan rintik-rintik hingga ke petang, masih ada banyak ubi yang tergolek-golek dalam besen. Daun pandan dipetik sahaja dari belakang rumah. Haruman pengat berbau daun pandan sungguh mengasyikan. Teringat pula arwah emak, memang ada sahaja menu petang-petang begini. Jika tidak cekodok pisang, pengat pisang atau apa sahaja kuih untuk anak-anak mengalas perut. Paling saya gemarkan lepat pisang, saya sudah mencuba membuat sendiri. Masih belum setanding lepat pisang arwah. Saya perlu mencuba lagi.Semasa belajar di universiti dahulu, apabila pulang sahaja bercuti pasti arwah membuatnya untuk saya.

Pagi tadi sambil menjemur kain, sekilas terpandang taman sayuran dan herba di belakang dapur. Itulah orang kampung suka berbudi pada tanah. Serai hidup subur, banyak rumpun juga, daun pandan begitu tersusun-susun daunnya, percikan air hujan masih kelihatan pada daun. Nampak begitu segar bugar. Halia, lengkuas, serai wangi dan macam-macam. Semua ada di belakang dapur. Masa saya berpantang serai wangi dicampur daun pandan direbus hingga mendidih, disediakan untuk mandi. Setiap pagi mandi sunguh segar dan harum.

Hakim dan Arif rutin setiap pagi dan petang bersama Tok Ayah keliling kampung naik motor. Kelakarnya Arif, dia takut memijak pasir pantai. Apabila dipijak seolah-olah kakinya jerlus dalam pasir putih pantai. Lalu Arif berdingkit-dingkit. Takut kakinya tenggelam.
There was an error in this gadget

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin